Tuesday, May 29, 2012

Buku Kisah Hidup Pekin Dijual Mulai 1 Jun Depan

Pekin Ibrahim.

PETLAING JAYA: Atas kesedaran untuk berkongsi pengalaman hidup, pelakon Pekin Ibrahim yakin penerbitan buku pertamanya berjudul Memoir Bukan Memoir dapat memberi inspirasi kepada pembaca untuk berjaya.

Pekin berkata, buku dalam bentuk biografi itu banyak menyelitkan pengalaman dan pengajaran tentang perjalanan hidupnya untuk dijadikan panduan oleh pembaca terutamanya golongan muda.

"Saya ingin memberi inspirasi kepada pembaca bahawa jika kita tidak berpelajaran tinggi, bukan bererti kita perlu putus asa dan menyerah kepada takdir.

"Sebaliknya saya ingin memberi motivasi kepada mereka bahawa usaha dalam melakukan sesuatu adalah kunci kepada kejayaan," ujarnya kepada mStar Online pada Selasa.

Tambah Pekin, menceritakan pengalaman sendiri adalah jalan terbaik dalam cubaannya untuk menarik minat pembaca bagi mengetahui kisahnya.

"Saya pada asasnya ingin menghasilkan sebuah buku motivasi tetapi saya bukan seorang pakar dalam bidang itu.

"Apa yang ada adalah kisah saya sendiri yang diharap dapat menyentuh perasaan mereka yang membaca dan mengambilnya sebagai iktibar dan panduan dalam hidup melalui cerita saya," katanya.

Dalam pada itu, Pekin berkata, dia mengambil masa hampir lima bulan untuk menyiapkan buku pertamanya itu dan pengalaman menulis adalah sangat berharga baginya.

Memoir Bukan Memoir bakal berada dipasaran bermula 1 Jun ini.

Bercerita lanjut mengenai Memoir Bukan Memoir terbitan Merpati Jingga itu, Pekin berkata, selain kisah hidupnya buku tersebut turut memaparkan beberapa gambar daripada koleksi peribadinya untuk tatapan peminat.

"Tujuan gambar itu dimasukkan adalah untuk memberi gambaran kepada kisah yang diceritakan dalam buku tersebut dan ia juga sebagai pelengkap kepada karya saya itu,” katanya.

Pekin juga berhasrat untuk menghasilkan buku kedua sekiranya naskhah pertamanya itu diterima baik oleh peminat.

"Buku kedua itu nanti akan menjadi sambungan daripada naskhah pertama dan Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar ia akan berada di pasaran kelak," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Pekin akan berada di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 30 Mei untuk mempromosikan bukunya selain sempena program 'Bedah Buku Memoir Bukan Memoir' di universiti itu.

Bakal berada di pasaran bermula 1 Jun ini, Memoir Bukan Memoir yang dijual pada harga RM30 boleh dibeli menerusi laman web tokobuku.fotopages.com atau menghubungi Faisal Mustafa di talian 017-200-2944.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: