BUAT pertama kali, pelajar Duta Budaya University of Management and Technology (UMTECH) tampil membuat persembahan kebudayaan pada Konsert Pancaindera di hadapan 20,000 pengunjung sempena Festival Hari Guru 2012 (FHG 2012) baru-baru ini.
Kemunculan Duta Budaya menggamatkan konsert yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Kangsar, Perak itu juga diserikan dengan persembahan artis Mas Idayu, Saleem Iklim, Rahmat Mega dan kumpulan One Nation Emcees.
Konsert itu dikendalikan pelawak Wahid Senario dan penyanyi Ifa Raziah.
Persembahan pembukaan Duta Budaya UMTECH mengetengahkan persembahan gamelan dan 12 tarian irama tradisional pelbagai kaum 1Malaysia yang bermesejkan keharmonian, perpaduan dan hormati-menghormati memukau pengunjung.
Pegawai Unit Kebudayaan dan Seni Kreatif UMTECH, Wan Huzainee Wan Hussein berkata, kepercayaan yang diberikan Kumpulan Utusan kepada Duta Budaya bagi menyerikan FHG 2012 merupakan satu pengiktarafan dan penghargaan yang di terima universiti.
"Di atas kepercayaan yang diberikan itu Duta Budaya mengetengahkan tarian persembahan pembukaan landskap masyarakat setempat melalui inspirasi tarian lama yang sedia ada diolah semula agar lebih segar, menarik dan sesuai dengan peredaran masa kini.
"Duta Budaya menonjolkan koleksi tarian baru yang unik, segar dan berlambangkan 1Malaysia yang meningkatkan daya kreativiti pereka tari dan artis tari yang terdiri daripada 50 mahasiswa dan empat pegawai universiti," katanya.
Selain itu Wan Huzainee berkata, sepanjang FHG 2012 itu, Duta Budaya juga berkesempatan mempamerkan empat belas pakaian etnik masyarakat berbilang kaum di negara ini ketika mengiring Menteri Besar Perak, Dr. Zambry Abd. Kadir ke pentas utama merasmikan FHG 2012.
"Kami amat teruja apabila diberi kepercayaan mengiringi Menteri Besar Perak ke pentas utama festival pada majlis yang berprestij anjuran Unit Pendidikan Kumpulan Utusan.
"Ia menyemarakkan semangat kami untuk terus mendokong aspirasi UMTECH memelihara kebudayaan dan kesenian warisan Melayu di samping mengukuhkan kerjasama kebudayaan antara Kumpulan Utusan dan UMTECH pada masa depan," katanya.
Sebarang pertanyaan mengenai Duta Budaya boleh menghubungi di talian 012-2825124.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: