Monday, May 7, 2012

Penginapan selesa seperti di rumah

DENGAN hanya bertongkat dagu di tepi beranda, para tetamu berpeluang melihat hampir seluruh pusat bandar raya Kota Kinabalu, aktiviti kapal-kapal dagang dan nelayan yang berlabuh di pelabuhan serta jeti berhampiran.

Berkonsepkan hotel apartmen, Habiba Suites yang terletak di puncak Bukit Bendera ini selain ‘berhalamankan’ pusat bandar raya serta kapal-kapal yang berlabuh dan berlayar di hadapannya, turut terpampang jelas adalah Pulau Gaya serta pulau-pulau kecil berhampiran.

Tidak keterlaluan apabila dikatakan antara yang paling menarik adalah para tetamu juga bakal menikmati keindahan panorama matahari terbit dan terbenam yang ternyata amat cantik jika dirakamkan melalui lensa kamera.

Menurut Pengarah Urusannya, Datin Seri Habiba Abdullah, bangunan enam tingkat ini asalnya adalah kuarters perumahan untuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan sekitar tahun 70-an, dan bermula Mac 2010 fungsinya telah ditukar kepada sebuah hotel pelancongan yang 100 peratus dimiliki bumiputera.

Katanya, setahun sebelum pembukaannya, pengubahsuaian besar-besaran telah dilakukan bagi memastikannya mampu bersaing dengan hotel lain di sekitar Kota Kinabalu.

“Hasilnya, Habiba Suites kini mempunyai 17 unit yang kesemuanya dibahagikan kepada dua kategori iaitu Apartel Suites dan Studio Apartments.

“Jaraknya hanya kira-kira satu kilometer dari pusat bandar raya tetapi pemandangan dari beranda melangkaui beberapa kilometer mencakupi hampir keseluruhan pusat bandar raya Kota Kinabalu," katanya kepada S2.

Apartel Suite amat besar dan selesa iaitu berkeluasan 92.9 meter persegi (1,000 kaki persegi). Melangkah masuk, para tetamu akan dihidangkan dengan ruang tamu yang selesa dan ruang dapur yang dilengkapi dengan segala kelengkapan memasak serta meja makan eksklusif.

Ruang tamunya dilengkapi dengan penghawa dingin, televisyen dengan saluran Astro dan set sofa mewah.

Ia juga mempunyai tiga bilik tidur besar iaitu bilik utama dan dua lagi bilik yang mampu memuatkan enam orang pada sesuatu masa, semuanya mempunyai penghawa dingin dan kemudahan tandas.

Semua Apartel Suites itu juga mempunyai beranda yang dilengkapi dengan kerusi rotan, khusus disediakan kepada tetamu untuk menghirup udara segar Negeri Di Bawah Bayu ini sambil menikmati keindahan panorama sekitar yang memukau pandangan.

Sementara itu, Studio Apartment memiliki kemudahan sama seperti Apartel Suites, cuma ia kecil sedikit tetapi masih mampu memuatkan sehingga tiga orang dengan penuh selesa.

Kadar penginapannya adalah antara yang termurah di Kota Kinabalu iaitu RM350 bagi seunit Apartel Suites dan RM120 bagi studio apartment untuk sehari.

Maklumat lanjut mengenai Habiba Suites boleh diperoleh dengan melayari laman web, www.thehabibasuites.com atau menelefon talian 088-268898. Kakitangannya yang begitu mesra sedia membantu sesiapa sahaja yang ingin menempah bilik atau sekadar bertanyakan maklumat. Semuanya pasti mendapat layanan terbaik.

Dalam pada itu, Habiba Suites turut menyediakan kemudahan penganjuran pelbagai majlis seperti perkahwinan dalam taman dan karaoke serta sambutan hari jadi kepada orang ramai. Terpulang sama ada untuk melaksanakannya di halamannya atau di dua dewan serbaguna di hotel ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: