TIAP kali mendapat tugasan menemu bual ibu tunggal berjaya, saya sering teruja kerana mahu berkongsi bagaimana kisah kejayaan mereka tanpa kehadiran suami di sisi.
Yang nyata kisah ibu tunggal mempunyai inspirasi tersendiri dan sebagai pencetus buat ibu lain yang turut mengalami nasib yang sama.
Tidak kurang hebatnya kisah Norliza Kamaruddin, yang merupakan Ketua Hal Ehwal Korporat Standard Chartered Bank, Malaysia.
Bukan mudah memegang tanggungjawab besar di sebuah bank tertua negara ini. Namun tiada apa yang mustahil bagi Norliza asalkan semuanya mengikut disiplin dan peraturan yang telah ditetapkan.
Apatah lagi, pada masa yang sama Norliza yang selesa dengan panggilan Liz, memikul dua tanggung jawab serentak iaitu sebagai ibu dan 'bapa' kepada empat anaknya.
Bagi Liz apa yang paling utama ialah menentukan fokus dan melaksanakan tanggung jawab mengikut apa yang telah ditetapkan.
Menurut wanita berkulit sawo matang itu, dalam setiap kerjaya yang diceburi seseorang itu harus kreatif, mempunyai semangat untuk sentiasa belajar, inovatif dan memiliki kemahiran komunikasi yang baik.
"Sebagai ketua hal ehwal korporat, terlalu banyak agenda yang perlu saya rancang. Antara yang paling mencabar mengatur kerjasama antara Standard Chartered dan kelab bola sepak Liverpool, menjayakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), melaksanakan Standard Chartered KL Marathon tajaan bank tersebut dan tanggung- jawab hal ehwal korporat harian.
"Semuanya ini memberikan saya satu pengalaman baru yang begitu bermakna buat diri saya. Walaupun pernah 24 jam tidak tidur untuk memastikan kejayaan sesuatu program namun ia amat berbaloi dengan kejayaan yang kami capai selepas itu.
" Untuk Standard Chartered KL Marathon contohnya, saya bukan saja melaksanakan tugas hakiki malah ia datang dari hati dan minat saya.
"Bayangkan lebih kurang 30,000 orang awam mempunyai sebab masing-masing untuk melibatkan diri dalam marathon, ada yang mahu kurus, mahu sihat dan pelbagai lagi sebab lain.
"Saya sendiri memanglah tidak berpeluang masuk Standard Chartered KL Marathon tapi dek kerana semangat yang tinggi terhadap sukan, saya sertai marathon di Bangkok, Thailand.
"Cabarannya apabila menganjurkan kejohanan seperti marathon ini adalah kerjasama dengan pelbagai pihak seperti polis, sukarelawan dan kami mengambil masa kira-kira enam bulan sebelum hari tersebut berlangsung," ujar wanita kelahiran Johor itu.
Apa yang menjadikan Norliza seorang pekerja dan pada masa yang sama ibu yang berjaya mendidik keempat-empat orang anaknya hingga ke peringkat tertinggi ialah kepandaiannya menyeimbangkan antara keperluan kerja dan kehidupan.
"Walau apa jua kerja yang kita pilih semuanya ada cabaran. Perlu diingat kerja dan keluarga adalah dua elemen berbeza dan tidak boleh disatukan. Tekanan memang ada di mana-mana. Namun terpulang bagaimana cara kita mengubah persepsi tentang satu perkara tersebut.
"Memang kedengaran agak pelik kalau saya mengatakan waktu saya berehat adalah ketika memandu pulang ke rumah.
"Pada waktu kesesakan itulah masa saya mendengar lagu kegemaran saya sekali gus merehatkan minda. Itu cara saya dan setiap orang pastinya mempunyai cara yang berbeza," katanya yang menggemari penyanyi British, Adele.
Anak-anak pemberi kelegaan sebenar
Norliza mengambil keputusan melayari rumah tangga bersendirian ketika anak sulungnya berusia 15 tahun dan yang bongsu berusia empat tahun.
Ia adalah satu keputusan nekad yang didorong dari dalam dirinya sendiri. Wanita itu juga sejujurnya mengakui fokus utama dalam kehidupannya selepas bergelar ibu tunggal adalah semata-mata terhadap anak dan kerjaya.
"Saya berfikir kerja keras itu perlu kerana saya mahu membahagiakan anak-anak saya. Apabila saya bekerja tumpuan 100 peratus adalah pada bekerja. Begitu juga jika bersama keluarga, saya tidak mahu diganggu.
"Setiap apa yang kita lakukan perlu berstruktur dan apabila ia tidak mengikuti apa yang telah dirancang maka itu akan mengundang tekanan dalam diri kita.
"Sesungguhnya saya amat bersyukur kerana mendapat anak-anak yang sangat baik. Mereka semua memahami keadaan saya kerana saya telah latih mereka dari kecil lagi.
"Kini anak sulung saya telah bekerja di Petronas. Manakala anak yang bongsu di tingkatan tiga.
"Kami anak beranak berkongsi minat yang sama, minat menonton filem, konsert, makanan yang sama. Pendek kata kami lakukan semuanya bersama-sama.
"Pada saya dalam hidup kita perlu tetapkan matlamat. Bila ada matlamat barulah kita bersemangat untuk memastikan matlamat tersebut tercapai," ujar Norliza mengakhiri bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: