Monday, May 28, 2012

Telekung Siti Khadijah dipatenkan

AGAK sukar juga mencari telekung yang sesuai dengan muka dan selesa dipakai. Kebanyakan telekung yang banyak dijual tidak selesa di mana bahagian muka terlalu longgar, getah di dahi terlalu ketat atau bahagian dagu yang terlalu besar.

Ada yang terpaksa membaiki semula telekung yang dibeli itu supaya selesa. Mungkin mereka membeli kerana tertarik dengan sulaman dan renda yang dijahit pada telekung tersebut. Namun jika hendak digunakan untuk beribadat, telekung yang dipakai mestilah memenuhi syariat seperti dapat menutupi anak rambut dan dagu dengan sempurna.

Berbicara mengenai telekung yang memenuhi syariat, Padzilah Enda Sulaiman, 49, berkata, kebanyakan masalah yang terdapat pada telekung adalah pada bahagian muka.

Ada yang bahagian muka telekung longgar sehingga si pemakai terpaksa memakai anak tudung. Ada pula bahagian dagu terlalu kecil sehingga muka terasa seperti dicengkam. Cuma yang cantik sulaman dan rendanya.

‘‘Orang kita suka membeli telekung di Indonesia dan Vietnam kerana harganya murah dan sulamannya pula cantik. Bila dilihat cantik, mereka terus membeli tanpa mencuba. Bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana mungkin mereka tidak sempat hendak mencuba.

‘‘Tetapi apabila pulang ke rumah dan setelah dicuba, barulah terasa bahawa telekung yang dibeli itu tidak begitu selesa dan terpaksa pula mereka membaikinya,’’ ujar Padzilah yang ditemui di butiknya, Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd. yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Padzilah yang sering mendengar rungutan teman-temannya mengenai masalah telekung apabila mereka hendak menunaikan haji dan umrah mula membuat kajian mengenai telekung.

Contohnya bahagian muka telekung yang bagaimana yang selesa dipakai, bahagian dahi dan sebagainya.

Tambahnya, apabila berjaya membuat sehelai telekung yang memuaskan hati, beliau terus mendaftarkannya pada bahagian reka bentuk industri untuk dipatenkan supaya tiada yang meniru.

Beliau yang mula membuka butik yang menyediakan pakaian dan kelengkapan haji, umrah, ihram, tudung dan sebagainya ini pada tahun 2009 mendapat sambutan yang di luar jangkaan.

‘‘Keistimewaan keluaran pertama telekung Siti Khadijah ialah terdapat awning di dahi, bahagian anak telekung yang melekat di bahagian dalam (di dahi), bahagian dagu yang lebih selesa dan lebar di mana saya menggunakan jenis fabrik yang memeri.

‘‘Fabrik memeri ini mengikut bentuk muka dan lembut setiap kali pergerakan muka contohnya semasa kita mengaji, makan atau bercakap. Semasa menunaikan umrah dan haji kita sentiasa memakai telekung. Jika tidak selesa, pasti ia memberikan masalah kepada kita,’’ ujar ibu kepada enam orang anak lelaki berumur di antara 28 tahun hingga 14 tahun.

Menurutnya lagi, telekung Siti Khadijah menggunakan tiga jenis fabrik, iaitu 100 peratus kain kapas, 100 peratus kain poliester bergred tinggi dan campuran kain kapas serta poliester berwarna putih dan kuning air.

Telekung juga dibuat dalam tiga saiz, iaitu S, M dan L. Bagaimanapun beliau turut menerima tempahan pelanggan yang mahukan saiz XS dan XL. Harga bagi setiap helai telekung adalah di antara RM100 hingga RM480.

Terdapat tiga rekaan telekung, iaitu asli, klasik dan moden dengan tiga pilihan labuh telekung, iaitu labuh standard, ekstra labuh dan midi.

Beliau menambah, pada masa hadapan, beliau merancang untuk membuat telekung daripada fabrik kasa rubia ditambah dengan sulaman dan manik yang akan dijual pada harga RM2,000 ke atas.

Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai telekung Siti Khadijah, boleh menghubungi 013-2102668 atau layari www.siti khadijah.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: