Sunday, May 6, 2012

Rezeki Katharine McPhee




ADAPTASI karakter bintang legenda Hollywood, mendiang Marilyn Monroe dalam drama muzikal Smash memberikan kilauan yang bukan sedikit kepada naib juara American Idol musim kelima, Katharine McPhee.

Pernah mencuba nasib sebagai penyanyi R&B dalam album berjudul Katharine McPhee serta irama country dalam Unbroken sebelum hampir putus asa dalam bidang hiburan, tetapi dengan watak utama dalam Smash, Katharine masuk semula dalam liga juara-juara jenama American Idol. Dia seperti dilahirkan semula bahkan semakin menyinar serta menenggelamkan juara lain seperti Jennifer Hudson, Adam Lambert dan Chris Daughtry.

Dalam naskhah terbitan salah seorang produser tersohor Steven Spielberg itu, Katharine melakonkan watak Karen Cartwright, seorang wanita bercita-cita tinggi dan bekerja keras untuk mencapai kejayaan dalam dunia pementasan teater muzikal. Bersatu dengan seorang lagi pelakon berpengalaman, Ivy Lynn lakonan Megan Hilty dan Rebecca Duvall (Uma Thurman), ketiga-tiga wanita itu memberi impak pesona dan sensasi kepada penonton Smash.

Menyanyi, menari dan mencuri sedikit aura Marilyn dalam Smash serta album baharu yang laju di atas trek pembikinan, Katharine mengakui bahawa dia sebenarnya terkenangkan mendiang Whitney Houston yang meninggal dunia pada Februari lalu.

“Whitney selalu menjadi inspirasi dalam hidup saya. Tidak akan ada penyanyi yang boleh menyampaikan lagu-lagu Whitney sehebat beliau,” katanya yang mengharap peluang menyanyikan lagu-lagu Whitney dalam siri Smash akan datang.

Seperti juga siri Glee, pelakon-pelakon Smash juga akan menyanyikan lagu-lagu popular yang pernah dinyanyikan penghibur terkemuka. Menjadi Karen, Katharine turut berpeluang membawakan lagu-lagu penyanyi Adele seperti Rumour Has It dan Florence + The Machine’s Shake It Out serta Beautiful nyanyian asal Christina Aguilera.

“Itu satu pengalaman yang sungguh menyeronokkan. Sebenarnya, sejak lima tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa di studio rakaman. Itu sebahagian daripada tugas yang saya gemar. Rakaman itu berbaloi dan menyeronokkan,” katanya yang berbesar hati kerana diberi penghormatan menyanyikan semula lagu-lagu popular penyanyi lain.

Menyingkap latar hidupnya sendiri, pelakon serta penyanyi kelahiran Los Angeles ini merupakan anak kepada pasangan penerbit televisyen serta penyanyi kelab malam.

Bercerita tentang idolanya, Katharine menamakan Mariah Carey sebagai penyanyi pertama yang menjana inspirasi kepadanya.

“Saya dengar lagu-lagu Mariah semasa kecil dan asyik memutarkan kaset Mariah sepanjang masa,” katanya.

Katharine mendakwa dia bukan pelajar yang pintar dan pernah diklasifikasikan sebagai pelajar bermasalah hanya kerana tiada cita-cita.

“Saya selalu mahu kelihatan cantik tapi sebenarnya kurang cerdik. Setiap hari, ayah akan menghantar saya ke sekolah tapi tiada seorang pun yang dapat memahami sikap saya. Saya cuma mahu berada di sekolah, itu sahaja,” ujar Katharine.

“Saya juga bukan jenis wanita yang gemar memakai gaun. Selalunya, saya akan pakai baju yang kelihatan santai dan sedikit longgar. Ia memudahkan pergerakan saya dan makan apa sahaja!” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: