Monday, May 28, 2012

Tok Mak kumpul 1,000 buku skrap

TOK Mak bersama himpunan buku skrap yang menjadi koleksinya.

RUTIN Wan Zahrah Wan Idris setiap pagi seakan tidak berubah sejak lebih 30 tahun lalu. Setiap hari, dia akan membaca surat khabar dan selesai sahaja ‘sarapannya’ itu, Wan Zahrah yang selesa dipanggil Tok Mak akan bertanya kepada ahli keluarganya sudah habis membaca atau tidak lalu membawa naskhah-naskhah akhbar itu ke biliknya.

Digunting kemas artikel-artikel kegemarannya, lalu Tok Mak menampal ia ke buku lukisan atau buku latihan mengikut kategori artikel membentuk buku skrapnya sendiri.

Artikel rencana agama, luar negara, politik, isu semasa, forum, kolumnis, teka silang kata, malah kartun sekalipun, asal yang menarik minat wanita berusia 80 tahun itu atau ahli keluarganya, Tok Mak segera memotong dan menyimpan rapi dalam buku skrap yang kini berjumlah lebih 1,000 buah.

Tilawah

Cerita ibu kepada tujuh orang anak ini, semuanya bermula sekitar 1980-an ketika dia menetap di Johor Bahru. Waktu itu, Tok Mak gemar mengikuti perjalanan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa.

“Tok Mak memang suka membaca surat khabar dan mula memotong artikel berkenaan tilawah al-Quran kerana mengikuti perjalanannya dari awal.

“Kemudian, aktiviti itu berterusan terutamanya ruangan agama dan apa saja artikel yang menarik, penuh dengan informasi malah menghiburkan hati untuk dibaca kemudian hari.

“Tok Mak rasa rugi untuk membaca sepintas lalu sahaja penulisan-penulisan tersebut kerana sebagai contoh, pelbagai ilmu dan pengetahuan boleh diperolehi dalam ruangan agama yang mungkin kita telah lupa kerana pernah membacanya sekali sahaja.

“Apabila Tok Mak menyimpannya, ilmu itu akan berterusan dan ia menjadi peringatan setiap kali Tok Mak atau anak-anak membacanya kembali," ujar warga emas yang menjadi pembaca setia Utusan Malaysia sejak dahulu lagi.

Antara ruangan wajib Tok Mak adalah Bisik-Bisik, kartun Mamak Cyber dan Senyum Kambing kerana baginya penulis ruangan tersebut sentiasa mempunyai idea yang dapat memancing pembaca.

Tok Mak turut membuat buku skrap khas untuk anak-anaknya bergantung kepada minat mereka seperti anak kelimanya, Melati Mohd. Ali gemar artikel berkenaan kenegaraan dan dia akan mencarinya.

Ada buku skrap yang disimpan di rumah lamanya di Johor Bahru, ada yang diberikan kepada anak-anaknya malah yang menyedihkan Mak Tok apabila ‘harta’nya itu terjejas akibat banjir yang melanda kawasan rumah anaknya di Hulu Langat baru-baru ini.

Menurut Melati, dia percaya budaya membaca yang diamalkan ibunya itu membuatkan ingatannya terus tajam serta menceriakannya kerana mempunyai aktiviti untuk dilakukan setiap hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: