Monday, May 28, 2012

Pixie Lott suka Big Bang


PIXIE LOTT kini sedang giat mempromosi album terkininya, Young Foolish Happy.


TIADA riak kepenatan terpancar pada wajah penyanyi yang berasal dari London, England, Pixie Lott ketika ditemui pada sesi temu bual bersama Kosmo! di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur, petang Sabtu lalu.

Realitinya, sebelum itu, sudah berpuluh media menemubual dia sejak pukul 11 pagi. Gadis berambut perang itu hanya memberi senyuman meleret.

Ini merupakan kunjungan kali kedua dia ke Malaysia, dan akui Pixie atau nama sebenarnya Victoria Louise Lott, dia amat menyukai Malaysia terutamanya kerana cuaca panas.

“Saya sukakan Malaysia, terutamanya cuaca yang panas kerana saya memang sukakan matahari. Walaupun begitu, saya harus minum banyak air untuk kekal segar dan cantik dalam keadaan cuaca seperti ini,” katanya yang sempat memberi tip kecantikan.

Sungguhpun sudah dua kali berada di Malaysia, Pixie memberitahu, dia tidak sempat untuk menjelajah keindahan Malaysia secara keseluruhan kerana agendanya di sini adalah untuk bekerja.

“Malaysia sebuah negara yang indah, tetapi saya tidak sempat untuk menikmati sepenuhnya keindahan itu kerana setiap kali saya datang ke sini, ia atas urusan kerja.

“Sama seperti pada kali ini, kedatangan saya ke sini kerana kembara promosi album kedua yang berjudul Young Foolish Happy yang dikeluarkan pada tahun lalu.

“Jangka masa yang pendek dan terkejar-kejar dari satu lokasi ke lokasi yang lain menyebabkan masa saya sangat terbatas. Apa pun saya sempat merasai makanan Malaysia yang sangat enak,” tutur gadis berusia 21 tahun itu lagi.

Bercakap mengenai perubahan kehidupannya, Pixie yang mula dikenali pada tahun 2009 menerusi single Mama Do dan Boys and Girls daripada album pertamanya, Turn it Up, menjelaskan kehidupannya kini terlalu sibuk.

“Berbanding dahulu, kehidupan saya kini memang sangat sibuk. Saya sibuk menjelajah dari satu negara ke negara yang lain, tetapi saya tetap Pixie yang sama.

“Walaupun sudah dikenali dan terikat dengan jadual kerja yang padat, saya masih melepak di tempat yang sama dengan rakan-rakan lama saya. Bukan itu sahaja, saya juga tidak pernah berubah menjadi orang yang berbeza, cuma kerjaya yang semakin berkembang,” ceritanya jujur.

Penyanyi yang mula menyanyi pada usia 12 tahun itu juga berbakat dalam bidang lakonan. Buktinya, Pixie pernah terlibat dalam pementasan teater West End berjudul Chitty Chitty Bang Bang dan juga berlakon dalam dua buah filem iaitu Fred: The Movie dan Sadie J.

“Berlakon memang sesuatu yang cukup seronok, tetapi buat masa ini saya ingin memberi fokus kepada bidang nyanyian terlebih dulu.

“Ini kerana jika terlibat dalam filem, saya perlu menghafal skrip, watak dan penggambaran yang juga mengambil masa yang panjang. Saya tidak mahu melakukan sesuatu perkara dengan separuh hati sahaja.

“Andai pada masa depan saya menerima skrip yang cukup menarik dan juga watak yang saya suka, saya tidak akan menolak untuk terlibat dalam dunia lakonan semula,” tambah Pixie.

Pixie yang kini sibuk mengumpul material untuk album terbaharunya mengatakan dia amat menyukai kumpulan Big Bang yang berasal dari Korea Selatan.

G-Dragon dan Top daripada kumpulan Big Bang pernah bekerjasama Pixie dengan lagu yang berjudul Dancing Own My Own. Kata Pixie, dia amat berharap dapat bekerjasama lagi dengan mereka pada masa depan.

“Big Bang merupakan kumpulan K-Pop yang paling saya suka kerana mereka sangat segar dan berbakat. Pertama kali mendengar lagu mereka ketika berada di Jepun, saya terus terpikat. Kemudian apabila dapat bertemu dengan mereka, ternyata mereka semua sangat baik,” luahnya lagi.

Selain sesi promosi album keduanya, Pixie juga memberi persembahan cukup bertenaga pada showcase Young Foolish Happy yang berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.

Menyanyikan barisan lagu popularnya, peminatnya ternyata sudah lama menunggu kehadirannya di Malaysia apabila mereka sama-sama menyanyikan untaian lagu miliknya tanpa dipinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: