TIUBNANO karbon, bahan paling inovatif abad ke-21 yang mempunyai kegunaan untuk penghasilan produk akhir industri serta mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kini telah mampu dihasilkan oleh saintis tempatan.
Ia hasil kajian selama 11 tahun sekumpulan penyelidik Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Penyelidikan yang dikenali sebagai Kaedah Pengeluaran Berterusan Tiubnano Karbon Menggunakan Reaktor Putaran itu diketuai Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed. Ia sekali gus mencatatkan sejarah sebagai kejayaan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Beliau dibantu Prof. Madya Lee Keat Teong, Dr. Chai Siang Piao, Seah Choon Ming dan Yeoh Wei Ming.
Tiubnano karbon sentuhan anak tempatan itu mempunyai kualiti yang setanding dengan bahan serupa dari luar negara atau lebih baik lagi, sekali gus menyaksikan Malaysia melakar nama apabila mampu menguasai teknologi termaju berkenaan.
Ia juga menjadi antara komoditi terpenting abad ini selain berpotensi memberi impak tinggi kepada bidang penyelidikan tempatan.
Menurut Abdul Rahman, tiubnano karbon mula ditemui saintis dunia sekitar tahun 1991 melalui perkembangan yang dicapai dalam teknologi nano (debu halus).
Katanya, bahan itu berupaya menambah baik kualiti produk pembuatan kerana kekuatan mekanikal, sifatnya yang ringan, namun padat serta struktur elektronik yang unggul.
"Sebelum ini kita berjaya membangunkan bahan pemangkin bagi proses tiubnano karbon ini, diikuti membina sendiri reaktor mini yang mampu menghasilkan kira-kira satu kilogram tiubnano dalam masa sehari.
"Kejayaan menghasilkan tiubnano karbon sendiri ini membolehkan industri-industri yang berkaitan di dalam negara menggunakan teknololgi tersebut selain ditawarkan ke pasaran antarabangsa.
"Teknologi tempatan ini lebih murah berbanding bahan sama dari luar negara, tetapi memiliki ketulenan serta kualiti yang standing ataupun lebih baik," ujarnya.
Sistem reaktor itu menghasilkan tiubnano karbon daripada bahan asas iaitu gas asli menjadikan prosesnya bersifat mesra alam serta berkos efektif.
Tambah Abdul Rahman, kos penyelidikan itu dibiayai sepenuhnya beberapa geran kerajaan termasuk geran terbesar daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bernilai RM1.3 juta.
Tiubnano karbon digunakan secara meluas dalam penghasilan produk-produk akhir seperti cip memori, bateri cas semula, raket tenis, raket badminton, basikal, komposit untuk pembuatan kereta dan kapal terbang.
Katanya, sebagai langkah mengkomersialkan teknologi itu, USM melalui anak syarikatnya, Advance NanoCarbon Sdn. Bhd. kini giat meneroka pasaran dalam dan luar negara termasuk ke beberapa syarikat global.
"Dengan kapasiti yang ada kami mampu menawarkan tiubnano karbon pada harga pasaran AS$30 (RM94) setiap gram yang jauh lebih rendah berbanding pengeluar lain iaitu antara AS$35 (RM110) hingga AS$60 (RM188).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: