Monday, May 28, 2012

Rasai keenakan masakan Cina

SHARIN Low Abdullah (tengah) menunjukkan sebahagian daripada masakan yang terdapat di restorannya di Seremban, Negeri Sembilan. Antaranya ialah siakap daun teratai, ketam telur masin, udang mentega ala barat, ayam marmite dan cendawan kulit tauhu.

MASAKAN berorientasikan Cina bukanlah sesuatu yang asing di negara ini kerana hakikatnya ia mempunyai pengikut dan penggemar tersendiri.

Terkenal dengan kaedah sajian yang ringkas dan disediakan dengan menggunakan bahan-bahan segar, aroma masakannya ternyata cukup menyelerakan, sekali gus mampu menambat hati para penggemarnya. Justeru, tidak hairanlah jika ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu memenuhi cita rasa mereka.

Bagaimanapun, terdapat keterbatasan bagi masyarakat beragama Islam untuk menikmati hidangan tersebut memandangkan tidak banyak restoran Cina Muslim di negara ini. Ia sekali gus membantutkan selera mereka bagi mencuba hidangan tersebut.

Sungguhpun begitu, masyarakat Islam di Negeri Sembilan berpeluang menikmati masakan Cina Muslim di Restoran Haji Sharin Low 9 di Pusat Perniagaan Betaria berhampiran Jalan Dato Siamang Gagap, Seremban.

Berkonsepkan persekitaran yang berorientasikan ala-Cina di premis berkenaan, ia sudah tentu mampu menggamit pengunjung untuk menjamu selera di situ.

Uniknya, ia merupakan cawangan kesembilan di Negeri Sembilan yang menawarkan sajian lebih daripada 100 hidangan asli Cina yang dimasak oleh chef berpengalaman bagi menjaga keasliannya.

Pemilik restoran berkenaan, Sharin Low Abdullah memberitahu, hidangan yang disajikan termasuklah pelbagai jenis sup antaranya sirip ikan yu, ketam, udang, ikan, sotong, lala, ayam, itik, kambing, sayur-sayuran, tauhu, nasi dan mi.

"Kesemua hidangan ini dipelbagaikan dengan kaedah masakan yang pelanggan pilih," ujarnya.

"Bagi penggemar itik panggang, mereka boleh mendapatkannya tanpa was-was. Bukan mudah mendapatkan itik panggang halal kerana ia biasanya dijual oleh peniaga Cina yang bukan Islam," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Jelas Sharin, antara hidangan utama yang menjadi kegemaran ramai adalah ketam, udang mentega ala Barat, siakap daun teratai, ayam marmite serta cendawan kulit tauhu.

Mengenai harga pula, ia ditawarkan pada harga bermula serendah RM1.50 hingga RM25.

"Alhamdulillah, restoran ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai pada setiap hari, apatah lagi lokasinya yang cukup tenang," tambahnya.

Restoran Haji Sharin Low 9 yang sesuai untuk seisi keluarga ini beroperasi bermula pukul 11 pagi hingga 11 malam setiap hari, kecuali hari Jumaat yang beroperasi pada pukul 3 petang hingga 11 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: