NAMANYA hampir terhakis daripada ingatan. Sedangkan kemunculannya dipentas Mentor musim kedua, enam tahun yang lalu bagai menjanjikan masa depan cerah gadis ini dalam industri seni suara, tambahan pulamendapat bimbingan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza, selaku mentor.
Status adik ipar kepada rocker terkenal, Amy Search, juga bonus buat Siti Khatijah Hassan atau lebih dikenali sebagai Kat untuk memperoleh laluan mudah.
Karektor Kat sendiri sudah cukup kuat. Dengan susuk tubuh yang lampai serta paras menawan, diperlengkapkan lagi bersama bakat, siapa mampu melupakan aksi lincah gadis kelahiran Pulau Mutiara itu setiap kali membuat kemunculan di pentas.
Pun begitu, ke manakah Kat menghilang? Dan mengapa selepas tempoh enam tahun baru kini muncul dengan album perdananya.
Bagai sudah dijangka soalan yang berputar, Kat berkata, dia tidak ke mana-mana cuba agak sepi dari publisiti kerana dia sendiri memutuskan begitu ekoran tiada sebarang perkhabaran baru untuk dihebahkan kepada umum.
“Sekarang ini barulah Kat berani membuat kemunculan dan giat mempromosikan semula kerjaya seni Kat kerana Kat bakal melancarkan album sulung pada 15 Mei ini.
“Ada bahan untuk diceritakan pada khalayak, jadi tidaklah cakap kosong apabila ditemu bual. Kalau ikutkan sepanjang enam tahun Kat tidaklah menyepi terus, masih menyanyi sikit-sikit selain berlakon.
“Kalau berlakon pun bukanlah peranan utama. Kebanyakan watak kecil jadi seganlah nak bercerita pada umum. Takkanlah Kat nak minta wartawan temubual Kat sedangkan Kat cuma terbabit dalam beberapa babak saja.
“Selain berlakon dan menyanyi, Kat sekali-sekala timba pengalaman daripada pengurus Kat untuk mendalami selok belok perniagaan,” katanya.
Lanjut saja pada bicara album sulungnya yang memuatkan lima buah lagu, Kat berharap bingkisan dengan judul Menggoda itu mampu memperkenalkan kembali namanya.
“Sebelum ini Kat pernah membuat percubaan dengan menghasilkan album Chiki namun ia tidak begitu mendapat sambutan kerana segelintir pihak berpendapat lagu itu terlalu asing dari kehendak pendengar masa kini.
“Sesudah Chiki, Kat muncul pula dengan single kedua berjudul Hilang juga hasil ciptaan pemain gitar, komposer dan produser terkenal, Edrie Hashim. Lagu itu juga bagai dipandang sepi.
“Bagaimanapun Kat tidak pernah berputus asa dan jemu mencari materials yang sesuai. Akhirnya Kat berjumpa dengan Manusia Putih.
“Manusia Putih ini enggan mendedahkan namanya kerana dia memaklumkan pada Kat dia hanya mahu berkarya. Lebih 10 lagu diberikan namun Menggoda dan Senjakala, paling memikat hati Kat.
“Banyak lagunya bagus tetapi dua yang dipilih bersesuaian vokal Kat. Ketika sibuk dengan rakaman lagu Manusia Putih, Cat Farish menawarkan Kat lagu Senjakala.
“Ia begitu pantas menangkap di telinga Kat kerana sememangnya Kat sukakan lagu-lagu yang mempunyai unsur-unsur ‘dance music’. Apatah lagi, Kat gemar membuat persembahan, menyanyi sambil menari,” katanya.
Kemunculan mengejut Kat bersama sebuah album yang menawarkan pelbagai irama dari R&B sehinggalah balada, itu nampaknya disusuli bersama gosip liar.
Kononnya, pembikinan album itu ditanggung oleh seorang hartawan berstatus Datuk atau dikenali sebagai ‘J’.
Saat soalan itu dikemukakan, nada suara Kat berubah serta kedengaran tidak senang.
“Kalaulah Kat dapat siapa yang menyebarkan fitnah itu, Kat nak cili mulut dia. Kalaulah betul Kat di taja atau di ‘spedo’ daripada tahun pertama Kat keluar Mentor lagi Kat sudah boleh ada album.
“Tetapi mengapa sampai enam tahun Kat terpaksa menunggu untuk melahirkan album pertama yang hanya mengandungi lima lagu ini?
“Pertamanya kerana kekangan bajet. Di mana Kat terpaksa mengumpul secara berdikit-dikit. Keduanya, Kat berdepan kesukaran mencari lagu yang bersesuaian vokal dan pada masa sama tak mudah menemukan lagu yang menepati selera masa kini.
“Maklumlah, rakam satu lagu bukannya murah. Kalau Kat ditaja tidak perlulah Kat bersusah-payah.
Justeru itu, Kat hendak menegaskan yang cerita ini tidak benar sama sekali.
“Tolonglah beri Kat peluang untuk buktikan kemampuan. Usahlah heret Kat dalam gosip seperti ini kerana Kat memang mahu menumpukan sepenuh perhatian pada kerjaya nyanyian. Lama Kat menunggu saat ini dan harap diberi ruang,” katanya.
Menggoda akan dilancarkan di Hard Rock pada 15 Mei nanti iaitu sehari selepas Kat menyambut ulang tahunnya yang ke-25.
Seiring pelancaran album itu, Kat juga akan mempertontonkan dua klip video terbarunya Chiki dan Menggoda.
Tinggalkan perihal albumnya yang memuatkan foto menariknya, Kat mengakui dia semakin ketagih untuk berlakon.
Drama pertama dibintanginya adalah Sayang Cendana yang turut diterajui Juliana Evans diikuti Sudu & Garfu, Kasih Marisha menampilkan Misha Omar sebagai bintang utama, seterusnya Kasih Marisa dan Rumah Orang Tua Cahaya.
Tahun lalu, Kat juga melebarkan sayap lakonannya ke layar lebar apabila membintangi sekual Lagenda Budak Setan (LBS) 2 dan 3.
“Kat memegang watak Lily, kekasih kepada abang, Kasyah. Lily seorang yang berpewatakan bengis dan dia di sorok di rumah Kasyah kerana mengandung.
“Sebagai orang baru dalam bidang lakonan watak ini sukar buat Kat. Bagaimanapun tekanan itu hanya dirasai semasa penggambaran LBS2, manakala LBS3 lebih mudah kerana Lily sudah berubah menjadi baik,” katanya.
Trivia Kat
Tidak memilih asalkan cantik.
9
Bibir dan rambut
Tak tahu nak berhenti bercakap dan itulah yang sering kawan-kawan maklumkan.
Shah Rukh Khan
Sayang...
Menari
Pengalaman yang dilalui dua tahun lalu dimana Kat hampir putus asa untuk meneruskan karier nyanyian.
Bila-bila saja saatnya tiba asalkan dia ‘Mr. Right’.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: