SIAPA sangka, barangan yang hanya diperbuat daripada tanah liat mampu dijadikan hiasan yang menarik seperti produk hiasan rumah, aksesori perhiasan diri dan juga cenderahati.
Malah, penghasilan seni dari tanah liat seperti seramik terus berkembang dan masih diminati serta digemari ramai kerana nilai estetika yang terdapat pada produk itu sendiri.
Buktinya, terdapat pelbagai pengeluaran produk dihasilkan oleh Terusi Art Studio yang terletak di kawasan Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.
Ini termasuklah menghasilkan produk hiasan dalaman seperti perhiasan dinding, batu rantai, cenderahati dan sebagainya.
Menurut pemilik Terusi Art Studio, Mohd. Fauzi Mohd. Tahir, 36, seramik yang diperbuat daripada tanah liat ini sangat unik kerana rekaan dan coraknya adalah eksklusif dan tersendiri terutama dari segi motifnya.
"Sememangnya ia tidak memerlukan modal yang besar untuk membuat produk seramik ini, hanya menggunakan tanah liat.
"Penglibatan saya dalam industri ini adalah untuk mengangkat martabat tanah liat selain menghargai keindahan ciptaan Tuhan yang boleh digunakan oleh manusia sepenuhnya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ditanya bagaimana beliau mula menceburi industri ini, katanya, ia sebenarnya bermula semenjak di bangku sekolah lagi.
Sebelum terlibat secara serius dalam bidang seramik, Mohd. Fauzi pernah berguru dengan Pengarca Malaysia, Mad Anuar Ibrahim dari tahun 1998 sehingalah kini untuk belajar secara lebih mendalam mengenai teknik penghasilan produk.
Katanya, kehadiran Mad Anuar pada masa itu, memberi peluang kepadanya untuk menimba ilmu di samping membantunya melakukan kerja pengarcaan.
"Saya pernah menghasilkan arca, besi dan pernah juga membuat lukisan sebelum terlibat dalam pengeluaran produk seramik,"katanya yang sudah lapan tahun terlibat dalam industri seramik.
Kemudian, pada tahun 2002, dia dapat menghasilkan karyanya sendiri sehinggalah berjaya membuka kelas seramik pada awal tahun 2010.
Jelasnya, dia tidak begitu berminat dalam pembuatan seramik, tapi lama- kelamaan semakin tertarik dan jatuh cinta dalam industri ini apabila menyertai seorang rakannya dalam penghasilan seramik.
"Pada mulanya, memang sukar untuk menghasilkan seramik dan mengambil masa hampir enam bulan untuk menyiapkannya tetapi lama-kelamaan saya dapat menyiapkannya untuk menjadi satu barangan yang cantik dan menarik,"ujarnya.
Dalam proses pembuatan seramik ini katanya, tanah liat stoneware digunakan kerana ia mudah dibentuk dan boleh direka mengikut cita rasa dan kehendak sendiri. Selepas itu ia perlu dikeringkan dalam seminggu.
Ketika proses mengering, tanah liat ini perlu dibakar dan suhu perlu dikawal. Untuk menyiapkan produk ini, biasanya mengambil masa selama seminggu bergantung kepada saiznya.
Katanya, pembuatan seramik ini sebenarnya tidak begitu sukar jikalau mengetahui teknik-teknik tertentu dalam pemprosesan produk tersebut.
Katanya, sambutan dan permintaan daripada orang ramai terhadap produk seramik ini cukup menggalakkan dan kebanyakkannya adalah daripada warga asing.
Bagi mereka yang berminat untuk memiliki produk seramik boleh melayari Facebook Terusi Art Studio ataupun boleh hubungi di talian 019-2593047.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: