Seorang anak kecil berjalan pantas sambil menjinjing beberapa beg plastik berisi barangan yang baru dibelinya. Sesekali dia berhenti memperkemaskan jinjingannya itu.
Matanya mengerling ke kiri dan kanan. Ada kala langkahnya pantas. Ada kala seakan lemah. Derap-derup bunyi sepatunya melanggar batu kerikil dan sekonyong itu dirinya hilang di satu selekoh yang dipenuhi deretan kereta.
Siapakah anak itu? Mengapa anak kecil itu yang disuruh ke kedai? Siapa ibu bapanya? Di mana rumahnya? Selamatkah dia balik ke rumah?
Senario yang di atas adalah lumrah kehidupan kanak-kanak pada masa ini. Kita juga mungkin pernah melihat kanak-kanak itu. Tetapi berapa ramai antara kita yang ambil peduli? Tidak ramai.
Ini adalah rumusan spontan dijawab dua wakil Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.
Mereka itu ialah Pengurus Korporat/Pentadbir yayasan, Raflly Nann dan Setiausaha Eksekutif, Chan Kuang Yu.
Chan adalah pegawai polis sepenuh masa berpangkat Deputi Supritendan yang ditempatkan secara lantikan oleh Ketua Polis Negara selaku Timbalan Pengerusi MCPF.
MCPF adalah badan bukan kerajaan(NGO)yang berlandaskan pencegahan jenayah yang pertama ditubuhkan di luar Jepun, di bawah naungan Asia Crime Prevention Foundation (ACPF) yang berpusat di Tokyo.
Setiap dua tahun sekali, semua NGO pencegahan jenayah Asia akan bersidang untuk membentangkan laporan masing-masing untuk berkongsi usaha pencegahan jenayah yang digunapakai.
Menurut Raflly, MCPF diiktiraf kerajaan sebagai peneraju NGO pencegahan jenayah di negara ini.
Beri ruang
Raflly dan Chan senada dalam memberitahu bahawa kanak-kanak pada hari ini mudah terdedah kepada jenayah.
Mereka berkata demikian bersandarkan kepada beberapa kes jenayah, yang melibatkan kanak-kanak dan yang berakhir dengan penculikan dan pembunuhan kejam.
"Kalau kita jejak balik kes seseorang anak yang diculik, kita boleh dapati ada ruang yang membolehkan anak itu diculik, dilarikan atau apa sahaja boleh berlaku kepada budak itu.
"Siapa yang memberikan ruang itu? penjaganya? keluarganya? emak ayahnya? masyarakat? budaya atau persekitarannya," tanya Raflly.
Beliau memberi contoh kebiasaan ibu bapa atau penjaga yang menyuruh anaknya ke kedai setakat untuk membeli sebungkus garam atau gula.
Si ibu mungkin sibuk di dapur memasak atau sedang menonton televisyen atau si ayah sibuk membaca surat khabar atau melayari internet.
"Antara kedai dan rumah, siapa yang memerhatikan budak itu? Tak ada? Kalau berlaku sesuatu, tidak ada yang nampak.
"Masyarakat hanya lebih nampak kepada senario pemangsa? Siapa orang yang jahat sangat itu? Tangkap sahaja dia, penjarakan dia?
"Tapi kita tidak tengok senario mangsa? Budak ini mati atau hilang sebab apa? Sebab kelalaian, kecuaian? Kecuaian siapa? Emak, ayah atau penjaga dia," tambahnya.
Raflly turut memberi contoh pengalamannya memberi ceramah di sebuah sekolah rendah.
"Soalan pertama yang saya ajukan ialah siapa ada membawa kunci rumah. Ini budak-budak darjah satu hingga darjah lima. Ramai yang angkat tangan.
"Persepsi saya ialah keselamatan budak itu. Bayangkan dia balik ke rumah dan ada orang yang nampak dia sendirian memegang kunci rumah.
"Bayangkan jika dia menangkap budak ini, kemudian masuk ke dalam rumah. Ini membuka pelbagai peluang seperti rompak dan samun. Penjenayah hanya perlu menunggu emak, ayah atau penjaga itu balik," katanya.
Tanggungjawab terhadap anak bukan sekadar bagi makan, sekolah dan duit. Ada sesetengah ibu bapa yang berkata mereka telah cukup menjaga anak mereka dengan melakukan ketiga-tiga perkara tersebut.
Ada juga ibu bapa memberi alasan bahawa mereka terpaksa keluar bekerja dan tidak mampu mengambil orang gaji untuk menjaga anak, justeru anak di didik atas nama berdikari dan perlu menjaga diri sendiri.
Menurut Raflly, sikap sedemikian sebaliknya boleh mengundang musibah ke atas kanak-kanak.
Beliau turut menegur sikap sesetengah ibu bapa atau penjaga yang menjaga anak mengikut kesenangan mereka sedangkan keutamaan perlu diberikan kepada keselamatan anak-anak.
Ibu bapa, katanya, perlu jelas dengan tanggungjawab mereka dan mesti faham mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang jika melakukan kesalahan itu.
Raflly berkata sesetengah ibu bapa atau penjaga mungkin terbawa-bawa dengan cara mereka dibesarkan dahulu, bebas berjalan sendirian dan bermain di keliling kampung atau taman perumahan tanpa perlu risau kemungkinan diculik atau dicederakan.
"Dulu kita tidak pernah mendengar anak-anak diculik melainkan jika kita anak orang berada.
"Keadaan dulu dan sekarang juga sudah berbeza. Dulu kalau kita jalan seorang, ada yang akan menegur kita. Dia tahu siapa kita dan akan menyuruh kita balik. Jiran tetangga saling kenal mengenali sehingga ada juga yang memantau pergerakan anak-anak jiran serta menegur.
"Lagi pun semangat kejiranan masa itu kuat. Sekarang kita tak tahu siapa jiran kita, anak siapa? Macam mana nak tegur," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: