PETALING JAYA: Stesen radio Era FM mengungguli keseluruhan jumlah pendengar radio di negara ini apabila muncul sebagai stesen radio nombor satu dengan jumlah pendengar seramai 4.8 juta orang bagi tempoh pengukuran pendengar radio Nielson, liputan pertama 2012.
Era FM merampas kedudukan Sinar FM yang meletakkan stesen itu pada tempat kedua dengan jumlah pendengar seramai 4.23 juta orang.
Tempat ketiga jatuh kepada stesen THR, gabungan siaran Raaga dan Gegar dengan jumlah pendengarnya seramai 3.39 juta.
Stesen radio milik Kumpulan Media Prima Berhad iaitu Hot FM menduduki tangga keempat dengan jumlah pendengar seramai 3.4 juta diikuti tempat kelima milik Suria FM yang hanya meraih 2.8 juta pendengar.
MY FM pula menduduki tempat keenam (2.54 juta pendengar) sementara Hitz FM di kedudukan ke tujuh (2 juta pendengar).
Kajian yang dibuat agensi kaji selidik Nielsen bermula 19 Mac hingga 15 April lalu itu turut memperlihatkan AMP menduduki tempat pertama dalam semua kategori bahasa utama iaitu Era FM (Bahasa Malaysia), Hitz FM (Bahasa Inggeris), MY FM (Bahasa Cina) dan THR Raaga (Bahasa Tamil).
Bagi segmen pagi pula, Riuh Pagi Era bersama Johara (Era FM) merupakan siaran paling popular dengan jumlah pendengar seramai 2.56 juta.
Ia diikuti oleh Sinar Pagi (Sinar FM) yang menduduki tempat kedua dengan pendengarnya seramai 2.46 juta manakala Hot FM Am Krew (Hot FM) jatuh pada tempat ketiga seramai 1.9 juta pendengar.
Sementara itu My FM Breakfast Show (My FM) meraih tempat keempat apabila mempunyai pendengar seramai 1.48 juta manakala Ceria Pagi Suria (Suria FM) di kedudukan kelima dengan capaian pendengar seramai 1.29 juta.
AMP dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Jumaat berkata, kekuatan stesen Era FM yang berjaya merampas kembali popularitinya daripada Sinar FM adalah kerana kekuatan segmen Riuh Pagi Era yang menggandingkan pelawak Johan (Raja Lawak) serta Ray dan Haniff.
Selain itu perubahan yang dilakukan oleh Era FM dengan memperbanyakkan lagu di saluran stesen itu antara faktor penarik saluran berkenaan kembali diminati ramai.
Dalam pada itu Suria FM berkata, segmen Ceria Pagi menerusi stesen itu yang menggabungkan Halim Othman, Nabil Ahmad dan Kenchana Devi telah menunjukkan peningkatan pendengar iaitu meningkat sebayak 25 peratus iaitu daripada 1 juta pendengar pada tahun lalu meningkat kepada 1.3 juta pada awal tahun ini.
Berikut ini kedudukan keputusan pengukuran pendengar radio yang dibuat oleh Nielson bagi liputan pertama 2012 untuk kaji selidik bermula 19 Mac 2012 hingga 15 April 2012-05-04
Kedudukan
1. Era FM – 4.8 juta
2. Sinar FM – 4.23 juta
3. THR (Raaga & Gegar) – 3.39 juta
4. Hot FM – 3.4 juta
5. Suria FM - 2.88 Juta
6. MY FM – 2.54 juta
7. Hitz FM - 2 juta
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: