SIAPA yang tidak tergoda dengan keasyikan haruman mawar. Unik dan tersendiri menjadikan mawar antara bunga yang sentiasa menjadi pujaan. Kelopak mawar sering ditabur untuk menyebarkan harumannya terutama di kamar tidur. Begitu juga di sudut-sudut tertentu, semerbak aura mawar umpama terapi yang memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja.
Selain keharumannya, mawar juga istimewa kerana kepelbagaian warna yang menjadikan kuntuman bunga-bungaan itu begitu menyerlah. Rona merah hati, merah jambu, merah lembut, ungu, putih, kuning, malah biru begitu menonjol untuk mawar. Gabungan kehebatan warna dan haruman menyebabkan mawar sentiasa lekat di ingatan dan menjadi pilihan untuk hiasan taman.
Bukan sekadar cantik dipandang dan harum menyegarkan, ada rahsia lebih besar di sebalik kehebatan bunga tersebut apabila menyingkap perihal kecantikan dan terapi minda. Setiap warna dikatakan ada rahsia tersendiri.
Misalnya mawar merah dikaitkan dengan keberanian, kesegaran, manakala merah jambu untuk seri wajah dan kecantikan.
Kuning pula kekuasaan dan keyakinan diri, biru membantu mengawal getaran nada suara dan merangsang metabolisma deria rasa.
Menyedari khasiat mawar yang pelbagai, butik kecantikan Nu' della mengorak langkah melakukan penyelidikan lanjut dalam meneroka keistimewaan di sebalik ciptaan Tuhan itu.
Apatah lagi khasiat mawar sememangnya telah digunakan sejak zaman dahulu lagi menerusi pati bunga itu yang dikatakan termahal di dunia.
Menggunakan pendekatan yang ringkas namun berkesan, pemilik salon, Norulnaha Abdul Razak memilih terapi mawar sebagai produk baru Nu' della untuk memastikan pengunjung mendapat manfaat daripada kuntuman bunga itu.
Penemuan saintifik kelopak bunga mawar mengandungi vitamin C, karotena, vitamin K selain khasiat-khasiat lain menguatkan lagi keinginan wanita itu mahu memperkenalkan rawatan terapi mawar.
"Kalau kita lihat mandi bunga menjadi amalan turun temurun dan antara kelopak bunga yang paling banyak digunakan adalah mawar," katanya sambil menyembur pati mawar Nu'della ke dalam satu besen air untuk merendam kaki.
Menurut Norulnaha, terapi kelopak mawar merupakan rawatan lengkap bagi menjana kecantikan dan kesihatan wanita secara dalaman mahu pun luaran.
Tentunya, rawatan tersebut bertujuan menyegarkan tubuh badan dan memberi kesan seri wajah hasil gabungan warna dan pati mawar yang berupaya merawat masalah fizikal, mental dan emosi wanita.
"Hasilnya tentu mengembalikan seri wajah wanita selain membantu memulihkan kecergasan diri serta menambah keyakinan," kata pengasas Ainaa-Ailaa Group Sdn. Bhd. yang menaungi Nu'della.
Pakej lengkap rawatan kelopak mawar untuk semua wanita terdiri daripada sauna kelopak mawar, urutan skrub kelopak mawar, mandi mawar dan spa kaki mawar. Menawarkan rawatan pada harga amat berpatutan, pakej lengkap hampir tiga jam itu pasti memberi kepuasan maksimum.
Rawatan terapi mawar Nu'della yang menekankan urutan serta pembuangan toksik, dimulakan dengan rendaman kaki di dalam air mengandungi pati mawar dan juga kelopak mawar. Pilihan warna mawar adalah mengikut kehendak pengunjung.
Kaki yang direndam dalam air suam bercampur khasiat mawar itu kemudiannya dibersihkan sebelum diurut perlahan bagi menghilangkan keletihan pada kaki.
Sepanjang urutan, kaki akan sentiasa terendam di dalam air tersebut memastikan khasiat mawar meresapi ke dalam kaki. Selain diurut sehingga ke bahagian betis, kuku kaki turut dirawat menggunakan kaedah pedicure.
Rawatan sauna kelopak mawar menyusul. Kelopak mawar ditabur di dalam bilik sauna menimbulkan aura dan haruman tersendiri menyebabkan suasana relak biar pun peluh membasahi badan disebabkan proses pembuangan toksik. Kelegaan pasti terasa sebaik selesai bersauna.
Urutan skrub kelopak mawar menambah lagi keselesaan tubuh apabila diurut dan dibelai oleh petugas Nu'della yang sememang terlatih. Kepenatan seharian bekerja yang menyebabkan urat serta sendi lemah pasti terubat dengan urutan kelopak mawar ini.
Urutan boleh dilakukan seminggu sekali atau sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk memberi kesan awet muda selain membantu merehatkan minda.
Penutup rawatan berendam di dalam tab mandi yang ditaburi kelopak mawar berserta pati mawar. Suasana kamar berendam yang tenang berdindingkan jalinan rumbia manakala siling diperbuat daripada rotan cukup untuk menambah ketenangan semasa berendam.
Sesekali tubuh terapung menjadikan rawatan kelopak mawar cukup menyegarkan badan.
Spa Nu'della yang terletak di Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi, Selangor menawarkan pelbagai rawatan terutamanya berasaskan urutan. Untuk maklumat lanjut hubungi 03-89255002.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: