Monday, May 7, 2012

Terapung di Ha Long Bay

SABAN minggu membaca ruangan Destinasi dalam akhbar Mingguan Malaysia, penulis terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman ke Hanoi dan Ha Long Bay yang sangat mengasyikkan dan tidak termimpikan selama ini.

Mengikuti rombongan seramai 25 orang yang diketuai oleh Kak Sal, kami bertolak dari Terminal Tambang Murah (LCCT), Sepang ke Hanoi terlewat sejam daripada jadual asal.

Penerbangan yang mengambil masa kira-kira empat jam terasa sekejap kerana rata-rata kami tertidur kepenatan.

Apa tidaknya dari pukul 2 pagi sudah berada di LCCT. Pesawat yang kami naiki tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi pukul 10.30 pagi.

Cuaca terang dan berkabus dengan suhu 16 darjah Celcius terasa begitu nyaman sekali menyambut kami.

Dari lapangan terbang, kami dibawa ke bandaraya Hanoi yang jaraknya 25 kilometer (km).

Selepas makan tengahari di restoran D' Nyonya Penang milik anak kelahiran Batu Pahat, Johor, kami mendaftar masuk ke Hanoi Boutique Hotel.

Pada sebelah petang, rombongan kami dibawa melawat ke Ho Chi Minh House Museum. Monumen yang dikawal ketat oleh tentera dan polis tempat jasad Presiden Vietnam disemadikan.

Seterusnya kami berehat sambil menonton Water Puppet di Tanglong Theatre yang cukup menghiburkan.

Pagi esoknya selepas bersarapan, kami menaiki bas ke Ha Long Bay dengan perjalanan sejauh 165 km yang agak membosankan.

Kiri kanan cuma ada kebun-kebun sayur, menunjukkan rakyatnya rajin bertani dengan cara tradisional dan masih menggunakan kerbau untuk membajak sawah.

Setibanya di Ha Long Bay, kami terus ke jeti untuk dibawa ke Cruise di tengah lautan dengan bot yangg boleh dinaiki seramai 20 orang.

Sepanjang perjalanan di laut yang mengambil masa 30 minit itu, kami temui sesuatu yang unik dan mempesonakan.

Lautnya tidak berombak, tenang dan hijau airnya, dikelilingi pulau-pulau pelbagai bentuk seperti gajah, naga dan penyu. Semuanya seakan-akan hidup dan mengalu-alukan kedatangan para pelancong seperti kami.

Setibanya di Oriental Sails Cruise dan setelah selesai urusan bilik masing-masing, kami ke dewan makan tingkat dua untuk makan tengahari.

Som TamKami teruja dengan hidangan selamat datang 'Som Tam' iaitu sejenis betik kuning yang diparut. Rasa puas kerana dihidangkan dengan makanan laut yang segar lagi enak untuk makan tengahari.

Petangnya kami dibawa ke salah satu bukit berbentuk kepala naga yang terdapat gua di dalamnya. Inilah pengalaman kali pertama saya mendaki bukit di tengah lautan.

Pemandangan cukup indah tak tergambarkan dan kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto-foto kenangan.

Kami meneruskan perjalanan dan sekali lagi hati saya terkedu, terlalu unik ciptaan Ilahi. Keindahan dan keajaiban membuktikan ciptaan-Nya terlalu sempurna tiada taranya.

Hari beransur gelap dan senja, kami kembali ke Cruise penginapan. Terpesona dengan keindahan alam, saya ke tingkat atas menikmati panorama senja yang kian berlabuh dan menghabiskan beberapa jam di sana.

Malamnya sunyi sepi cuma lampu-lampu Cruise yang nampak dari jauh berkelip-kelip dan kami seolah-olah terapung di Ha Long Bay.

Seawal pukul 7 pagi, aturcara seterusnya adalah senaman tai chi di tingkat atas Cruise, disusuli tarian poco-poco di bawah bimbingan ketua rombongan.

Senaman memanaskan badan sambil menikmati keindahan alam semulajadi. Sepanjang berada di Hanoi, matahari tak kelihatan dan cuacanya nyaman sekali.

Petangnya, kami menaiki bot ke jeti untuk ke pantai Ha Long. Di sini kami menginap di Hotel Chong Doan Ha Long.

Pemandangan dari atas balkoni yang menghadap laut sesuatu yang menakjubkan.

Bukit-bukit kecil di tengah laut dan Cruise penginapan berlabuh di lautan yang tenang tidak berombak, damai sekali.

Jelas kelihatan pantainya yang bersih serta deretan kedai menjual barangan cenderamata dan patung-patung yang dipanggil Hong Gai Market.

Kala malam hanya lampu-lampu Cruise sahaja yang berkelip-kelip di tengah laut. Panorama indah ini begitu sukar untuk dirakamkan dalam cuaca berkabus dan suhu amat dingin mencecah 12 darjah Celsius.

Pagi esoknya, kami kembali ke bandaraya Hanoi, sejam perjalanan kami singgah di kedai kraftangan,ukiran patung dan arca.

Rata-rata pelukisnya orang kurang upaya tetapi punyai bakat yang menakjubkan. Hasil sulaman tangan mereka begitu cantik, halus dan unik.

Sebelum ke hotel penginapan, kami dibawa ke Hanoi Market. Kami tidak melepaskan peluang membeli cenderamata untuk dibawa pulang.

Esoknya, seawal pukul 9 pagi, kami kembali ke tanahair dengan meninggalkan 1001 kenangan semalaman terapung di Ha Long Bay.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: