Monday, May 7, 2012

Hijab Bokitta dari Lebanon


NUR SHARINA (lima dari kanan) bergambar bersama model-model yang menggayakan koleksi tudung Bokitta yang kini boleh didapati di butiknya di Ukay Boulevard, Hulu Kelang.


SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, gadis dan wanita bertudung dilihat paling bergaya sakan kerana variasi pilihan dan gaya tudung di pasaran.

Tudung ala Hana Tajima, Yuna, Siti Nurhaliza, Nur Kasih, Ariani, Fareeda dan banyak lagi fesyen tudung membuatkan kebanyakan remaja perempuan kini gemar mengenakannya.

Namun, sesetengah gaya tudung mengambil masa yang lama dan rumit untuk digayakan bagi mereka yang masih baru dalam pemakaian tudung.

Menyedari keperluan golongan wanita bertudung hari ini terutama yang sentiasa mengejar masa untuk ke tempat kerja atau menghadiri pelbagai acara formal atau santai, sebuah syarikat bumiputera, Hijabrose Enterprise Company melancarkan koleksi pakaian dan tudung yang ringkas namun praktikal untuk digayakan.

Tudung Lebanon

Koleksi Bokitta dari Beirut, Lebanon itu buat kali pertama dibawa masuk secara francais ke negara ini setelah dua tahun di pasaran negara asalnya.

Sebelum ini, koleksi Bokitta hanya ditawarkan melalui jualan butik kepada pelanggan tempatan sementara pelanggan di luar negara pula boleh membelinya secara talian.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutifnya, Nur Sharina Ahmad Akbal, 24, pihaknya tertarik dengan konsep yang diperkenalkan oleh Bokitta yang menjimatkan masa si pemakai, pada masa yang sama menjadikan penampilan tambah menarik, anggun, sopan dan menutup aurat.

“Unik dan istimewanya koleksi tudung Bokitta, asalnya ia merupakan sehelai selendang yang sebelum ini digayakan dengan cara lilitan dan si pemakainya akan menyepitnya menggunakan kerongsang untuk kelihatan kemas serta menarik.

“Namun, dengan rangkaian tudung Voila!, perekanya telah siap menjahit helaian selendang tersebut dan ia sedia disarungkan ke kepala,” katanya.

Pelancaran koleksi Bokitta yang bertemakan Bouquet of Colours telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Norhyati Ismail.

“Lebih menarik, walaupun Voila! siap dijahit, namun selepas digayakan, ia kelihatan seperti hasil kreatif si pemakai kerana alunan fabrik lembutnya seolah-olah dililit secara manual.

JENAMA Bokitta bukan sahaja memberikan banyak pilihan tudung malah turut menawarkan pelbagai fesyen pakaian wanita berkonsepkan suai padan.


“Selain menyempurnakan penampilan wanita muslimah moden, koleksi tudung Bokitta menawarkan helaian fabrik yang sesuai dengan cuaca di negara ini iaitu kain kapas, sifon dan satin,” ujarnya.

Corak dan warna

Himpunan Voila! pula terdiri daripada Voila! Plus yang mempunyai lapik pada sebelah dalam tudung, manakala Voila! Mix pula menggabungkan dua jenis kain bercorak dan kosong dan akhir sekali Voila! Classic.

Corak dan warna yang dibawa masuk juga menepati cita rasa wanita tempatan yang gemarkan variasi warna lembut, terang, ceria dan polos. Selain itu, terdapat juga yang berbunga halus dan sesuai dengan temanya, Bouquet of Colours.

Tambah Nur Sharina, tema tersebut sesuai dengan tawaran sebanyak 30 jenis warna polos berbeza dan 70 jenis bercorak yang pastinya menambat hati wanita bertudung.

Tidak hanya menawarkan koleksi tudung Voila!, butiknya yang terletak di Ukay Boulevard, Ulu Klang turut menawarkan pelbagai fesyen pakaian wanita berkonsepkan suai padan dengan himpunan tudung Voila! sedia ada.

“Saya yakin dengan kelainan yang dibawa Bokitta kerana semua golongan wanita boleh menggayakannya – sama ada pelajar, suri rumah, wanita bekerjaya. Pendek kata, label itu dijangkakan mudah menambat hati mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: