KEGIATAN skuba bukan sahaja memerlukan ketahanan mental dan fizikal, malah memerlukan keberanian.
Ini kerana aktiviti tersebut mementingkan disiplin diri yang tinggi kerana ia berkait rapat dengan faktor dan ciri-ciri keselamatan bukan sahaja kepada diri penyelam, malah melibatkan peralatan yang digunakan.
Walaupun dunia skuba bakal memberi kepuasan kepada mereka yang meminatinya, tanpa disiplin ia boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa penyelam.
Sehubungan itu, setiap penyelam sentiasa diingatkan supaya mengutamakan keselamatan diri dan peralatan apabila menjalani aktiviti tersebut.
Seseorang yang hendak melakukan aktiviti menyelam perlu memiliki lesen menyelam yang diiktiraf oleh badan-badan tertentu.
Di samping itu, aktiviti menyelam selama ini kebanyakannya disertai oleh kaum lelaki berbanding wanita.
Keadaan ini seolah-olah mempamerkan hanya lelaki sahaja yang berkemampuan atau berkebolehan melakukan aktiviti tersebut.
Sebenarnya golongan wanita juga ramai yang berminat, malah mempunyai kebolehan yang sama atau lebih berbanding kaum lelaki dalam aktiviti skuba ini.
Disebabkan beberapa kekangan seperti bentuk pakaian selam, kaum wanita adakalanya terpaksa mengurangkan pembabitan mereka dalam dunia skuba tersebut.
Sehubungan itu, bagi merealisasikan kegiatan skuba bagi kaum wanita, mereka terpaksa ditemani rakan-rakan wanita lain atas sifat-sifat pemalu.
Namun kini semua permasalahan kaum wanita untuk menyertai aktiviti skuba kini telah diatasi termasuk melibatkan soal pakaian.
Malah, semakin ramai kalangan wanita bertudung menyertai aktiviti skuba kerana pemakaian tudung tidak sekali-kali menghalang mereka berbuat demikian.
Sebaliknya, pemakaian tudung ketika menyelam dirasakan lebih selesa dan kemas dan rambut yang ditutup pula didapati tidak mengganggu aktiviti berkenaan.
Penyertaan wanita dengan jumlah yang besar dalam satu-satu masa kegiatan menjalani kegiatan skuba memang jarang dilakukan.
Sehubungan itu, baru-baru ini 32 orang wanita daripada pelbagai latar belakang berjaya dikumpulkan dalam aktiviti selam secara berkumpulan yang diberi nama DIVhER.
Lebih menarik, aktiviti skuba itu dilakukan di atas kapal atau lebih dikenali sebagai Live on Board' atau LOB.
Berbeza dengan LOB, sebelum ini kebanyakan aktiviti skuba yang melibatkan penyelam wanita banyak tertumpu di resort atau calet.
Aktiviti LOB menggunakan dua buah kapal di mana para peserta wanita terbabit akan bermalam di atas kapal selain menjalankan kegiatan skuba dari satu lokasi ke lokasi lain.
Apa yang menarik, kapal-kapal berkenaan akan bergerak dari satu lokasi-lokasi selaman yang menjadi pilihan penyelam.
Antaranya melibatkan Pulau Aur, Pulau Sibu dan beberapa buah pulau lagi sekitar Johor selama tiga hari dua malam.
Ia dianggap satu catatan sejarah melibatkan sejumlah besar penyelam wanita dengan menjadikan LOB sebagai tempat beriadah, makan minum dan melakukan selaman.
Penganjur aktiviti, Pengarah Urusan Le Shuttle Event (M) Sdn. Bhd., Jamari Muhyi, memberitahu Utusan Malaysia, aktiviti yang menggabungkan sejumlah besar penyelam wanita itu dianggap pertama kali dalam sejarah di samping menggunakan konsep LOB.
Menurutnya, idea mengumpulkan para penyelam wanita dalam kapal tercetus setelah pihaknya menerima 'rungutan' daripada beberapa penyelam wanita yang mahukan satu kelainan untuk mereka berkumpulan dan berkenalan antara satu sama lain sambil menjalankan aktiviti menyelam.
''Mereka (wanita) menyatakan lebih selesa jika dapat menyelam sesama sendiri.
''Dari situ tercetus idea untuk mengumpulkan sejumlah besar penyelam wanita. Bagi menjadikan aktiviti itu lebih menarik, maka kami kumpulkan mereka dalam kapal melalui aktiviti LOB,'' katanya.
Melalui aktiviti DIVhER, dua buah kapal berkenaan bergerak dari Tanjung Gemuk di Pahang dan menjelajah beberapa buah pulau sekitar perairan Johor.
Antara pulau yang menjadi tumpuan para penyelam wanita berkenaan ialah Pulau Aur dan Pulau Sibu.
Kegiatan menyelam itu secara tidak langsung memperkenalkan perairan Johor serta pulau-pulau sekitarnya sebagai antara destinasi menarik untuk kegiatan skuba.
Apa yang menarik, melalui kegiatan LOB itu, ia umpama tinggal dalam sebuah rumah besar yang terapung serta dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik tidur, televisyen, lobi, dapur, bilik air dan penghawa dingin.
LOB DIVhER itu turut mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan, Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Johor, Tourism Malaysia Johor dan beberapa agensi penguat kuasa lain.
Memandangkan aktiviti mengumpulkan penyelam-penyelam wanita itu mendapat sambutan, pihak penganjur telah merancang aktiviti serupa dalam masa terdekat ini.
Bagi para penyelam wanita yang berminat menyertai aktiviti sama mereka boleh mendapatkan maklumat dalam Facebook DIVhER.
Sementara itu, Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Johor, Edzuar Zar Ayob Azari berkata, program itu berjaya mencatatkan sejarah kerana buat pertama kali mengumpulkan sejumlah besar penyelam wanita yang menjalankan aktiviti skuba dari atas kapal.
Menurutnya, program itu secara tidak langsung memperkenalkan destinasi menarik terutama pulau-pulau sekitar Johor.
''Kami percaya banyak pulau di Johor dapat dijadikan destinasi menarik untuk pelancong dalam dan luar negara.
''Malah, perairan Johor juga mampu diketengahkan sebagai lokasi menyelam. Yang penting, pendedahan ini perlu dibuat secara berterusan,'' katanya.
Edzuar menambah, program LOB DIVhER membolehkan para peserta mengenali antara satu sama lain dan bertukar-tukar pandangan.
''Kami juga bercadang untuk memperluaskan LOB DIVhER ini pada masa terdekat yang bakal menyaksikan para penyelam wanita di bawah bukan sahaja sekitar kepulauan Johor, malah meliputi Pahang dan Terengganu,'' katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: