Bagi penggemar lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, sudah tentu filem muzikal berjudul Hoore! Hoore! merupakan sebuah filem yang sesuai untuk ditonton.
Pengarahnya, Saw Teong Hin menjelaskan filem terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. & Real Films Sdn. Bhd. itu sememangnya berbeza dengan kebanyakan filem yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang.
“Sebagai seorang peminat setia kepada Sudirman, sudah tentu saya rasa sangat berbesar hati kerana diberi tanggungjawab oleh pihak penerbit untuk mengarahkan filem Hoore! Hoore!.
“Dalam filem ini terdapat 12 buah lagu nyanyian beliau yang dinyanyikan semula oleh para pelakon dan saya percaya ia mampu mengembalikan semula nostalgia terhadap bekas penghibur nombor satu Asia itu,” ujarnya pada majlis tayangan perdana yang berlangsung di TGV KLCC baru-baru ini.
Antara lagu-lagu popular Sudirman yang mewarnai jalan cerita filem tersebut termasuklah Bercanda Di Pasiran Pantai, Basikal Tua, Hoore Hoore, Salam Terakhir, Kasih dan Milik Siapakah Gadis Ini.
Lebih menarik lagi, Teong Hin yang juga seorang pengarah berpengalaman ternyata mengambil langkah yang cukup berani apabila cuba untuk mengetengahkan beberapa orang pelakon baharu.
Antara yang menjayakan filem tersebut seperti Akim AF dan Nurfarah Nazirah selaku teraju utama serta baru kali pertama beraksi di layar perak. Tidak ketinggalan kehadiran pelakon berpengalaman seperti Adibah Nor, Harun Salim Bachik, Sahronizam dan Kilafairy.
Ditanya mengenai pemilihan para pelakon, Teong Hin memberitahu ia telah dilakukan sendiri olehnya, namun pemilihan untuk peringkat akhir dibuat menerusi perbincangan bersama pihak penerbit.
“Kalau boleh saya tidak mahu penonton melihat penampilan pelakon semata-mata, sebaliknya mendalami jalan cerita dan mesej yang disampaikan. Lagipun kini sudah tiba masanya bakat-bakat baharu diperkenalkan dalam industri perfileman,” ujarnya pernah mengarahkan filem Puteri Gunung Ledang pada tahun 2004.
Ujarnya lagi, biarpun teraju utama Hoore! Hoore! dibawakan oleh dua orang pelakon baharu, tetapi dia berpuas hati dengan lakonan kedua-duanya serta komitmen yang diberikan oleh kesemua pelakon yang terbabit dalam filem tersebut.
Sudah mula ditayangkan sejak Khamis lalu, Hoore! Hoore! mengisahkan tentang gadis bernama Nurul Aiman (NurFarah) yang mempunyai tubuh yang agak gempal dan tidak terlalu cantik, tetapi merupakan seorang insan yang baik hati.
Selain mempunyai dua orang rakan baik di sekolah, Nurul Aiman juga mempunyai seorang rakan yang cukup tampan bernama Johari (Akim AF). Bagaimanapun, dalam diam Johari sebenarnya menaruh hati kepada Nurul Aiman.
Mengenai pemilihan lagu-lagu Sudirman yang dimuatkan dalam filem tersebut, pengarah tersebut mengakui tidak melalui proses yang sukar untuk memilih lagu yang sesuai.
“Boleh dikatakan kebanyakan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Sudirman memang disukai ramai. Namun, saya telah memilih lagu-lagu yang boleh dikaitkan dengan jalan cerita filem ini,” jelasnya lagi.
Terkejut
Kali pertama tampil di layar perak, Akim AF tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila mendapat kepercayaan Teong Hin untuk berlakon dalam filem Hoore! Hoore!.
“Berlakon di bawah arahan seorang pengarah yang hebat seperti Teong Hin pastinya menjadi impian setiap pelakon. Jadi, sudah tentu peluang yang saya terima tidak boleh dilepaskan,” ujarnya penuh teruja.
Sementara itu, Nurul Farah yang mengakui memiliki sifat pemalu yang sangat tebal menyatakan berpeluang berlakon dalam filem dan memegang watak utama merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna.
“Mungkin Hoore! Hoore! merupakan filem pertama dan terakhir saya, namun semuanya bergantung kepada keadaan. Buat masa ini saya lebih gemar memberi tumpuan kepada pelajaran,” ujar penuntut Universiti Selangor (Unisel) dalam jurusan Diploma Seni Reka Grafik itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: