|
POPULAR dan terkenal, menjadikan aktres dan penyanyi muda, Liyana Jasmay, 24, sering menjadi buruan penerbit filem dan drama untuk membintangi filem mereka.
Bagaimanapun baru-baru ini, Liyana yang baru sahaja melangsungkan pertunangannya dengan seorang ahli perniagaan, Fathuddin Mazlan, 28, pada 29 Mac lalu dikejutkan dengan gangguan daripada peminat fanatiknya.
Menurut Liyana yang mesra disapa dengan nama Nana, gangguan lelaki berusia sekitar 20-an yang merupakan peminat fanatiknya itu telah menakutkannya. Hal itu telah membuat bapanya menghubungi polis dan lelaki itu telah ditangkap di hadapan rumahnya pada pukul 11.40 malam Khamis lalu.
"Saya tidak tahu siapa lelaki itu. Mulanya saya anggap dia merupakan peminat fanatik yang biasa, tetapi apabila dia kerap berlegar-legar di luar rumah saya, bagi saya perkara ini sesuatu yang serius," ujarnya.
Terang Nana lagi, gangguan daripada peminat itu bermula pada November tahun lalu. Dia tidak hanya menunggu di hadapan rumahnya di Hulu Klang, lelaki itu sebaliknya turut memberi bermacam-macam hadiah kepadanya termasuk tuala wanita.
"Lelaki ini memang psiko sebab dia pergi ke restoran milik keluarga saya dan menyamar sebagai sepupu saya. Entah macam mana, dia boleh mendapat alamat rumah dan sejak itu dia mula berlegar-legar depan rumah saya.
|
|
"Dia juga memberi pelbagai hadiah, tetapi semuanya dibuang oleh ibu kerana kita tidak tahu apa isi di dalamnya. Kalau peminat fanatik yang biasa, saya kenal mereka, tetapi lelaki ini sangat menakutkan.
"Ada waktunya kalau ibu saya melihat lelaki itu berada di hadapan rumah, ibu akan menghubungi saya dan meminta saya supaya tidak pulang ke rumah," jelasnya.
Bimbang dengan keselamatan anak bongsunya selepas melihat lelaki itu berlegar-legar di hadapan rumahnya dalam keadaan mencurigakan, bapanya telah menghubungi polis dan pihak berkuasa menangkap lelaki itu. Namun, lelaki itu hanya diberikan amaran.
"Saya tidak boleh mendakwanya kerana orang seperti itu mungkin ada masalah mental, jadi tangkapan dibuat untuk memberi amaran sahaja.
"Selepas ini, jika dia melakukan hal yang sama, dia akan ditangkap dan boleh didakwa," tuturnya.
Pengalaman diganggu peminat fanatik ini amat mengajarnya supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan agar perkara yang sama tidak akan berulang kembali.
"Memang pengalaman ini cukup mengajar saya supaya tidak terlalu mendedahkan perkara peribadi kepada umum. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam setiap perkara termasuk tidak memberitahu ke mana saya pergi kepada peminat dalam laman sosial Twitter.
"Perkara yang penting sahaja saya akan kongsi bersama peminat. Segala aktiviti peribadi yang tidak melibatkan kerja, saya akan simpan sendiri," luahnya lagi.
New York
Bintang filem Papadom itu memberitahu dia akan terbang ke New York, Amerika Syarikat pada 2 Julai ini untuk mengikuti kursus jangka pendek di Akademi Filem New York dalam bidang lakonan dan pengarahan.
Nana, hanya akan pulang ke Malaysia pada bulan Disember, sebelum melangsungkan pernikahannya dengan Fathuddin pada 24 Januari 2013 di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
"Bapa memberi syarat, saya harus pergi belajar terlebih dulu sebelum berkahwin. Tambahan, rancangan untuk ke New York telah lama dibuat. Memang berat hati untuk tinggalkan keluarga dan orang tersayang, tetapi saya harus belajar untuk masa depan," jawabnya.
Meskipun terpisah buat sementara waktu, kata Nana, tunang dan keluarganya akan melawatnya jika mereka mempunyai masa yang terluang.
"Perhubungan jarak jauh bukan satu masalah buat saya. Ya, sedih sedikit, tetapi sekarang pun kami jarang berjumpa walaupun kami tinggal berjiran.
"Saya sibuk dengan kerjaya dan Fathuddin pula bekerja di Sabah. Kami hanya berjumpa dua minggu sekali atau sebulan sekali sahaja," ujar Nana tentang hubungan cintanya.
Sebelum berangkat ke New York, pelbagai kerja harus dilangsaikan oleh si manis ini. Selain persiapan perkahwinan, Nana juga sibuk di set penggambaran filem Tokan dan drama terbitan syarikatnya, berjudul Fiksi Fixie yang ditayangkan di Astro Prima pada hari raya nanti.
Kematangan Liyana
|
|
Mungkin di luar, ramai khalayak masih melihatnya seperti remaja lain, tetapi jelas Nana, hakikatnya sejak bertunang, dirinya banyak berubah dan lebih matang.
"Orang mungkin lihat saya macam budak-budak, tetapi orang tidak tahu apabila saya bersama Fathuddin, saya menjadi lain. Saya lebih matang dan sudah bersedia untuk ke alam rumah tangga
"Bagi saya Fathuddin seorang lelaki yang cukup menyenangkan. Bila kami berjumpa, semua masalah saya hilang dan kami memang serasi bersama," tuturnya dalam senyuman.
Disoal sudah bersediakah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri seperti memasak dan melakukan kerja rumah, Nana pantas menjawab.
Jawabnya sambil tertawa: "Saya memang suka memasak. Kalau tidak percaya tanyalah ibu saya. Memang daripada kecil saya suka tolong ibu di dapur.
"Rasanya soal makan tidak ada masalah kerana Fathuddin suka masakan Barat, begitu juga dengan saya. Masakan yang paling saya suka masak ialah pasta."
Apabila bergelar isteri nanti, beritahu Nana, dia masih akan sibuk dengan dunia lakonan kerana bakal suaminya itu tidak pernah menghalangnya untuk terus aktif bekerja.
"Selepas berkahwin saya tetap akan berlakon, cuma watak perlu disesuaikan dengan status dan usia. Bakal suami saya tidak pernah menghalang kerana sejak mula kami berkawan dia tahu yang saya seorang pelakon dan saya sangat suka dengan apa yang saya lakukan.
"Mungkin selain berlakon, saya akan semakin sibuk di belakang tabir seperti menghasilkan skrip atau mengarah drama dan filem. Itu merupakan cita-cita terbesar saya," luahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: