PADA bulan November ini, penyanyi lagu berentak R&B dan jazz, Noryn Aziz bakal menginjak usia 36 tahun. Namun, peningkatan umur sedikitpun tidak membimbangkan anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu malah menyifatkan ia satu proses normal yang pasti dilalui oleh setiap individu.
“Apabila usia bertambah, kehadiran garis halus yang ketara pada wajah bukanlah masalah utama bagi saya kerana ia boleh diatasi dengan penggunaan produk kosmetik dan petua tradisional. Tetapi, perkara yang merungsingkan ialah tahap metabolisma badan yang semakin rendah.
“Berat badan boleh naik secara mendadak, namun memerlukan tempoh yang lama untuk menurunkannya. Sebab itu, kini saya menitikberatkan soal pemakaian seimbang, berkhasiat dan pengambilan makanan tambahan,” jelas Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz, ketika ditemui Stailo di Hotel Quality, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Guru vokal di International College of Music (ICOM), Jalan Setapak, Kuala Lumpur itu memberitahu, untuk kekal langsing dan cantik dia menolak rawatan moden seperti suntikan botox. Sebaliknya, menjalani rejim harian yang disarankan pakar kecantikan profesional dan hasil bacaan menerusi Internet.
Justeru menerusi ruangan Riak Rias minggu ini, Noryn Aziz sudi berkongsi tip penjagaan wajah dan penampilan yang selamat dan mudah untuk dipraktikkan di rumah.
Amalan membersih wajah
Bagi mengatasi masalah pigmentasi, jerawat dan kulit wajah berminyak, Noryn akan memastikan wajahnya dicuci dan dilapisi krim pelembap serta pelindung sinaran ultra ungu (UV). Jelasnya, jenama La Mer merupakan produk penjagaan wajah kegemaran kerana sesuai dengan jenis kulitnya yang kering.
Selain itu, Noryn turut menggunakan Serum Rodial Glamoxy Snake yang digunakan oleh selebriti antarabangsa seperti Kylie Minogue, Victoria Beckham dan Katie Holmes. Serum yang mengatasi masalah penuaan dan mengurangkan kedutan itu dihasilkan daripada ekstrak buah delima yang kaya dengan antioksida. Ia turut mengandungi kolagen dan agen penegang yang membantu membuatkan kulit lebih sekata serta lembut.
Wajib bersolek
|
|
Noryn kurang selesa keluar dari rumah sekiranya wajah tampak kusam dan pucat. Atas faktor tersebut dia akan mengoles gincu bibir, bercelak dan menyapu pemerah pipi.
“Saya suka solek sendiri kerana bebas memilih konsep dan warna pilihan. Biasanya konsep smokey eyes menjadi keutamaan supaya sepasang mata kelihatan galak dan besar,” jelas Noryn yang menggemari pembayang mata rona hitam, coklat dan kuning keemasan.
Turban dan selendang
Selepas mengerjakan umrah pada tahun 2008, Noryn mengambil keputusan untuk membuang imej seksi dan selesa dengan lilitan turban. Namun, pada dua tahun lalu, dia nekad bertudung sepenuhnya sebaik saja pulang daripada menunaikan ibadah haji.
Noryn gemar membeli selendang yang berasaskan fabrik kain kapas kerana sesuai dengan cuaca Malaysia yang panas dan lembap. Pada masa yang sama, selendang jenis itu mudah digayakan dengan pelbagai teknik lilitan.
Makanan kesihatan badan
Selain menikmati sayur-sayuran organik dan mengelakkan makan malam, Noryn turut mengambil pil suplemen yang membantu membuang toksin, menyihatkan tubuh badan dan memberi tenaga supaya tidak mudah letih. Dalam sehari, Noryn mengambil sehingga sembilan biji vitamin dan suplemen.
Gemar melulur
Sebulan sekali Noryn akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya empat jam untuk menjalani rawatan badan dan wajah di salah sebuah spa di Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Selain bertangas yang menggunakan herba, dia akan menjalani proses mandian susu untuk mencerah dan menghaluskan kulit badan, urutan serta lulur.
“Saya suka melulur badan. Boleh dikatakan setiap hari saya melulur badan di rumah bagi menanggalkan kotoran dan sel kulit mati,” tambah Noryn yang menyukai busana nuansa gelap.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: