LEDANG – “Tiga hari sebelum kejadian, arwah beritahu kakak sulungnya yang sudah meninggal dunia Januari lalu, mengajaknya datang ke rumah. Saya anggap ia hanya gurauan, namun tidak menyangka kata-kata itu menjadi kenyataan."
Demikian luahan pilu mangsa tetak seorang gadis kurang siuman, Juriah Dimiyati @ Demyati, 61, yang turut kehilangan suaminya, Allahyarham Mohd Revuan @ Mohd Reduan Harun 73, dalam tragedi berdarah itu, kelmarin.
Menurut Juriah, paling tidak boleh dilupakannya juga apabila arwah suaminya turut menyatakan hasrat bermain buaian di funfair yang diadakan di Bukit Gambir ketika mereka dalam perjalanan pulang menaiki motor selepas menikmati mi bandung di restoran berhampiran kawasan itu.
“Bagaimanapun saya menolak permintaan arwah secara baik dan memberitahunya tidak sesuai untuk ke sana kerana sudah tua. Arwah pula hanya mendiamkan diri sahaja selepas saya berkata begitu dalam perjalanan pulang ke rumah," katanya.
Dalam insiden itu, Juriah yang turut menjadi sasaran serangan wanita berkenaan mengalami kecederaan parah dengan tiga tetakan di kepala dan terpaksa menerima 40 jahitan ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, kelmarin.
Dia yang masih trauma memberitahu Sinar Harian, di matanya masih terbayang-bayang tubuh kurus suaminya berlumuran darah dan tersandar lemah pada dinding bersebelahan bilik mandi.
“Pada mulanya, arwah cuba lari untuk selamatkan diri, tetapi gagal kerana terjatuh disebabkan lantai licin dipenuhi darahnya. Di situlah arwah diserang, ditetak bertalu-talu oleh suspek dan saya dengar dengan jelas tetakan itu seperti orang sedang mencencang ayam.
“Dalam hati, saya hanya mampu berdoa agar suami selamat,” katanya sambil menahan sebak.
Juriah berkata, dia tidak dapat membantu menyelamatkan arwah suaminya kerana keadaan suspek terlalu agresif.
"Saya hanya mampu merangkak ke hadapan rumah untuk meminta pertolongan jiran," katanya.
Bagaimanapun, Juriah bersyukur kerana ketika kejadian, dua cucu yang tinggal bersamanya tiada di rumah kerana mengikut ibu bapa mereka ke bandar Muar.
Sementara itu, anak tunggal Juriah, Mohd Tukiran, 37, berkata, dia tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga suspek berikutan insiden yang menimpa bapanya itu.
“Buat sementara waktu, ibu akan tinggal bersama saya di Bakri selepas selesai hari ketiga kenduri tahlil arwah ayah. Kami akan pulang semula ke sini apabila cuti persekolahan tamat kerana anak-anak sekolah di sini.
“Keluarga suspek ada datang berjumpa dengan saya dan mohon maaf dengan insiden yang berlaku,” katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas maut apabila menjadi mangsa tetakan wanita dipercayai kurang siuman menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Parit Kerinchi, Bukit Gambir dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.41 pagi itu, mangsa, Mohd Revuan yang cedera parah pada bahagian kepala, badan serta putus satu jari tangan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF Muar.
Isterinya, Juriah cedera di bahagian kepala.
Manakala suspek, seorang wanita berusia 22 tahun dan berasal dari Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir yang mengalami masalah kemurungan sejak empat tahun lalu kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Allahyarham Mohd Revuan telah selamat dikebumikan malam kelmarin selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Batu 18, Sengkang, Bukit Gambir.
Thursday, May 31, 2012
Mangsa tetak tunjuk sikap aneh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: