SELAIN bersantai dan melakukan aktiviti bersama keluarga mahu pun rakan, keindahan malam juga dapat dinikmati melalui lampu hiasan yang bergemerlapan di tepi jalan raya di beberapa tempat.
Namun, bagi mereka yang inginkan suasana malam yang dihiasi cahaya 'lampu' semula jadi, mereka boleh mengunjungi habitat kunang-kunang atau kelip-kelip, sejenis serangga yang mengeluarkan cahaya melalui ekornya.
Lokasi yang paling popular untuk melihat serangga itu terletak di Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor. Namun di tempat lain juga tidak kurang meriahnya termasuk di Kuantan, Pahang.
Bagaimanapun, rata-rata penduduk di daerah ini masih belum mengetahui di mana lokasi yang menghimpunkan ribuan spesies tersebut.
Dengan jarak perjalanan kira-kira tiga kilometer dari jeti Medan Feri, Tanah Putih Baru, Kuantan, aktiviti larut malam itu akan membawa pengunjung menyusuri Sungai Kuantan dan Sungai Belat untuk melihat lebih dekat ribuan serangga yang hinggap di pokok berembang di tepi sungai.
Sepanjang menyelusuri sungai itu, enjin bot dimatikan serta tiada sebarang cahaya melalui kamera atau lampu suluh dibenarkan bertujuan mengelak habitat tersebut daripada berasa terganggu dengan kehadiran pelawat.
Suasana gelap dengan hanya diterangi cahaya bulan, membolehkan pengunjung mengamati keindahan kerlipan cahaya serangga itu yang hinggap di pohon tersebut.
Seorang pengunjung, Choo Sook Yee, berkata, sebelum ini dia hanya melihat kehidupan serangga itu di Kampung Kuantan, Kuala Selangor dan tidak mengetahui serangga tersebut turut berada di situ.
"Saya harap kerajaan negeri dapat menggiatkan promosi berkaitan kunang-kunang ini seperti di laman web pelancongan negeri agar ia menjadi salah satu produk pelancongan yang mesti dilawati," ujarnya.
Bagi seorang lagi pengunjung lain, Rosmawati Sulong, habitat serangga itu mesti dijaga bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab menebang pokok berembang yang akan menyebabkan kepupusan spesies tersebut.
Katanya, pertama kali melihat sendiri serangga tersebut dengan lebih dekat, ia memberikan pengalaman menyeronokkan seolah-olah berada di tempat keramaian.
"Memang teruja melihat kumpulan serangga ini pada waktu malam. Namun saya risau jika habitat tersebut pupus kerana sepanjang lawatan, saya melihat terdapat beberapa batang pokok berembang di sepanjang sungai ini telah ditebang.
"Oleh itu, saya berharap pihak berwajib mencari langkah bagi mengekalkan populasi serangga cantik tersebut," katanya.
Untuk sampai ke sana yang hanya memakan masa selama 20 minit perjalanan, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan bot milik syarikat Leisure Boating Centre (LBC) kendalian seorang pengusaha tempatan, Loo Jen Yeh di Jeti Medan Feri, Kuantan.
Menurut Jen Yeh yang berpengalaman luas tentang habitat itu, lawatan pengunjung ke situ dianggap bernasib baik sekiranya cuaca tidak hujan dan bulan gelap.
"Kebiasaannya, pada hari cuti umum dan cuti sekolah, jumlah pengunjung bertambah termasuk mereka yang datang dari luar Kuantan," katanya sambil memberitahu, lokasi itu kini semakin mendapat sambutan selepas orang ramai mengetahui tentang kewujudan habitat serangga itu di situ.
"Jangan lepaskan peluang menikmati keindahan alam bersama rakan-rakan dan keluarga dengan menyaksikan kunang-kunang yang jarang kita temui ini," tambahnya.
Dengan bayaran RM35 bagi dewasa dan RM25 bagi kanak-kanak, pengunjung akan menikmati panorama itu selama kira-kira sejam dan mereka yang mahu maklumat lanjut boleh menghubungi LBC di talian 09-5150626.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: