Monday, May 28, 2012

UPM perkasa sukan ragbi

SEBAHAGIAN daripada atlet Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) Ragbi UPM menjalani latihan di Pusat Sukan UPM, baru-baru ini.

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) antara institusi pengajian tinggi awam yang dilantik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi melaksanakan program Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) Ragbi selama lima tahun mulai 2010 hingga 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) Ragbi UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, lantikan itu bagi merealisasikan impian KPT mensasarkan 30 peratus atlet negara bagi sukan ragbi adalah terdiri dari atlet daripada institusi pengajian tinggi awam.

Katanya, program PKS ragbi UPM adala usahasama membangunkan sukan terpilih dengan cara lebih sistematik.

"Ia merupakan satu kesinambungan bagi program ragbi yang dijalankan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) bersama UPM.

"Keupayaan UPM merupakan penyumbang utama melahirkan pemain ragbi di kalangan mahasiswa akan tercapai, selain meningkatkan kemahiran insaniah pelajar dan kebolehpasaran kerja graduan," katanya,

Mohd. Fauzi yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM berkata, malah ia menjadi medan dalam melahirkan atlet ragbi yang terdiri daripada pelajar UPM.

"Atlet ragbi yang bakal dilahirkan ini tidak boleh lari daripada tanggungjawab hakiki mereka sebagai seorang pelajar. Mereka diberi bimbingan dan sokongan dari KPT.

"Malah kebajikan mereka juga terjaga dalam kemudahan prasarana selain sokongan KPT membantu dan menyokong pelajar ini supaya seimbang antara pencapaian akademik dan sukan," katanya.

Mohd. Fauzi berkata, UPM menyediakan sistem latihan yang sistematik dan saintifik dengan melantik jurulatih berkelayakan dan berpengalaman bagi meningkatkan program latihan, analisis permainan, penilaian kecergasan, psikologi, penyelidikan sukan dan pemakanan ragbi.

Selain itu, kemudahan latihan dan peralatan ditingkatkan agar sesuai untuk penganjuran kejohanan peringkat antarabangsa serta lengkap bagi tujuan latihan beban, latihan kemahiran dan latihan pertandingan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: