Pada usia sementah sembilan tahun, Tina ( bukan nama sebenar) sudah pandai menjalin hubungan cinta dengan kawan lelaki.
Namun hubungan terjalin itu diibaratkan seperti cinta monyet ketika zaman kanak-kanak. Ia hanya mampu bertahan selama dua tahun.
Walaupun tempohnya singkat, tetapi kesan daripada perpisahan tersebut menyebabkan tersimpan secubit perasaan tidak percaya pada kaum lelaki sehinggalah dia menyambung pelajaran di sekolah menengah.
Jelas Tina, ketika di tingkatan tiga dia telah berkenalan dengan seorang senior di sekolahnya yang dikenali sebagai Ema (bukan nama sebenar).
Ema seorang gadis cantik dan lembut, dua tahun lebih tua daripada Tina.
Pada mulanya hubungan mereka berjalan seperti biasa sebagai rakan atau lebih kepada kakak dan adik.
"Lama kelamaan hubungan kami semakin rapat. Ema telah meluahkan perasaannya untuk mengambil saya sebagai adik angkat," katanya.
Tina menerima pelawaan Ema lebih-lebih lagi ketika itu dia merasa keseorangan dan memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan.
"Dalam tempoh dua tahun hubungan kami menjadi rapat dan mula terselit perasaan sayang dan cinta antara satu sama lain.
"Hubungan dengan Ema merubah hidup saya. Apatah lagi apabila kami pernah tidur sekatil beberapa kali sehingga menimbulkan perasaan syak kepada rakan-rakan lain.
"Namun, hubungan itu hanya mampu bertahan dua tahun apabila Ema mengambil keputusan untuk berpisah dengan alasan mempunyai teman lelaki yang amat disayanginya," kata Tina.
Berpisah dengan Ema bagaikan satu pukulan hebat pada Tina yang pada anggapannya pengorbanan membuang segala perasaan minatnya terhadap lelaki nyata sia-sia.
"Selepas berpisah dengannya saya mula berubah daripada seorang remaja perempuan yang lembut kepada karakter seperti seorang budak lelaki.
"Selain perubahan ketara pada perasaan yang menyukai wanita, perubahan aspek fizikal juga berlaku kepada saya seperti berambut pendek dan berpakaian seperti lelaki," katanya.
Ujarnya, tabiat itu berlarutan malah minatnya terhadap wanita juga berterusan sehingga dia menyambung pelajaran di universiti di selatan tanah air.
"Di alam universiti saya dikelilingi ramai kawan yang datang dari pelbagai latar belakang keluarga.
"Begitupun, saya masih dengan perangai lama iaitu gemar melihat dan mencari kawan-kawan perempuan yang cantik dan mempunyai perwatakan menarik untuk dijadikan pasangan," katanya.
Namun semuanya mula berubah apabila Tina berkenalan dengan seorang kawan perempuan sekelas iaitu Dhia (bukan nama sebenar) pada semester kedua pengajian.
"Dhia seorang gadis cantik dan baik hati. Walaupun Dhia seorang yang lemah lembut tetapi dia tidak kisah untuk berkawan dengan saya.
"Pernah beberapa orang rakan kelas memulaukan Dhia kerana berkawan dengan saya.
"Tetapi dia tidak kisah kerana niatnya ikhlas untuk membawa saya kembali ke jalan benar," katanya.
Setelah berkawan dengan Dhia, sedikit demi sedikit perangai Tina berubah kembali kepada perwatakan seperti seorang wanita.
"Namun, dalam pada masa yang sama, saya menyimpan perasaan istimewa padanya lebih daripada seorang kawan.
"Saya bertindak berani meluahkan perasaan kepadanya. Namun, Dhia telah menolak dan memarahi kerana tidak dapat menerima keadaan tersebut," katanya.
Selepas luahan perasaan ditolak oleh Dhia, Tina kecewa lalu kembali kepada perangai lama seperti seorang lelaki.
"Selepas ditolak oleh Dhia, saya menjadi semakin liar dan tidak terkawal. Saya mula merokok, mengambil minuman keras dan mula bergaul dengan rakan-rakan pengkid.
"Dhia pernah menasihati saya untuk berubah dan tidak mahu hubungan persahabatan kami musnah kerana keadaan tersebut.
"Saya tidak menghiraukan nasihatnya, malah bertindak menjauhkan diri darinya," katanya.
Ujarnya, walaupun setelah hampir setahun peristiwa itu berlaku, beliau masih tidak dapat melupakan Dhia sehingga kini.
Tambah Tina, bukan tidak terdetik dalam hatinya untuk kembali ke pangkal jalan, tetapi suasana persekitaran dan dirinya masih belum kuat untuk berubah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: