Wednesday, May 30, 2012

Kekurangan tak halang Norhalim

Dibantu oleh Mohd. Shahri Sazlan dalam menyiapkan pelamin.

DARIPADA pandangan mata kasar, tiada apa yang istimewa tentang insan ini. Sekadar individu biasa yang dirinya serba kekurangan.

Dilahirkan 48 tahun lalu di Klang, Selangor, Norhalim Talib, yang mempunyai tangan kanan tanpa tangan kiri tidak pernah menyangka akan berjaya seperti apa yang dimiliki pada hari ini.

Sebenarnya atas kapasiti kekurangan diri itulah yang mendorong Norhalim untuk berusaha lebih gigih meneruskan hidup dengan anugerah kemahiran yang dikurniakan Tuhan kepadanya.

‘‘Saya tahu amat sukar untuk mencari pekerjaan bagi orang kelainan upaya (OKU) seperti saya. Berbekalkan semangat enggan meminta-minta dan menyusahkan keluarga dan ibu bapa, saya tekad untuk berusaha sendiri biarpun saya sebenarnya tidak tahu apakah kebolehan yang ada pada diri saya ketika itu.

‘‘Untuk mendapatkan sedikit pendapatan sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya bekerja di sebuah kedai bunga. Di situ saya mencabar bakat dengan membuat gubahan bunga," katanya ketika ditemui di butiknya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Tanpa disangka, setiap gubahan yang dihasilkannya ‘menjadi’. Seterusnya dia menyertai beberapa pertandingan gubahan dan sentiasa mendapat tempat teratas dan pernah menjadi juara gubahan bunga peringkat kebangsaan pada tahun 1990-an.

Selepas itu Norhalim mengubah haluan bekerja di sebuah butik pakaian di Shah Alam, Selangor. Di situ dia belajar pula bagaimana mereka fesyen dan jahitan manik. Dia bekerja di butik itu selama lima tahun untuk mendapatkan pengalaman

‘‘Saya pun sebenarnya tidak menyangka kebolehan saya sebenarnya dalam bidang kreatif. Seperti menggubah bunga, menjahit manik, menyolek, membuat hantaran, menghias pelamin, membuat bunga telur dan sebagainya.

‘‘Alhamdulillah Tuhan memberi saya sebelah tangan dan berbekalkan sebelah tangan itu saya mengambil tempahan jahitan manik.

‘‘Setiap jahitan bergantung kepada cita rasa pelanggan. Saya boleh menyiapkan tempahan jahitan manik dalam tempoh dua ke tiga hari. Sekarang pula saya sibuk menyiapkan tempahan manik dan labuci baju-baju pengantin," katanya.

Menyambung cerita, Norhalim yang merupakan anak keenam daripada 10 adik-beradik seterusnya mencuba nasib membuka sebuah kedai bunga di Plaza Masalam di Seksyen 9, Shah Alam.

Ketika itu dia menerima banyak tempahan bunga daripada sektor korporat dan syarikat-syarikat terkemuka di Selangor, khususnya.

Namun apabila kemelesetan ekonomi berlaku pada tahun 1998, dia bertukar arah menjual pelbagai baju pengantin di kedai yang sama.

‘‘Apabila saya mendapati permintaan amat menggalakkan daripada orang ramai, saya pun membesarkan perniagaan menjadi sebuah pusat sehenti perkahwinan.

‘‘Ini termasuklah menyediakan perkhidmatan pelamin, baju pengantin, solekan, perkhidmatan perunding perkahwinan dan perkhidmatan saya pernah digunakan di Concorde Shah Alam, Grand Blue Wave, Kelab Shah Alam dan beberapa hotel terkemuka lain," katanya yang menamakan butik perkahwinannya itu Norhalim Bridal Boutique.

Apabila ditanya bagaimana dia mendapat kepercayaan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakannya, Norhalim berkata, kalau diikutkan memang orang tidak percaya dengan kebolehan yang dimilikinya.

Namun katanya, orang akan percaya setelah melihat hasil kerjanya dan mengiktiraf kebolehannya.

‘‘Dengan keadaan saya begini sebagai contohnya, siapa menyangka saya boleh menjahit manik.

“Tapi saya boleh melakukannya kerana telah biasa," katanya sambil menunjukkan kebolehan menjahit manik.

Terpegun seketika melihat ketangkasan tangannya memasukkan manik-manik ke dalam jarum untuk dilekatkan di lengan baju dibantu oleh jari kakinya.

Dia juga berterima kasih dengan Kuzie Catering yang memberi peluang memberikan sentuhan gubahan, pelamin dan sebagainya di majlis-majlis orang-orang kenamaan.

Bukan itu sahaja, ada antara majlis perkahwinan artis seperti Linda Rafar dan Ziana Zain turut mendapat sentuhan kreatif daripadanya selain sibuk berurusan dengan orang-orang kenamaan lain dalam mengendalikan majlis persandingan anak-anak mereka.

Kini, Norhalim sudah memindahkan butiknya ke tempat baru di Bukit Raja, Seksyen 7 Shah Alam yang ternyata lebih besar dan selesa.

Baru sahaja menghuni butiknya itu beberapa bulan lalu dan kini sedang sibuk dibuat pengubahsuaian.

‘‘Ruang di sini lebih luas. Bolehlah menempatkan pelbagai peralatan perkahwinan. Sekarang kami juga turut sibuk menerima tempahan orang ramai untuk mengadakan majlis perkahwinan apatah lagi cuti sekolah semakin dekat," katanya yang mempunyai lapan pembantu sambilan.

Dia juga mempunyai seorang pembantu tetap, Mohd. Shahri Sazlan, 28, yang telah lima tahun bekerja dengannya.

Menurut Norhalim, untuk mendapatkan trend terkini bagi pelamin dan gubahan, dia menimba idea terbaru dari Internet untuk digabungkan dengan idea sendiri.

Bagi mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan perkahwinan daripada Norhalim Bridal Boutique bolehlah menghubungi talian 019-308 5058 atau www.norhalimbridalblogspot.com atau facebook norhalimbridalboutique.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: