TUKAR...lampin pakai buang perlu sentiasa ditukar untuk mengelakkan masalah ruam lampin pada kulit bayi yang halus dan sensitif.
KULIT bayi yang halus memerlukan penjagaan khusus kerana ia mudah mengalami keradangan berbanding kulit orang dewasa.
Ramai ibu rasanya pernah berhadapan dengan kulit bayi di bahagian yang ‘terperap’ menjadi kemerah-merahan dan ada kalanya timbul bintik kecil merah yang dipanggil ruam lampin. Ruam lampin ini memang menyebabkan ketidakselesaan pada bayi hingga boleh menyebabkan bayi anda menangis.
Bagi wanita yang baru menjadi ibu, tangisan anak yang berlarutan dan menunjukkan tanda gelisah itu kadang kala menimbulkan rasa panik kerana bayi masih belum pandai memberitahu ketidakselesaan yang mereka alami. Ia hanya diluahkan melalui tangisan.
Keadaan ini menyebabkan ibu muda berada dalam keadaan tertekan dari segi emosi dan psikologi kerana merasakan tidak mampu membantu bayi mereka mengurangkan rasa sakit, gatal dan tidak selesa itu.
Menurut Perunding Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, komplikasi daripada masalah ruam lampin ini termasuklah mengalami jangkitan bakteria dan kulat pada kulit, jangkitan salur kencing dan ruam alahan kulit iaitu ekzema.
Katanya, kira-kira 10 peratus bayi dan kanak-kanak berusia bawah dua tahun mendapat ruam lampin iaitu kulit bayi yang sensitif menjadi merah dan mengalami keradangan terutama di bahagian punggung, kemaluan, celah kangkang dan bahagian dalam peha.
“Ruam lampin berlaku pada bahagian dan sekitar tempat yang ditutupi lampin dan keadaan ini boleh menyebabkan bayi tidak selesa serta meragam.
“Sebagai ibu, anda perlu sentiasa memastikan lampin bayi anda ditukar sekerap mungkin bagi mengelakkan terjadinya masalah ruam lampin sebegini,” katanya ditemui pada majlis pelancaran program Huggies School of Skin Health dan juga rangkaian produk lampin pakai buang terbaru yang terbukti secara klinikal, Huggies - DryPants, Dry, Ultra, Total Protection Pants dan Total Protection.
Dr Yong Junina berkata, antara gejala ruam lampin termasuk tompokan kasar, gatal dan merah pada bahagian punggung, kemaluan dan paha.
Ini diikuti dengan kulit melepuh dan luka kemerahan dan jika dijangkiti kuman, kawasan lampin akan kelihatan berwarna merah garang, diselaputi ruam berkilat dan bertompok-tompok serta dipenuhi bintil kecil di luar bahagian yang dijangkiti.
“Faktor penyebab kepada masalah ini berlaku apabila kulit bayi yang sensitif dibiarkan dalam keadaan basah terlalu lama menyentuh air kencing dan juga najis.
“Disebabkan tempoh ‘pemerapan’ bahan buangan itu terlalu lama, ia mula memberikan kesan pada kulit bayi anda dan perkara ini perlu dielakkan,” katanya.
Selain itu, menurutnya, gangguan bahan kimia dan ammonia yang terhasil daripada perkumuhan air kencing secara tidak langsung boleh memusnahkan lapisan perlindungan terdapat pada kulit terutama pada kulit bayi.
Keadaan ini boleh menyebabkan kulit bayi bertukar kemerah-merahan dan mengalami keradangan selain turut dikaitkan dengan alahan pada bahan cucian ataupun kandungan bahan pada lampin pakai buang yang digunakan.
“Bayi akan mengalami rasa ketidakselesaan berterusan disebabkan masalah ini dan ia sedikit sebanyak boleh mengganggu perhatian ibu bapa dan juga bayi terbabit.
“Berikan rawatan bersesuaian untuk menangani permasalahan itu antaranya menggunakan krim antifungal jika ada tanda jangkitan kulat kerana masalah ini boleh berlaku secara berulang terutama jika faktor kebersihan bayi dipandang ringan,” katanya.
Malah, tinjauan yang dilakukan ke atas 2,500 ibu melalui program Huggies School of Skin Health ini juga menunjukkan mereka percaya 100 peratus kesihatan kulit bayi amat penting.
Selain itu, tinjauan yang dilakukan ini turut diadakan bertujuan memahami dengan lebih mendalam keadaan dilalui ibu apabila kesihatan kulit bayi mereka bermasalah.
Daripada keputusan keseluruhan yang diperoleh, 70 peratus golongan ibu mengakui bayi mereka pernah mengalami masalah kulit termasuk ruam lampin.
Faktor kebimbangan sebegini menyaksikan 34 peratus daripada mereka mengakui sering rasa hilang sabar hingga menyebabkan berlakunya pertengkaran dengan suami, rakan atau ahli keluarga disebabkan perkara itu.
Sementara itu, menurut Pakar Pendidik Keluarga, Charis Patrick, perhubungan yang erat antara bayi dan ibu menambahkan lagi keperitan yang dirasai si ibu terutama apabila berhadapan dengan bayi mereka yang sakit ataupun tidak selesa.
Katanya, keadaan ini boleh menyebabkan golongan ibu terbabit mengalami masalah ketegangan, tidur tidak lena serta tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerja ataupun tugasan harian.
“Tidak dapat dinafikan ia suatu yang sukar dihadapi tetapi bukan juga perkara mustahil untuk ditangani kerana sebagai ibu, kita perlu menjadi lebih fleksibel dalam menangani kesukaran dihadapi bayi anda.
“Sebagai contoh, untuk mengurangkan ketidakselesaan dialami ibu dan juga bapa boleh mengalihkan perhatian bayi mereka dengan melakukan perkara diminati daripada berterusan menggaru bahagian yang mengalami ruam berkenaan,” katanya.
Selain itu, Charis berkata, dengan kemudahan kelengkapan bayi kini, penjagaan bayi makin mudah dilakukan contohnya jika bayi buang air kecil atau besar, bahagian yang terkena najis boleh dibersihkan menggunakan tisu basah.
“Bagaimanapun, kaedah ini hanya sesuai bagi bayi yang masih kecil tetapi sekiranya mereka sudah mula makan, penggunaan tisu basah tidak mencukupi. Kulit yang terkena najis perlu dibersihkan dengan air dan sabun lembut.
“Pada ketika ini, penjagaan kebersihan bayi anda sudah menjadi seperti orang dewasa iaitu ia perlu dibersihkan dengan air bersih dalam kuantiti mencukupi untuk menghilangkan kotoran berkenaan dan pastikan sebelum memakaikan bayi anda dengan lampin, kawasan yang dibasuh tadi perlulah kering sepenuhnya,” katanya.
Ini untuk mengelakkan daripada berlakunya masalah ruam lampin secara berpanjangan serta memastikan kebersihan bayi anda sentiasa terjaga. Malah asas kekeluargaan yang utama yang perlu diterapkan apabila berumah tangga adalah kerjasama antara kedua-dua pihak dan bukan sebaliknya.
“Masing-masing memiliki peranan tersendiri terutama jika membabitkan soal penjagaan serta kebajikan anak dan jangan hanya terlalu berharap ataupun bergantung kepada satu individu saja untuk melaksanakannya.
“Jika si ibu sudah memandikan dan menukar lampin bayi, si ayah pula perlu turut sama membantu sama ada bermain dengannya ataupun menenangkannya jika berada dalam ketidakselesaan dan ia adalah kerjasama dua hala yang perlu dilakukan sebaiknya agar masing-masing berasa dihargai,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Urusan Kimberly-Clark Malaysia/Singapura, Chia Oi Peng dan Pengurus Jenama Perdagangan Penjagaan Bayi & Kanak-Kanak Kimberly-Clark Malaysia, Iris Tee.
Di samping itu, program Huggies School of Skin Health ini turut menawarkan peluang mencuba sampel dan juga menyertai peraduan serta kuiz disediakan.
Malah, ia turut membekalkan maklumat terkini kepada ibu bapa mengenai mitos kesihatan kulit bayi dan kaedah penjagaan yang betul, tip dan juga pelbagai maklumat lain berkaitan isu ini.
Rutin penukaran lampin bayi
> Cuci punggung bayi dengan kapas dan gunakan sabun yang tidak memiliki bahan pewangi.
> Anginkan seketika bahagian berkenaan sehingga kering.
> Jika menggunakan lampin kain, bilas lampin yang kotor sebelum memasukkannya ke dalam baldi yang berisi cecair perendam lampin atau basuh serta-merta serta jemur di bawah cahaya matahari terik.
> Ambil langkah pencegahan sepatutnya jika berlaku ruam lampin untuk mengelakkan daripada terus merebak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: