|
|
TIGA kali gagal bukan alasan buat Haris Abdul untuk mengalah. Istilah patah harapan dibungkus elok-elok agar tidak mengganggu impiannya untuk dikenali sebagai seorang penyanyi.
Bagi Haris, kegagalan ketiga-tiga albumnya sebelum ini sekadar mencuit semangatnya, tetapi sedikitpun dia tidak melatah. Bahkan dia tambah bersemangat untuk memperbaiki apa yang kurang.
Sebelum ini Haris pernah tampil dengan tiga buah album termasuklah Keranamu yang diterbitkan pada 2002, Ku Yakin (2005) dan Kau Tetap Di Hati (2007). Daripada salah satu album tersebut, 5,000 unit terjual dan itu ialah angka paling tinggi.
"Benar, dari segi pulangan, ketiga-tiga album itu tidak berjaya, tetapi saya berbangga kerana jualannya adalah daripada titik peluh sendiri.
"Pihak penerbitan hampir tidak melakukan promosi untuk kesemua album itu. Jadi bagaimana untuk orang mengenali saya sebagai penyanyi jika tiada usaha untuk memperkenalkan," luahnya ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Biarpun ramai yang tidak mengenali siapakah gerangan lelaki berusia 31 tahun itu, Haris sekali lagi mahu bertaruh nasib.
Dia baru sahaja tampil dengan album terbaharu yang berjudul Ku Yakin... Mekar Selamanya: Meletop.
Menampilkan lapan buah lagu baharu dan dua lagu saduran, album yang telah berada di pasaran itu digilap sehabis mungkin agar menepati cita rasa pendengarnya.
"Saya mengambil masa selama tiga tahun untuk menghasilkan album ini. Segala perbincangan menyeluruh dilakukan bersama syarikat rakaman agar ia menjadi yang terbaik.
"Untuk album kali ini, saya akan lakukan promosi menyeluruh kerana percaya bahawa kuasa itu dapat memperkenalkan diri saya kepada pendengar," katanya yang bernaung di syarikat rakaman baharu, Masa Entertainment & Productions.
Biarpun diletakkan dalam kelas pop komersial, namun album itu lebih istimewa apabila pelbagai jenis genre dimasukkan termasuklah berentak pop, tradisional dan balada.
"Album ini turut diisi dengan lagu yang diminati oleh kanak-kanak iaitu Toyol yang asalnya didendangkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan sebuah lagu berentak tradisional.
"Saya pasti lagu-lagu seperti Gembira Bersama, Jasamu dan Bintang Jiwa akan turut menepati selera pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya yang merakamkan semula naskhah popular nyanyian Khairol Idlan, Aku Yang Kau Panggil Sayang.
Biarpun masih bergelar guru kaunseling, Haris tidak pernah mengambil lewa tugas hakikinya.
Tidak mahu jatuh seperti kata-kata 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran', pemilik nama penuh Abdul Haris Othman itu sedaya upaya membahagikan masa untuk kedua-dua bidang tersebut.
"Saya tidak mahu memilih salah satu daripadanya kerana saya meminati kedua-dua kerjaya ini.
"Jadi saya perlu menggunakan masa sebaik-baik mungkin. Waktu pagi saya akan ke sekolah seperti biasa, selepas tamat waktu sekolah saya akan memberi tumpuan kepada kerja nyanyian pula," katanya yang sedang berkhidmat di sebuah sekolah di Selangor.
Bakat dalam bidang seni yang dimiliki Haris digunakan secara optimum agar tidak terbiar. Dia menjadikan kelebihan itu untuk dipraktikkan dalam mendidik pelajarnya untuk turut berjaya dalam bidang kokurikulum.
Ramai antara pelajarnya dilatih dan digilap bakatnya untuk menjadi seorang yang berjaya dalam pembelajaran dan kokurikulum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: