KUALA KANGSAR - Sebanyak 248 pelatih Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Tangkas Kendiri, Sauk dekat sini mula berpindah ke sembilan kem lain di Perak, Kedah dan Kelantan semalam.
Pemindahan itu berikutan kem tersebut dikenakan tindakan sita oleh mahkamah pada 22 Mei lalu ekoran masalah hutang pemiliknya.
Proses pemindahan itu bagaimanapun menimbulkan perasaan sedih dalam kalangan pelatih terbabit.
Rata-rata pelatih, baik lelaki mahupun perempuan dilihat agak beremosi sehingga ada yang menitiskan air mata sambil berpelukan antara satu sama lain kerana sebahagian mereka terpaksa berpisah ke kem berlainan.
Salah seorang pelatih, Lee Hoi Yan, 18, berkata, dia dan rakan-rakan mengetahui mengenai pengosongan Kem PLKN Tangkas Kendiri itu setelah diberi penerangan oleh jurulatih dan pegawai Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) termasuk Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
"Secara jujur, saya sedih kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawan. Hubungan kami tanpa mengira kaum sudah mula rapat walaupun baru berkenalan selama 28 hari sejak mendaftar masuk ke kem ini pada 1 Mei lalu," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kem Tangkas Kendiri semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: