KUCHING - Pembinaan Pusat Pertahanan Awam fasa pertama dengan kos RM14 juta di kawasan seluas kira-kira dua hektar di Demak kini pada tahap 74 peratus dan dijangka siap menjelang Julai ini.
Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Sulaiman Keling berkata, projek fasa pertama itu akan dilengkapi dengan bangunan pejabat, menara dan padang kawad.
"Jika projek pembinaan fasa pertama itu dapat disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan, maka Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak akan berpindah ke pejabat baharu itu pada Ogos ini," katanya selepas majlis Perhimpunan JPAM Sarawak 2012 di Pusat Penerangan Islam di sini semalam.
Hadir sama ialah Pengarah JPAM Sarawak, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Mat Zin Bujang, Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak, Robert Lian dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Pauzi Bujang.
Dalam pada itu, Sulaiman memberitahu, tambahan kemudahan yang bakal dibina pada fasa kedua nanti ialah kolam renang sebagai tempat latihan kepada anggota JPAM.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: