Monday, May 7, 2012

Hidangan eksotik segar dari ladang

RESTORAN Makanan Sedap di Taman Setia Indah, Johor Bahru popular dengan tagline 'Segar Dari Ladang'.

JIKA suatu ketika dahulu, penggemar daging rusa mungkin terpaksa menunggu ketibaan bulan Ramadan untuk menikmati hidangan yang dianggap eksotik itu.

Berbeza hari ini, semakin banyak restoran dan hotel menawarkan hidangan seumpamanya.

Restoran Makanan Sedap di Jalan Teknologi 3/9, Kota Damansara, antara pilihan mereka yang teringin menikmati hidangan seumpamanya pada hari-hari biasa.

Menerusi tagline 'Segar Dari Ladang' akui pengurus restoran, Norlaili Ismail, kesemua bekalan daging rusa diambil dari ladang ternakan mereka di Sungai Tengi, Hulu Selangor.

Selain menjanjikan layanan mesra dan hiasan dalaman yang sedap mata memandang, penggunaan bahan-bahan segar dan terpilih menjadi keutamaan.

Kata-kata Norlaili ada benarnya. Sebaik sahaja penulis menjamah sup rusa yang disaji ketika kunjungan S2 ke sana, kesegaran dan kemanisan daging rusa yang segar dapat dirasai. tidak kurang juga resipi ikan puyu asam pedas dan sup ayam kampung yang turut membangkit selera.

Kesemua ini merupakan gabungan hasil idea dan kreativiti tiga chef berpengalaman iaitu Chef Zul 'Azuwar Wan Mohamed Azudin, Chef Zamzuri Yusuf dan Chef Mohd. Faisal Awang.

Boleh memuatkan kira-kira 200 orang pada satu-satu masa, restoran berkonsep moden kontemporari itu turut menyediakan kemudahan seperti surau, wi-fi dan dibuka kepada mereka yang ingin mengadakan majlis persendirian.

Istimewanya, restoran ini turut memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Felda bagi mengisi kekosongan jawatan sebagai tukang masak mahupun peramu saji.

Menawarkan harga berpatutan bermula RM5 hingga RM30 untuk satu hidangan, pengunjung juga boleh memesan pelbagai masakan lain seperti masakan Melayu, Cina dan Barat.

"Kami juga menyediakan set hidangan berharga RM15.90 yang boleh dipesan bersama daging rusa, ayam kampung dan ikan puyu.

"Misalnya, jika pelanggan ingin mencuba daging rusa goreng kunyit, set tersebut akan disertakan bersama nasi putih, sup kosong, jelatah dan air sirap atau teh," tambah Norlaili.

Lebih menarik, setiap tiga bulan sekali, menu baru akan diperkenalkan dan dalam tempoh terdekat ini, menu itik pula bakal menjadi tarikan pelanggan.

Bagi yang suka 'makan', apa kata hujung minggu ini anda ke sana. Sekurang-kurangnya kunjungan anda akan memberi jawapan kenapa restoran berkenaan dinamakan Restoran Makanan Sedap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: