Wednesday, May 30, 2012

Jelajah Aman Kampus Kenyalang bermula secara rasmi hari ini

MOHD. Shahar Abdullah (tengah) bersama sebahagian peserta Jelajah Aman Kampus Kenyalang di kampus Unimas, Sarawak, semalam.

KOTA SAMARAHAN 29 Mei - Jelajah Aman Kampus Kenyalang yang julung-julung kali diadakan di negeri ini akan bermula secara rasmi di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), esok.

Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, jelajah tersebut melibatkan seramai 150 peserta terdiri daripada penuntut universiti dan golongan belia dari negeri ini serta Semenanjung.

"Program selama 11 hari ini bakal menjelajah di 11 lokasi di seluruh Sarawak dan mensasarkan untuk mengumpul lebih 5,000 maklum balas daripada masyarakat sebelum laporan akhirnya diserahkan kepada Perdana Menteri serta menteri-menteri Kabinet.

"Ia merupakan kesinambungan daripada dua fasa program Aman Kampus yang diadakan di Semenanjung tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan rombongan peserta Jelajah Kampus Kenyalang di Unimas, di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Kelab Chedet Malaysia, Najib Mokhtar, Naib Presiden Persatuan Anak Sarawak Semenanjung (PASS), Samuel Sila, Pengarah Kebangsaan Belia dan Sukan Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Mohd. Salleh.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahar memberitahu, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijadual menyempurnakan pelancaran program tersebut.

Bertemakan 'Anak Sarawak Pulang Berbakti', program itu dipelopori Aspirasi dengan kerjasama Kelab Chedet Malaysia, PASS, JMM serta Kesatuan Dayak Sarawak Kebangsaan (SDNU).

Selain mengumpul maklum balas untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, ia memberi peluang kepada golongan belia berbakti kepada masyarakat menerusi pelbagai aktiviti dijalankan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: