TERLALU cepat masa berlalu. Rasanya baru beberapa bulan lalu Mega memenuhi undangan sesi fotografi sempena kelahiran cahaya mata sulong pasangan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 40, dan isteri, Datin Dr. Harlina Mohd. Yunos, 32.
Pejam celik, bayi yang diberi nama Sophea Isabella atau nama timangannya Bella, kini sudah mencecah usia 9 bulan 3 minggu.
Memenuhi semua peringkat tumbesar seorang bayi, wajah comel Bella dengan mata bundar dan tubuh halus gebu membuatkan sesiapa pun tidak jemu memandangnya apatah lagi jika berpeluang 'menggomol'nya.
Nyata Bella bukan calang-calang bayi kerana pada usia sebegitu dia punya kelebihan yang jarang ada pada teman sebayanya - sudah pandai menyelam dan menggapungkan badan dalam air.
Memerhatikan Bella duduk bermain di gigi air langsung tidak nampak riak takut mahupun terkejut.
Malah sentiasa ketawa dan tersenyum riang lebih-lebih lagi apabila diusik oleh beberapa orang jurugambar yang ada di lokasi.
Gelagatnya membuatkan penulis teruja dan tidak sabar untuk melihat Bella beraksi di kolam renang sementara menunggu bapanya menyapu losyen di seluruh badan.
Ternyata Bella seorang bayi yang berani. Apabila badannya sudah mencecah air di kolam renang dengan bantuan bapanya, dengan mudah dia mengawal pergerakan dan hanya sesekali menunjukkan reaksi terkejut mungkin kerana suhu air yang agak sejuk.
Kemudian, apabila Bella dapat menyesuaikan diri dengan suhu dan suasana dalam kolam tersebut, dia sudah mampu tersenyum menampakkan beberapa batang gigi comelnya yang mula tumbuh teratur di bahagian atas dan bawah.
Sedikit demi sedikit Bella menunjukkan 'belang'nya apabila berani mengapungkan badan di permukaan air sambil dipegang oleh bapanya.
Apabila bapanya cuba menyelam ke dasar kolam bersamanya dia tidak kelemasan kerana pandai mengawal pernafasan.
Beberapa kali aksi selaman itu dilakukan antara tiga hingga lima saat tidak langsung membuatkan Bella meragam, cuma kadang -kadang sedikit rengekan manja yang terkeluar dari mulut comelnya.
Dr. Sheikh Muszaphar berkata, dia dan isteri mula mengajar Bella teknik menahan nafas ketika berada dalam air sejak bayinya berusia sebulan lagi.
"Bella berani kerana hanya dua bulan sahaja kami mengajarnya teknik menahan nafas iaitu meletakkannya di dalam tab mandi di rumah.
"Kemudian setiap kali mandi kami akan menuangkan air keatas kepalanya secara perlahan untuk membiasakan dia menahan nafas ketika di dalam air," katanya.
Ujarnya, pada peringkat permulaan, reaksi Bella agak terkejut dan tidak dapat mengawal dirinya kerana belum biasa dengan situasi itu.
"Lama-kelamaan Bella semakin serasi dan selesa dengan keadaan tersebut sehingga berjaya mengawal sendiri nafasnya," kata Dr. Sheikh Muszaphar.
Jelasnya lagi, setelah dapat mengawal pernafasan dengan baik, dia mula didedahkan dengan aktiviti bermain air di dalam kolam renang ketika berusia empat bulan.
"Memang pada mulanya Bella agak terkejut kerana keadaan air dalam kolam lebih sejuk berbanding tab mandi.
"Namun apabila aktiviti ini sering dilakukan, dia semakin berani serta pandai menyesuaikan diri dalam kolam renang dan menganggap aktiviti tersebut sangat menyeronokkan.
"Sehingga kini, Bella berupaya menahan nafas dalam air dari kiraan tiga saat sehingga mencapai 10 saat," katanya.
Begitupun Menurut Dr. Sheikh Muszaphar lagi, Bella masih belum boleh berenang sebaliknya hanya terapung dan menyelam sahaja kerana otot-otot badannya masih belum kuat.
"Sebelum pandai berenang kami ingin Bella menguasai dahulu teknik menahan nafas dan mengawal pergerakan kaki dan tangan ketika di dalam air.
"Selalunya saya dan isteri akan biarkan dia menyelam sambil badannya dipegang kemudian ditolak ke hadapan dan akan disambut oleh isteri
"Bagi memastikan Bella selesa ketika menyelam, kami akan tunjukkan dahulu cara tersebut kemudian akan menyelam sambil diikuti olehnya," katanya.
Tambah Dr. Sheikh Muszaphar lagi, sebelum memulakan aktiviti renangan di kolam air, beberapa perkara penting perlu diambil kira supaya Bella tidak meragam.
"Saya akan pastikan Bella tidur dengan secukupnya, minum susu, memakai pakaian renang yang sesuai dan cuaca cukup baik sebelum membawanya ke kolam renang.
"Bagi memberi ruang kepada Bella untuk mencari keselesaan, saya akan biarkan dahulu dia bermain-main dalam air sebelum meneruskan aktiviti," katanya.
Dia memperuntukan masa tiga atau empat kali dalam seminggu bersama Bella di kolam renang.
Selalunya aktiviti ini dilakukan pada waktu petang selama setengah jam sama ada di kolam renang luar mahupun kolam di kediaman rumah kami.
Untuk jaminan keselamatan Dr. Sheikh Muszaphar akan sentiasa bersama dan memerhati Bella apabila berada di kolam renang.
"Beberapa bulan lalu Bella pernah terjatuh dalam kolam renang ketika saya meninggalkannya seketika untuk mengambil barang.
"Alhamdulillah Bella pandai menahan nafas dan boleh terapung dengan sendiri sebelum saya mencapainya," katanya.
Dia mengakui banyak manfaat yang diperoleh apabila melakukan aktiviti berenang terutamanya dari aspek kesihatan tubuh badan.
"Selain dapat meningkatkan kecerdasan diri, berenang juga dapat meningkatkan daya fikir seseorang, menguatkan otot-otot tulang dalam badan dan dapat menyelamatkan diri apabila berada dalam situasi kecemasan.
"Ibu bapa di luar sana juga tidak perlu rasa takut untuk mengajar anak mereka berenang kerana ia adalah satu aktiviti yang selamat dan menyihatkan badan.
"Seeloknya aktiviti didedahkan kepada anak-anak ketika usia bayi lagi. Ibu bapa perlu mempelajari dulu teknik-teknik yang betul sebelum mengajar anak mereka berenang," kata Dr. Sheikh Muszaphar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: