Monday, May 7, 2012

Tarikan semula jadi Victoria

Air Terjun Erskine merupakan destinasi ideal untuk aktiviti beriadah.

Bagi mereka yang ingin berkunjung ke lokasi ini, musim bunga merupakan masa terbaik buat anda mengunjunginya.

Dengan latar belakang yang menakjubkan dan persekitaran semula jadi yang memukau pandangan, Victoria menawarkan pakej percutian idaman kepada setiap pengunjung.

Selain menikmati pemandangan indah dari atas belon udara, tarikan yang terdapat di sana bukan sekadar aktiviti pelancongan samata-mata kerana pengunjung berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi sambil menerokai pelbagai kawasan menarik yang terdapat di kawasan tersebut.

Apa kata ubah kunjungan anda kali ini dari lokasi bandar serba mewah ke lokasi hijau dipenuhi dengan aktiviti dikelilingi suasana damai.

Jika anda ke Melbourne, apa kata anda melawat Yarra Valley, Dandenong dan Ranges yang terkenal dengan keindahan alam.

Saksikan sendiri keindahan hutan menghijau, tanah ladang beralun dan tumbuh-tumbuhan menjalar yang bertukar warna mengikut musim di Yarra Valley.

Puas menikmati panorama di sana, pengunjung boleh memandu ke Black Spur antara Healesville dan Marysville.

Di sana terletaknya sebuah lokasi dipenuhi pokok-pokok pain, air terjun dan lokasi pemerhati dari dek yang dibina khas buat pelawat menikmati suasana menyegarkan.

Lokasi pantai juga merupakan antara tarikan utama yang terdapat di Victoria dan pengunjung berpeluang mengunjungi Pulau Phillip.

Di sana, pengunjung berpeluang melihat keindahan formasi gua dan batu-batu bersaiz luar biasa.

Mercu tanda semula jadi dan formasi di pulau itu kesemuanya terhasil daripada gelora ombak semula jadi sehingga salah satu kawasan tumpuan ramai iaitu Pyramid Rock membentuk tiang-tiang seperti piramid di atas platform berbatu granit.

Setiap waktu senja di Pulau Phillip merupakan acara yang ditunggu-tunggu ramai kerana pada waktu tersebut, pengunjung berpeluang menyaksikan perarakan penguin yang muncul dari laut dan membuat lubang dalam pasir.

Pulau ini juga merupakan habitat buat sejumlah kelompok spesies beruang koala dan koloni anjing laut yang tinggal di Seal Rock yang terletak di hujung bahagian barat pulau dari bulan Oktober hingga Disember.

Selain itu, pelbagai jenis burung boleh dilihat seperti shearwater yang terbang untuk pulang ke sarangnya dari Cape Woolamai atau spesies burung air di Rhyll Inlet.

Selain itu, Forrest Caves pula bakal membawa pengunjung melihat hakisan gua yang dibentuk berjuta-juta tahun dahulu manakala Cape Woolamai pula menawarkan panorama formasi batu Pinnacles.

Tarikan-tarikan indah di Great Ocean Road dan Twelve Apostles pula menawarkan lokasi pemandangan pantai paling menarik di Australia.

Pengunjung berpeluang berjalan sambil ditemani pemandangan indah dari hutan Maits Rest Melba Gully yang terletak dalam Otways berdekatan dengan Lavers Hill yang dipenuhi dengan pokok-pokok berlumut purba.

Memasuki Otway pula, pengunjung berpeluang untuk singgah ke lokasi air terjun yang banyak terdapat dalam kawasan lembah Otway Ranges.

Antaranya seperti Air Terjun Erskine yang merupakan destinasi paling ideal untuk aktiviti berkhemah dan berkelah.

Sambil meredah denai belantara, perjalanan hutan bakal membawa pengunjung ke Tasik Elizabeth dari Lorne dan Apollo Bay.

Bagi tujuan berehat, pengunjung boleh singgah ke Kafe Otway Fly Treetop Walk yang merupakan elevated walk terpanjang dan tertinggi di dunia.

Ia dibina pada ketinggian 25 meter dari paras laut dengan panjang lebih 600 meter. Secara keseluruhan, pengunjung perlu bergerak sejauh 1.9 kilometer dari Pusat Pelancongan dan ia hanya mengambil masa kira-kira 45 minit atau sejam untuk melawat keseluruhan kawasannya.

Jika anda memilih untuk mengunjungi Great Ocean Road, tarikan paling terkenal yang terdapat di sana adalah Twelve Apostles.

Lokasi ini terkenal dengan pemandangan matahari terbit dan terbenam. Selain itu pengunjung juga berpeluang ke pantai melalui anak tangga Gibson Steps dan Loch Ard Gorge.

Great Ocean Walk telah direka oleh Taman Victoria dan kawasan ini sesuai untuk bersiar-siar.

Lokasi tapak perkhemahan yang terdapat di sana perlu ditempah terlebih dahulu sebelum anda mengunjungi lokasi ini.

Dua kilometer dari timur Victoria merupakan kawasan sempadan bahagian selatan Australia. Di sana terletaknya kawasan yang dikenali sebagai Cape Bridgewater dan Gua Princess Margaret Rose.

Bagi ke sana, pengunjung boleh memilih pakej lawatan dari Sungai Glenelg melalui kawasan gaung batu kapur sejauh 15 kilometer.

Pengunjung juga berpeluang melihat kehebatan stalagtit, stalagmit, helictites dan formasi batu kapur lain yang menakjubkan.

Kepada pelawat yang ingin menikmati percutian kembara yang lebih mencabar dengan pelbagai aktiviti rekreasi bolehlah ke Grampian Victoria.

Kawasan ini menawarkan pelbagai aktiviti berbentuk pengembaraan dalam sebuah taman negara yang sentiasa dipenuhi dengan hidupan liar.

Untuk ke sana, pengunjung hanya perlu memandu selama tiga jam dari Melbourne.

Keindahan alam yang terdapat di Grampian National Park ini dibina lengkap dengan laluan pejalan kaki, kawasan air terjun, dek pemerhati hidupan liar termasuk kawasan pergunungan Arapiles yang terkenal di seluruh dunia.

Temui 1,000 spesies bunga-bunga liar di sana dan 24 daripadanya hanya boleh ditemui di Grampian dan 12 bunga liar lain pula hanya boleh dijumpai di Little Desert.

Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sana termasuk memancing atau menyusuri sungai dan tasik dengan perahu yang disediakan.

Taman negara ini juga dijadikan sebagai tempat perlindungan kepada hampir 45 peratus spesies burung yang terdapat di Victoria termasuk pelbagai spesies reptilia dan mamalia seperti kanggaru dan bandicoots.

Pelawat juga berpeluang belajar mengenai budaya tempatan di Taman Negara dan Pusat Kebudayaan Brambuk.

Antara tarikan utama yang terdapat di sana adalah menyaksikan koleksi masyarakat peribumi seperti lukisan dan tapak perumahan Orang Asli di Billimina, Gulgurri, Manja dan Ngamadjidi.

Untuk keterangan lanjut sila layari laman www.visitmelbourne.com/my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: