Monday, May 28, 2012

Tradisi-moden bersatu

Songket mempamerkan keistimewaan majlis persandingan.

Busana tradisional tinggi nilainya,
Warisan budaya kebanggaan bangsa,
Cik adik manis sudahkah berpunya,
Biarku teman ke singgahsana.

DEMIKIAN ibaratnya kecantikan seorang gadis berpakaian tradisional yang terserlah dengan kesopanan dan kelembutan seorang gadis Melayu sehingga menambat hati si teruna.

Mengenali busana tradisional secara dekat akan membawa diri kita menyelami asal-usul dan adat resam nenek moyang sejak zaman berzaman. Namun berapa ramaikah pasangan pengantin atau tetamu yang hadir masih memilih busana tradisional seperti songket untuk majlis persandingan.

KeaslianRealitinya, biarpun tubuh dibaluti fesyen yang pelbagai, keaslian gadis Melayu tetap unggul dengan gaya dan langkah tersendiri.

Itulah istimewanya busana pengantin gabungan gaya lama dan baru.

Diperbuat daripada songket, lace dan broked, rekaan itu nyata menawan tetamu terutama mereka yang suka kepada fesyen sederhana pada hari persandingan.

Sempena cuti persekolahan yang bermula minggu ini tentu banyak undangan majlis perkahwinan menanti anda. Bagi bakal pengantin yang belum ada tema pakaian perkahwinan, Mingguan Malaysia ingin memberi sedikit panduan. Sesuai dengan selera masyarakat yang gemarkan busana kontemporari, Butik Seri Jemari Songket (SJS) menyediakan pelbagai pilihan busana untuk bakal raja sehari atau pilihan busana ke majlis rasmi.

Kebanyakan busana pengantin butik ini terdiri daripada fabrik songket tenun, renda , net dan sulam. Selain itu, banyak pilihan warna yang boleh disesuaikan dengan tema perkahwinan. Warna moden yang menjadi pilihan antaranya putih, coklat muda, hijau dan merah samar.

Busana bertambah menarik dengan manik yang dijahit mengikut corak bunga pada kain. Inilah yang memberikan kelainan di antara busana pengantin dengan fesyen yang dipakai pada hari-hari biasa. Bukan sahaja fabrik mewah yang digunakan, malah hiasan busana menyerlahkan seri wajah pengantin.

Menurut pemilik butik SJS, Josaidy Johari, kebanyakan pengantin mula membuat tempahan busana sebulan hingga lima bulan sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

"Untuk sebuah majlis perkahwinan yang indah, bukan sahaja busana yang memainkan peranan penting, malah pelamin, hantaran dan hiasan dewan menjadi keutamaan," katanya.

Bagi yang akan ke jenjang pelamin tidak lama lagi, mungkin fesyen yang dipaparkan minggu ini sesuai untuk anda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: