Nasi minyak atau nasi beriani, ayam masak merah, rendang daging dan acar buah, bagaikan menu wajib dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu di negara ini sehingga ada yang berpendapat tanpa sajian tersebut 'tidak sah' majlis.
Namun kini sudah ada kecenderungan di kalangan masyarakat untuk memilih menu yang berbeza termasuk memilih sajian-sajian Arab semata-mata mahu mengikut tema perkahwinan yang dipilih.
Justeru jangan rasa pelik jika dihidangkan dengan nasi mandy berlauk kambing atau ayam, kambing panggang, roti Arab dicecah bersama hummus dan sebagainya.
Lebih mudah apabila ada pihak katering atau restoran yang mampu memenuhi permintaan tersebut sebagaimana yang ditawarkan oleh Restoran ZamZam yang terletak di Oasis 9, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.
Dengan kapasitinya yang boleh memuat 1,000 pengunjung pada satu masa, memberi kelebihan kepada restoran itu untuk mengendalikan majlis-majlis besar seperti perkahwinan, sambutan hari jadi, makan malam korporat dan sebagainya.
Apatah lagi apabila baru-baru ini ia mempromosikan pakej sajian Arab untuk majlis perkahwinan yang turut meliputi sajian makan beradab dan pelamin.
Penolong Pengurusnya, Ashraf Azizan, berkata, selain terkenal dengan sajian makanan Arab asli, restoran dua tingkat itu mempunyai pelbagai keistimewaan terutama dari segi hiasan dalaman yang eksklusif dan mewah.
"Pelbagai tema dan gaya majlis boleh disediakan mengikut cita rasa pelanggan. Bagi majlis perkahwinan, selain tema Arab ada juga pelanggan yang mahukan konsep tradisional mengikut asal usul keturunan mereka seperti India, Pakistan dan sebagainya," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, restoran yang mula beroperasi pada November tahun lepas itu menyajikan makanan popular 100 peratus masakan Arab.
Antara makanan popular yang dihidangkan sudah tentunya nasi mandy kambing dan ayam, kabsa ayam dan kambing, hummus (celupan kacang kuda dengan minyak zaitun dan jus lemon), shish tawook (kebab ayam panggang) madghut kambing, fatoush, muhammara dan banyak lagi.
Selain itu kata Ashraf, menu Arab cukup terkenal dengan kepelbagaian pencuci mulutnya seperti buqlava, basbousa, karamel krim, kek dan sebagainya.
Tidak ketinggalan sajian teh Arab dan ZamZam Yogurt Shake yang merupakan minuman paling digemari pengunjung.
Menurutnya, apa yang menjadikan sajian di restoran ZamZam begitu istimewa ialah, selain menggunakan rempah ratus, herba dan ramuan-ramuan tempatan dan ada yang diimport dari Asia Barat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: