WANITA berbadan gempal lazimnya dikaitkan dengan kurang keyakinan diri untuk bergaya. Melihatkan teman-teman di sekeliling yang tampil anggun dengan busana Muslimah pelbagai potongan, golongan bersaiz ekstra juga sebenarnya menyimpan impian yang sama.
Namun, pembukaan Butik Matahati Fashionista akhirnya memberi peluang buat perempuan bersaiz besar menikmati peredaran fesyen. Rangkaian dres dan blaus rona terang dihiasi motif menarik, menghidupkan keyakinan mereka.
Bukan itu sahaja, kaum Hawa hari ini juga lebih tertumpu pada pakaian yang mempunyai sambungan penutup kepala (hoodie). Sama ada dres, blaus atau kardigan dengan hoodie, ia bergantung pada pilihan masing-masing.
Busana dengan cantuman hoodie meningkatkan imej kesopanan buat si bertudung yang mahu kelihatan berbeza. Mereka yang memilih untuk melepaskan rambut pula akan tampak ranggi dengan pakaian tersebut.
Sorotan palet terang seperti merah, kuning, biru dan hijau menyerlahkan aura feminin si pemakai. Paduan warna terang dan gelap pula disuntik dengan penggunaan motif bintik polka bagi menyerikan penampilan.
|
|
“Material yang kita gunakan pula terdiri daripada pelbagai jenis kain kapas. Ia bagi menepati cuaca di negara ini yang panas dan lembap sepanjang tahun.
“Kombinasi warna terang dan fabrik tersebut menjadikan busana yang dijual di butik ini tidak terlalu menyerap haba,” ujar pemilik Matahati Fashionista, Azlihana Abdul Rahim, 36, ketika ditemui pada majlis perasmian butik tersebut.
Tidak terhad untuk wanita dewasa, busana yang disediakan di butik itu juga menepati cita rasa remaja perempuan bermula usia 12 tahun.
Aksesori yang ditawarkan juga mengikut peredaran zaman. Antara pelengkap gaya yang popular dalam kalangan wanita Muslimah hari ini ialah turban. Penangan aksesori itu cukup hebat dan tidak hanya digayakan kelompok selebriti, wanita biasa juga sudah berani tampil di tempat awam dengan turban.
“Harga yang kami tawarkan adalah berpatutan. Blaus dengan hoodie dijual bermula pada harga RM89 manakala dres pada harga RM180 ke atas,” ujar pemilik bersama butik tersebut, Rozilah Abdullah, 46.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: