Wednesday, May 30, 2012

Mencari platform di Malaysia



PULANG ke Malaysia semata-mata menjayakan konsert yang sudah setahun direncanakan, ternyata konsert tersebut akhirnya mengukir sebuah lagi portfolio yang kemas atas jenama Najwa Mahiaddin.

Cuma seminggu tempoh untuk bermanja bersama keluarga, melepaskan kerinduan buat penghuni, makanan dan udara di tanah tumpah darahnya, Kuala Lumpur selain berselang-seli membuat persiapan untuk Konsert Najwa pada 21 Mei lalu.

Kini, si gadis berusia 25 tahun yang tidak lokek senyuman itu telah kembali bersama agenda asal di bumi Boston, Amerika Syarikat untuk menuntut ilmu.

Dia mengaku, usai konsert yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semua perasaan gundah terbang. Dia lega, sementelah sambutan yang diberi cukup memberangsangkan.

"Tapi sebaik kembali ke Boston, saya akan menjalani kehidupan harian seperti pelajar lain, bangun pagi ke kelas, berdiskusi dengan rakan-rakan lain dan rutin yang sama diulangi setiap hari," katanya yang sedang melanjutkan pelajaran di Berklee College of Music Boston dalam bidang Produksi dan Penulisan Kontemporari.

Tamat pengajian

Berbaki enam bulan pengajiannya di sana sebelum pulang ke Malaysia, Najwa sudah ada agenda untuk membina tapak yang lebih utuh dalam industri muzik tempatan.

Kata Najwa, di Boston, dia tidak pernah meletakkan dirinya dalam lingkungan artis memandangkan penuntut lain juga punyai cerita serta kelebihan yang sama sepertinya. Malah, ada juga yang pernah merakamkan album di tempat masing-masing sebelum melanjutkan pelajaran.

"Saya kini sudah tahun terakhir di sana (Boston) dan Insya-Allah bulan Disember nanti saya akan tamat pengajian.

"Banyak pengalaman yang berjaya saya peroleh sepanjang berada di sana, memandangkan saya menuntut di kolej muzik, saya sering berjumpa dengan pelbagai pemain muzik dan penyanyi yang hebat.

"Walaupun saya mempunyai niat untuk mengadakan persembahan secara besar-besaran di sana, tetapi saya tidak dibenarkan berbuat demikian kerana perlu mengikut syarat pemegang visa pelajar," ceritanya teruja.

Album kedua

Pengalaman mendidik Najwa untuk mematangkan aliran muzik yang dibawanya. Kini dia sedang dalam proses perbincangan untuk menerbitkan album keduanya yang dikhabarkan berlainan genre.

"Mungkin kali ini saya akan terapkan elemen muzik elektronik, kita tunggu dan lihat," ujarnya sambil tersenyum manis.

Namun, katanya, dia masih menunggu waktu yang sesuai untuk menerbitkan lagu berbahasa Melayu.

"Saya seorang yang mementingkan kesempurnaan. Buat masa sekarang saya belum ada asas yang kukuh untuk tampil dengan lagu berbahasa Melayu ciptaan sendiri.

"Bukan cara saya untuk hasilkan lagu apabila orang minta, seboleh-bolehnya biar usaha saya itu dilihat dan dinilai dengan lebih profesional," tegas Najwa.

Pemenang trofi Artis Baharu Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-18 itu bagaimanapun kini sudah mempunyai sebuah lagu berbahasa Melayu berjudul Impian Terindah yang barangkali diangkat menjadi single keduanya selepas Got To Go.

Bagaimanapun, Najwa tidak pernah terfikir untuk bernaung dengan mana-mana label muzik di sana sebaliknya ada mempertimbangkan untuk berkolaborasi dengan pemuzik atau karyawan di sana untuk album atau lagu-lagunya akan datang.


KATA Najwa, dia tidak mahu terikat dengan label antarabangsa kerana mahu melakar nama di bumi Malaysia.


Niatnya, mahu pulang ke Malaysia dan menyambung kelangsungan kerjayanya di tanah sendiri.

Kurus

Dalam pada itu, berbicara mengenai perancangannya pada tahun depan, Najwa memberitahu, dia teringin untuk merakamkan lagu duet dengan beberapa orang artis tempatan yang dikaguminya.

"Kalau ada rezeki saya di Malaysia saya tidak akan tolak. Pernah juga saya terfikir untuk berduet dengan beberapa orang artis tempatan pada masa akan datang.

"Sebelum ini pun ada juga berbincang dengan beberapa rakan artis, tapi jadual dan jarak saya secara tidak sengaja menenggelamkan hasrat itu," ujarnya yang ingin berduet dengan Anuar Zain.

Perantau mana tidak rindu akan tanah air? Begitu jiwa kental Najwa yang sebelum ini pernah merantau ke Melbourne, Australia dan kini di Boston, Amerika Syarikat.

Katanya: "Sudah tentu saya rindukan orang dan makanan di sini (Malaysia) tapi saya cuba untuk mengimbangi masa dan tidak pulang melainkan ada hal yang betul-betul penting dan berbaloi."

Malah, dia mengakui lebih selesa berada di tempat sendiri berbanding negara orang yang kebanyakan penduduknya asing dan tidak seakrab orang tempatan.

Najwa yang ditemui baru-baru ini kelihatan sedikit susut berat badan berbanding sebelum ini dan katanya itu iltizam dan kemahuannya sendiri.

"Saya yang putuskan untuk menurunkan berat badan dan mengamalkan pemakanan serta diet yang seimbang bermula bulan Februari lalu.

"Tapi bukan bermaksud saya mahu terlalu kurus, asalkan dapat berat badan yang ideal sudah memadai," getusnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: