KUALA LUMPUR 25 Mei - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menghasil dan menerbitkan buku panduan ibadat sebagai rujukan khusus kepada warga angkatan tentera itu yang beragama Islam.
Buku setebal 130 muka surat berjudul Panduan Ibadat di Samudera Untuk Warga Kapal TLDM itu memberi kemudahan dan rujukan kepada pegawai dan anggota tentera terbabit mengenai pelaksanaan tuntutan agama ketika menjalankan tugas di perairan.
Antara lain, ia menerangkan tentang pelaksanaan solat ketika kritikal, syarat diharuskan menyapu khuf iaitu menyapu dengan air di atas permukaan kasut sebagai ganti membasuh kaki ketika wuduk, doa pelayaran, mengerjakan umrah dan pengurusan jenazah di atas kapal.
Pengertian solat ketika kritikal diterangkan menerusi buku berkenaan iaitu situasi yang tidak memungkinkan warga kapal menyempurnakan rukun-rukun perbuatan dengan sempurna ketika mengerjakan solat seperti semasa peperangan, laut bergelora, mabuk laut atau sakit.
Diterbitkan oleh Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan, ia dihasilkan oleh 32 orang panel penulis Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) TLDM diketuai oleh Ketua Pentadbiran Bahagian Agama Islam TLDM, Leftenan Kolonel Mohamad Idros Mohammad Yunus dan dibantu oleh Pegawai Staf Kerohanian Markas Tentera Laut, Mejar Abdul Jabar Yusof.
Menurut Mohamad Idros, gerak kerja penghasilan buku tersebut bermula sekitar 2008 hasil maklum balas warga Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera yang pernah mengikuti perlumbaan pelayaran di Poland pada 2007 dan perbandingan idea dengan Tentera Darat.
"Dalam perlumbaan pelayaran itu, ia turut disertai seorang warga Kagat iaitu Mejar Abdul Jabar. Penghasilan buku itu bukan perkara mudah sebab ibadat di atas kapal tidak sama dengan ibadat di darat. Oleh itu, kita berbincang untuk mengeluarkan satu kaedah yang sesuai khusus untuk warga TLDM ketika bertugas di atas kapal.
"Buku ini satu permulaan dan merupakan pandangan tentera dan Kagat berkaitan hukum hakam Islam," katanya ketika ditemui selepas pelancaran sambutan Hari Inovasi TLDM 2012 dan buku tersebut di auditorium Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Mohamad Idros berkata, selain al-Quran dan hadis sebagai rujukan utama, panel penulis turut merujuk beberapa buah buku berkaitan hukum Islam dalam menghasilkan buku berkenaan.
"Contohnya kaedah pengurusan jenazah di atas kapal. Ada ketika jenazah tidak dapat dibawa balik ke tanah air atau disimpan lama. Maka ada cara-caranya untuk pengebumian di laut. Kita juga mengharapkan ada pandangan-pandangan lain untuk menambah baik buku ini," katanya.
Tambah beliau, buat permulaan sebanyak 4,000 buah buku dicetak dan akan diedarkan kepada warga TLDM secara percuma.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: