Monday, May 28, 2012

10,000 pelajar miskin ditawar masuk UiTM

RABIATUL Adawiyah Md. Latif (depan) bersama rakannya gembira apabila diterima masuk belajar di UiTM menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa di Melaka, semalam.

MELAKA 24 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan membuka ruang kepada lebih banyak cawangan di seluruh negara untuk menerima kemasukan 10,000 pelajar bagi mengikuti Program Pra Diploma menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB).

Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, sejak program MDAB dilancarkan, pihaknya menerima lebih daripada 7,000 permohonan untuk mengikuti program tersebut.

''Pada awal program dilancarkan, kita hanya menyasarkan 5,000 pelajar akan diterima masuk mengikuti MDAB di semua cawangan UiTM di seluruh negara.

"Namun, saya lihat sambutan amat menggalakkan dan lebih 7,000 pelajar telah ditawarkan masuk dalam 12 penjelajahan di Semenanjung Malaysia.

"Justeru itu, jika dicampur dengan permohonan dari Sabah dan Sarawak yang diadakan pemilihan bulan depan, saya menjangka 10,000 pelajar bakal mengikuti MDAB," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program MDAB dan majlis penyerahan surat tawaran kemasukan ke UiTM Parlimen Bukit Katil di Dewan Dato' Demang Hussin di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Md. Sirat Abu; Rektor UiTM cawangan Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam dan Pengarah MDAB UiTM Shah Alam, Prof. Madya Mohd. Hanafiah Harun.

Seramai 210 pelajar dari Parlimen Bukit Katil menerima surat tawaran tersebut.

Menurut Sahol Hamid, walaupun permohonan yang diterima melebihi daripada sasaran ditetapkan, namun UiTM tetap memberi peluang dan ruang kepada pelajar bumiputera terutama dari keluarga berpendapatan rendah diterima masuk menerusi program MDAB.

"UiTM tidak akan menolak pelajar daripada golongan berpendapatan rendah untuk mereka melanjutkan pelajaran dan kita akan buka lebih banyak cawangan untuk menampung kemasukan ini," ujarnya.

Katanya, pelajar miskin khususnya di luar bandar tidak boleh dibiarkan tercicir untuk mendapat peluang pendidikan terbaik walaupun mereka tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di beberapa universiti lain.

Beliau berkata, sejak siri MDAB bermula, pihaknya menemui lebih daripada 50,000 pelajar di 12 buah negeri pada sesi taklimat mengenai program tersebut.

Menurutnya, semua kemudahan disediakan kepada pelajar yang mengikuti Program Pra Diploma di universiti ini seperti yuran pengajian percuma dan elaun sara diri adalah hasil sumbangan Alumni UiTM, derma sumbangan syarikat milik kerajaan dan wang zakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: