Monday, May 7, 2012

Gemerlapan cahaya Pulau Warisan

AKTIVITI barbeku kerap diadakan penduduk tempatan di kawasan riadah Pulau Warisan, Kuala Terengganu.

LEWAT malam di Kuala Terengganu kini tidak lagi seperti malam-malam ketika anda pernah singgah di suatu sudut di pusat bandar raya ini yang dinamakan Pulau Warisan.

Pulau buatan yang wujud sejak beberapa tahun lalu itu bukan sahaja menawarkan daratan seluas kira-kira enam hektar selepas muara sungai didalamkan tetapi juga merubah wajar bandar raya pesisir air ini.

Ia kian berseri dan bercahaya terang-benderang, penuh warna-warni dalam persekitaran yang indah dengan angin dari laut lepas membawa kesegaran malam di kawasan lapang yang terbentang itu.

Sekali gus ia menjadi suatu tarikan baru bagi penduduk sekitar yang suatu ketika dahulu menganggap bandar raya itu sebagai 'bandar yang tidur awal'.

Pokok-pokok lampu hiasan melingkari kawasan itu yang turut memberikan panorama menarik, apatah lagi jika menatapnya dari Jambatan Sultan Mahmud.

Hakikatnya, Pulau Warisan belum dibangunkan sepenuhnya, sebaliknya pembangunannya berjalan mengikut rentak yang boleh dimanfaatkan agar mampu menjana ekonomi penduduk.

Namun apa yang pasti, ia kini sudah menjadi lokasi untuk pelbagai acara bercorak karnival atau keraian.

Terletak di belakang Kampung Cina dengan jaluran bangunan premis perniagaan lama, pulau yang dipisahkan oleh terusan bagi memudahkan bot pelancong berlabuh ternyata menarik ramai pengunjung.

Ada yang datang bersantai bersama keluarga sambil menjamu selera dengan bekalan yang dibawa atau menganjurkan aktiviti barbeku sempena sambutan hari lahir.

Ada yang sekadar ingin menikmati suasana malam dengan mata meliar melihat bot mudik ke hulu dan hilir, selain asyik menyaksikan kehebatan Pulau Duyung di seberang sana.

Ada juga yang menghabiskan masa lapang dengan aktiviti memancing dan lazimnya mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

Seorang pengunjung, Razali Alias dari Melaka begitu tertarik dengan pulau ini dengan pintu gerbang indah bagaikan menyambut ketibaan ramai.

''Ia tempat yang sesuai untuk aktiviti kekeluargaan dan boleh menjadi lebih menarik jika disediakan pelbagai tarikan melalui pendekatan kreatif," ujarnya.

Beliau berpendapat, sesuai dengan nama pulau itu, setiap sudut di kawasan ini wajar dipenuhi dengan pelbagai kegiatan termasuk bercorak ekonomi yang menggambarkan warisan negeri.

Namun katanya, ia harus diurus dengan sempurna agar tidak bertukar menjadi pasar malam.

"Kawasan ini perlu memiliki identiti sendiri dan bagi pelancong yang datang ke sini pula, ia mestilah menjanjikan kenangan yang sukar dilupakan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: