Monday, May 7, 2012

Sopan bergaya dengan Dahlya Ex10der

Ex10der berwarna coklat amat sesuai dipakai dengan baju bercorak bunga.

BERKENAN blaus paras pinggang namun tidak berani menggayakan kerana risau bahagian pinggul jelas kelihatan?

Kekurangan tersebut tidak menjadi halangan apatah lagi dengan kemunculan Ex10der atau dalam istilah Melayu memanjangkan bahagian yang pendek bagi membolehkan wanita memakai baju T dengan selesa dan bergaya.

Bukan sekadar memanjangkan tangan yang pendek malah ia juga melabuhkan baju yang singkat.

Pencetus idea ini, Emy Dahlia Burhanuddin berkata, Dahlya Ex10der ini memang amat praktikal, bergaya, menjimatkan, selesa dan boleh dipelbagaikan gaya suai dan padan.

"Saya suka mencari penyelesaian kepada masalah, apabila saya sendiri mengalami masalah pada pakaian tertentu maka saya mendapat idea untuk mengubahsuainya lalu menjadikan ia satu alternatif bagi wanita yang mengalami masalah yang sama dengan saya.

"Pada mulanya saya bermula dengan perniagaan sulaman berkomputer, selepas melalui pelbagai pengalaman makan gaji saya akhirnya mengambil keputusan untuk berniaga sendiri," kata lepasan diploma pentadbiran awam dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini.

Emy yang mengakui suka mencari idea baru bersyukur dengan apa yang dimilikinya kini.

Malah dia kini boleh berpuas hati kerana mempunyai kumpulan tukang jahitnya sendiri dan permintaan terhadap rekaannya ini juga semakin bertambah hari demi hari.

"Mencari kelainan dalam kebiasaan, itulah tema perniagaan saya. Jangan tidak sangka sebenarnya prototaip pertama rekaan ini telah diperkenalkan sejak tahun 2009.

"Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana setelah beberapa tahun dalam menghasilkan Ex10der ini saya telah melakukan beberapa penambahbaikan dari segi fabrik dan jahitan getah bagi menambah keselesaan.

"Bukan itu saja, saya juga telah mendapatkan sijil dari Perbadanan Harta Intelek yang sekali gus mendapatkan cap dagang untuk memelihara ciptaan saya ini," ujar ibu kepada enam anak ini.

Menepati permintaan wanita Malaysia yang memiliki saiz tubuh pelbagai, Emy telah menghasilkan saiz seperti 3 dan 4XL.

Rekaan tersebut hadir dengan pakej bersama stokin tangan, beserta skirt pendek untuk dipadankan ketika memakai baju T dan kemeja atau blaus singkat berlengan pendek.

Stokin tangan direka khas dengan unjuran lebih panjang sehingga ke pangkal lengan dan lebih longgar serta cengkaman getah yang tidak begitu ketat.

Skirt pendek juga tampak sesuai untuk dipadankan dengan semua fesyen seluar, jean, slack, legging dan sebagainya.

"Kini saya melancarkan edisi terhad Ex10der yang bercorak bunga, grafik yang boleh dipakai dengan baju kosong. Untuk koleksi biasa pula terdapat lebih lagi pilihan warna seperti merah jambu, ungu, biru laut, kelabu selain warna tanah seperti hitam, putih dan coklat.

"Untuk melihat sendiri koleksi Dahlya Ex10der sila layari laman web www.dahlyafashion.com atau laman Facebook," ujar Emy menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: