Monday, May 28, 2012

Pilihan bilik ikut kemampuan

PENGUNJUNG juga boleh menginap di calet Sudara Beach Resort, Bachok.

KEINDAHAN pantai sepanjang lebih 20 kilometer yang menghubungkan Bachok dan Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan menjadi khazanah pelancongan di kedua-dua daerah tersebut.

Berbanding dengan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Pengkalan Chepa, pantai di tempat itu jauh lebih menarik kerana ia masih terpelihara dan tidak terhakis.

Selain pantai Tok Bali yang sememangnya cukup popular kepada pengunjung dan pelancong asing, keindahan pantai Telong di Bachok turut sama hebatnya.

Atas inisiatif itulah, Maimun Mohd. Hussain, seorang usahawan wanita di negeri Kelantan mengambil langkah membuka sebuah resort di pantai itu yang dikenali sebagai Sudara Beach Resort (SBR) pada 2000.

Dengan berkonsepkan A Solitude in Paradise, SBR pastinya memberi satu pengalaman percutian yang indah dan menarik kepada semua pengunjung sama ada yang datang bersama rakan atau pun keluarga.

Bayangkan nikmatnya meneguk secawan kopi panas pada waktu petang di beranda sambil mata disajikan dengan keindahan pantai memutih yang diselangi kebiruan air Laut China Selatan.

Maimun yang juga Pengarah Urusan SBR berkata, ia merupakan antara panorama yang boleh dinikmati oleh setiap pengunjung jika mereka memilih percutian yang menenangkan jiwa dan bagi yang mahukan riadah, semuanya ada di sini.

"Resort ini menyediakan 50 calet yang menawarkan beberapa jenis bilik mengikut kemampuan pengunjung. Bilik-bilik ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu pemandangan laut, kolam renang, taman tepi sungai dan asrama.

"Ia bergantung kepada pengunjung. Bagi yang mahu menikmati keindahan pantai dan biru laut, mereka akan ditempatkan di calet yang menawarkan pemandangan tersebut," katanya kepada S2.

Pelbagai harga ditawarkan mengikut kemampuan pengunjung iaitu bermula daripada RM170 bagi calet yang menyajikan pemandangan laut, RM150 (pemandangan kolam renang dan pemandangan tepi sungai), RM125 (pemandangan taman), serta RM230 untuk dorm yang mempunyai enam bilik dengan setiap satu menempatkan lima katil dua tingkat.

Sebagai sebuah resort, setiap bilik dilengkapi dengan keperluan asas iaitu televisyen, pendingin hawa, bar mini, seterika, pemanas air, dan beranda.

Selain itu, untuk kepuasan pengunjung, beberapa fasiliti lain turut disediakan iaitu perkhidmatan wi-fi, restoran dan kafe serta bilik mandian spa.

Manakala kepada yang meminati aktiviti sukan dan pantai, SBR turut menyediakan kolam renang, gelanggang bola sepak pantai dan bola tampar pantai serta aktiviti permainan dalam seperti dart dan karom.

"Lokasi resort ini hanya 45 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu dan pengunjung tidak perlu risau kerana kami menyediakan pengangkutan pergi dan balik dengan tambahan bayaran RM20 sehala.

"Sarapan di sini adalah percuma dan bagi makan malam serta tengah hari, ia bergantung kepada permintaan pengunjung. Namun, kebanyakannya mahukan hidangan secara bufet dan barbeku," kata Maimun.

SBR turut menawarkan pakej mesyuarat, kursus dan seminar kepada pelanggannya termasuk beberapa aktiviti lasak untuk program team building.

Sementara itu, bagi kemudahan pengunjung beragama Islam, SBR telah membina Masjid Ar-Rahmah bersebelahan resort yang mampu menempatkan 200 jemaah pada satu-satu masa, selain khidmat seorang imam turut disediakan.

"Resort ini biasanya akan penuh pada setiap hujung minggu dengan majoriti pengunjung adalah penduduk tempatan yang mahu beriadah bersama keluarga dan pilihan utama mereka adalah kolam renang.

"Kami juga mengutamakan soal keselamatan dengan menyediakan beberapa pengawal keselamatan untuk bekerja setiap malam, selain Sungai Telong yang menjadi 'pagar' semula jadi kepada resort ini," ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai SBR boleh diperoleh dengan melayari laman web www.booking.com atau melawat pejabat jualannya di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: