BAGAI bulan jatuh ke riba. Itulah ungkapan syukur yang tidak terhingga yang mampu diucapkan oleh dua penerima bertuah hasil kutipan kempen Umrah Seringgit Sejuta Nilai (USSI).
Omar Ravi Abdullah, 42, dan Abdul Samad Safei, 59, yang tergolong dalam keluarga kurang kemampuan tidak pernah menyangka terpilih sebagai peserta pertama program USSI yang dilancarkan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) pertengahan Februari lalu.
Siapa duga niat suci dua insan bertuah itu dimakbulkan Allah SWT apabila menjadi dua peserta yang terpilih daripada keseluruhan umat Islam di Malaysia.
Siapa yang tidak mahu menjejakkan kaki ke tanah suci. Begitu juga dengan impian mereka sejak berpuluh tahun lalu walaupun dianggap mustahil memandangkan kos perjalanan yang tinggi dan memerlukan perbelanjaan yang banyak.
Omar yang berstatus mualaf berkata, sejak memeluk Islam pada tahun 1988, dia telah menanamkan azam untuk melihat kiblat umat Islam dengan mengerjakan ibadah umrah.
Namun, oleh kerana hidup yang serba kekurangan dengan pendapatan tidak menentu hasil kerja kampung yang dilakukan menghalang niat sucinya itu.
Lebih menyedihkan, Omar hidupsebatang kara setelah dibuang keluarga sebaik mendapat tahu dia memeluk Islam.
"Saya sangat terkejut apabila diberitahu terpilih sebagai peserta pakej umrah anjuran kempen USSI ini. Kerana dalam keadaan sekarang, aya sama sekali tidak menyangka dapat menunaikan umrah.
"Saya percaya ini adalah ketentuan Allah SWT yang telah dirancang kepada kita. Sejak memeluk Islam pada tahun 1988, yang ada masa itu berusia 18, saya telah bercita-cita untuk menunaikan umrah.
"Namun saya sedar akan kemampuan diri. Namun saya tidak pernah berhenti berdoa untuk menjejakkan kaki ke tempat suci umat Islam itu," katanya yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor.
Omar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima tiket penerbangan peserta USSI yang disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom di Dewan Syarahan Masjid Negara, baru-baru ini.
Program USSI mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mengumpulkan sumbangan derma RM1 daripada orang ramai bertujuan menghantar golongan kurang berkemampuan ke tanah suci untuk menunaikan umrah.
Jumlah kutipan yang dikumpulkan sejak dilancarkan pada Februari sehingga Mei ialah sebanyak RM15,000.
Omar dan Samad telah berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur ke Jeddah pada 12 Mei lalu dan dijangka pulang esok dengan ditemani beberapa wakil penganjur.
Selain mengutip wang ringgit, USSI juga berjaya mendapatkan sumbangan berupa buku panduan umrah, makanan kesihatan, beg serta kain ihram yang disumbangkan beberapa agensi yang prihatin.
Sementara itu, bagi Samad program seumpama itu sangat baik dan perlu bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk turut berpeluang mengerjakan umrah.
"Usaha melancarkan USSI ini sangat bagus dan perlu dicontohi oleh pihak lain. Ia bukan sahaja memberi peluang kepada golongan tidak mampu untuk menunaikan umrah malah menggalakkan orang ramai bersedekah.
"Saya sedar diri sendiri tidak mampu, tetapi dengan adanya program ini memberi peluang kepada saya untuk melakukan sesuatu yang telah lama saya hajati," katanya.
Samad yang merupakan pesara bomba pelabuhan hanya bergantung hidup dengan duit pencen sebanyak RM400 sebulan di samping melakukan kerja-kerja kampung untuk membiayai enam daripada 12 anaknya yang masih bersekolah.
Ditambah dengan kecederaan dihadapi akibat kemalangan van yang hampir meragut nyawan turut menghalangnya daripada melakukan kerja-kerja berat.
"Saya pernah ditimpa kemalangan ngeri sebanyak dua kali ketika memandu van beberapa tahun lalu sehingga mengakibatkan kecederaan teruk pada anggota tubuh saya.
"Ini membuatkan pergerakan saya terbatas. Ditambah pula dengan faktor umur," ujarnya.
Dalam pada itu, Jamil Khir ketika ditemui menasihatkan Omar dan Samad supaya melakukan ibadah umrah dengan sebaik mungkin agar mendapat umrah yang makbul.
"Dua peserta yang terpilih ini merupakan peserta yang bertuah. Mereka diberi peluang untuk mengerjakan umrah secara percuma.
"Diharap, peserta dapat menunaikan ibadah umrah dengan sebaik mungkin dan sentiasa bersemangat untuk mendapatkan umrah yang makbul, katanya.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, penganjur tidak bercadang untuk membuka tawaran sumbangan untuk mengerjakan ibadah haji memandangkan kekangan kuota yang dihadkan kerajaan Arab Saudi serta faktor semangat peserta yang mungkin luntur jika perlu menunggu giliran yang lama.
Program akan diteruskan dengan mensasarkan untuk menghantar antara seorang atau dua peserta setiap bulan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: