Thursday, May 31, 2012

Mata di dalam kenderaan


SEBELUM ini, pihak polis menjadi perintis dalam pemasangan kamera keselamatan pada kereta atas tuntutan kerja mereka.


UNGKAPAN malang tidak berbau seringkali kedengaran setiap kali berlaku kemalangan jalan raya. Penyelesaian sesama pemandu dilakukan sama ada menerusi tuntutan insurans atau sekadar penyelesaian luar.

Tetapi, tidak semua kes berakhir dengan mudah, terutamanya jika kedua-dua pihak saling menuding jari tentang siapa yang bersalah dan harus memikul tanggungjawab.

Melalui kombinasi teknologi optik dan storan, lahir kamera khusus untuk kenderaan yang bertindak sebagai mata dan telinga kenderaan.

Berfungsi seperti kotak hitam kapal terbang, kamera pengawasan itu mampu merakam video sepanjang perjalanan sesebuah kenderaan itu beserta audio.

Sekiranya berlaku sebarang insiden ketika sedang dalam perjalanan, rakaman tersebut boleh digunakan sebagai rujukan dan juga sebagai bukti untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Dimulakan 12 tahun lalu

Kamera pengawasan kenderaan bukan sesuatu yang baharu. Pemasangannya telah mula dipraktikkan sekitar tahun 2000 oleh pasukan polis Amerika Syarikat di dalam kereta peronda bagi tujuan pengumpulan bukti.

Ia juga bagi mengukuhkan keyakinan orang awam terhadap pasukan mereka. Namun, kamera yang digunakan tersebut berkos tinggi, bersaiz agak besar dan memerlukan kepakaran khusus untuk dipasangkan kerana sistemnya yang agak kompleks.

Ini bagi membolehkan rakaman yang jelas dan juga mampu mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan di hadapan ketika bergerak pada jarak yang tertentu, sekali gus membuat carian maklumat pemilik kenderaan tersebut menerusi terminal data bergerak.

Namun bagi pengguna biasa, kita boleh memilih kamera pengawasan pada harga yang mampu dimiliki, lebih kecil dan amat mudah dipasang. Hari ini, pengguna boleh memilih dari pelbagai jenis kamera pengawasan kenderaan.

Bagi pengguna yang mementingkan kualiti rakaman, mereka boleh memilih kamera berdefinisi tinggi (HD). Rakaman boleh disimpan di dalam kad memori yang menyokong kapasiti tinggi dan seterusnya ditonton di komputer.

Kebanyakan kamera pengawasan pada hari ini menawarkan slot kad SD sehingga 32 gigabait bagi membolehkan tempoh rakaman yang lebih panjang.

Bagi yang sering memandu pada waktu malam, sesetengah kamera dilengkapi dengan LED infra merah bagi rakaman pada waktu malam. Terdapat juga yang menawarkan ciri rakaman secara automatik sebaik enjin kenderaan dihidupkan.

Bagi yang mempunyai bajet lebih, mereka boleh memilih kamera yang mempunyai ciri tambahan. Antara ciri tambahan yang terdapat pada sesetengah kamera pengawasan kenderaan ialah:


TERDAPAT pelbagai ciri-ciri berbeza untuk kamera keselamatan bergantung kepada bajet pengguna.


A. Dwilensa

Membolehkan rakaman di dalam kabin kenderaan dirakam. Ini amat berguna bagi membuktikan pemandu tidak mengantuk atau tidak membuat sebarang aktiviti yang boleh mengganggu konsentrasi pemanduan.

B. Aplikasi sistem penentu kedudukan global (GPS)

Kamera yang dilengkapkan dengan GPS boleh merekodkan koordinat. Menggunakan aplikasi khusus, pengguna boleh mengakses Google Maps ketika video dimainkan di komputer sekali gus melihat laluan kenderaan yang dibuat.

C. Sensor graviti

Juga dikenali sebagai G-Sensor, ia merekodkan maklumat sensitiviti graviti. Maklumat itu berguna bagi menentukan keadaan kereta sebelum berlakunya sebarang impak dan membolehkan pihak berkuasa yang melakukan siasatan membuat analisis yang lebih mendalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: