Monday, May 7, 2012

Menuju puncak Rante Mario

MUHD Idris (depan) meniti batang-batang pokok untuk menyeberangi sungai berarus deras di Pos 2.

IMPIAN mendaki gunung ini telah lama terpendam. Bukan kerana ketinggiannya, tetapi kerana namanya yang indah, Rante Mario. Ia merupakan puncak tertinggi (3,474 meter) daripada tujuh puncak yang terdapat di pergunungan Latimojong, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Perancangan mendaki gunung ini dibuat menerusi Kelab Rekreasi Utusan Malaysia (KRUM). Bersama jurugambar, Asmaruddin Jamaluddin, kami sepakat bekerjasama dan berjaya mendapatkan khidmat pemandu arah (guide), Muhd Idris Evendy, 32, (Lilo) menerusi laman sosial Facebook.

Turut bersama kami dalam ekspedisi ini ialah Wan Norazah Wan Mahadi, Norsofiah Yusof, Azman Ahad, Mahfis Mohd Azis, Zulkifli Mohamad (Toki), Azhaaruddin Ahmad (Azhar), Wan Azman Wan Mahmud dan Zukra Hakkie Effendi. Kami memulakan ekspedisi dari Makassar. Perjalanan ke pekan paling hampir dengan tempat mula mendaki iaitu Baraka memerlukan kami menaiki kereta selama kira-kira lapan jam.

Oleh kerana kami memulakan perjalanan ke Baraka lewat malam, maka kami hanya tiba di pekan itu sekitar pukul 6.45 pagi keesokan harinya. Kami dibawa ke rumah kenalan Lilo dan di situ, kami meninggalkan barang-barang yang tidak diperlukan di gunung. Kami juga singgah di pasar Baraka untuk membeli beras, gula, minyak masak dan lain-lain untuk dibawa ke gunung.

Selesai sarapan dan ‘menapau’ nasi bungkus, kami ke balai polis Baraka untuk melapor diri. Butir-butir diri kami ditulis di dalam sekeping borang dan gambar kami dirakamkan seorang demi seorang. Ia adalah prosedur biasa untuk mereka yang mendaki gunung di wilayah itu. Seorang anggota polis di situ memberitahu, kumpulan kami merupakan kumpulan pertama dari Malaysia yang mendaki secara sah.

Menjelang tengah hari, kami menaiki lori barang menuju ke Rante Lemo. Dari situ, kami perlu berjalan kaki kira-kira dua jam menuju ke Desa Karangan untuk bermalam. Namun perjalanan terhenti di Buntu Dea apabila lori yang dinaiki tidak dapat meneruskan perjalanan kerana keadaan jalan yang teruk. Terpaksalah kami berjalan kaki ke Rante Lemo. Dari situ pula, kami menyewa motosikal untuk ke Desa Karangan.

Keputusan menaiki motosikal dibuat atas dasar ingin ‘menjimatkan’ tenaga yang bakal ‘diperah’ secukupnya ketika mendaki keesokan harinya. Namun tekaan kami tersilap apabila motosikal yang dinaiki terpaksa ditolak setiap kali mahu mendaki laluan berbukit! Bak kata Wan Azman, “Lebih penat tolak motosikal... baik jalan kaki sahaja."

Bertamu di Desa Karangan

Di Desa Karangan, kami menumpang tidur di sebuah rumah milik orang kampung. Anehnya, semua rumah di kampung ini tidak mempunyai tingkap. Pada malamnya, kami ‘berkenalan’ dengan pengangkut barang (porter) yang dibayar upah sebanyak Rp200,000 (RM67.60) seorang sehari. Kami mengupah sembilan orang porter.

Tepat pukul 7.25 pagi pada 6 April 2012, bermulalah satu perjalanan yang jauh ke Pos 7. Laluan pertama menempuh jalan kampung dan kebun kopi.

Pada mulanya, saya berjalan bersama Asmaruddin, Wan Norazah dan Norsofiah. Lilo dan Andy turut bersama kami. Namun disebabkan langkah saya lebih pantas, maka saya terpaksa meninggalkan mereka. Norsofiah yang tidak pernah mendaki mencipta rekod peribadi apabila memilih Rante Mario sebagai gunung pertama yang didaki.

“Saya biasa mengikuti aktiviti perkhemahan di dalam hutan. Itupun dah lama tak buat, jadi terasa rindu pula nak masuk hutan.

“Apabila kawan saya (Wan Norazah) beritahu dia nak mendaki gunung di Sulawesi, saya terus beli tiket AirAsia ke Makassar," katanya.

Menurutnya, perjalanan turun lebih mencabar kerana trek terlalu pacak menyebabkannya berasa gayat sehingga teragak-agak untuk mengatur langkah.

“Terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu dan memberi semangat kepada saya,"ujar Norsofiah.

Cabaran untuk saya pula adalah berjalan seorang diri di dalam hutan hampir tiga jam lamanya. Memang terasa takut tetapi saya tidak mampu mengejar kumpulan hadapan.

Sesekali terasa seperti ada ‘mata’ yang memerhatikan langkah yang diatur. Menuju ke Pos 2 agak menyeramkan kerana suasana hutan yang agak gelap. Sesekali laluan tepi sungai terpisah kerana jurang. Untuk ke hujung sana, kami perlu meniti batang pokok yang dijadikan jambatan.

Tatkala saya tiba di Pos 2, saya terserempak dengan Oskar yang merupakan kenalan Lilo. Namun, dia tidak menunggu saya sebaliknya terus ‘memecut’ ke pos berikutnya. Laluan dari Pos 2 ke Pos 3 amat mencabar. Tegak sehingga mencecah 80 darjah!. Perjalanan ini benar-benar menguji kekuatan fizikal. Peluh mengalir tanpa henti tatkala lutut dan siku saling bertemu kerana kecerunan yang curam.

Dalam pada itu, langkah terus diatur sehinggalah sayup-sayup terdengar suara di hadapan. Ketika itu, hati mulai girang dan tidak sabar rasanya untuk melihat siapa di hadapan. Rupa-rupanya Azhar, Azman dan seorang porter, Erwan sedang berehat di Pos 4.

Mulai detik itu, saya berjalan bersama mereka sehingga ke Pos 5. Ketika kami tiba pada pukul 1.55 petang, sudah ada rakan-rakan lain yang tiba dahulu. Kami menikmati nasi goreng dan kopi o panas untuk menambah tenaga. Menjelang pukul 3.10 petang, saya bersama Azman dan Azhar memulakan langkah menuju ke Pos 6.

Perjalanan tidaklah sukar. Jarak yang ditempuh hanya 577 meter. Saya mengambil masa 45 minit untuk tiba di situ. Namun pendakian ke Pos 7 kembali pacak dengan jarak yang lebih jauh. Kami meredah hutan yang didominasi tumbuhan lumut. Lantai hutan dan pokok diselimuti lumut. Cantik pemandangan sekitar membuatkan perasaan menjadi sedikit lega.

Semakin tinggi mendaki semakin sejuk angin yang menyapa. Bersama Azman, saya menghayun langkah-langkah terakhir yang semakin longlai ke Pos 7. Kami tiba tepat pukul 6 petang dalam persekitaran yang mulai gelap.

Kumpulan akhir tiba pada pukul 7.22 malam dan itu bermakna hampir satu jam setengah, kami terpaksa bergelut dengan suhu sejuk sekitar 10 darjah celcius. Ini kerana kelengkapan khemah dibawa oleh Andy yang berada di dalam kumpulan belakang.

Di Pos 7, hanya berlindung di dalam khemah boleh ‘menyelamatkan’ pendaki daripada terdedah kepada suhu dan tiupan angin sejuk. Justeru, apabila Andy tiba, tanpa berlengah kami memasang khemah dan berlindung di dalamnya.

Terasa tidak mahu keluar dari khemah, namun memikirkan hidangan makan malam belum disediakan, maka saya terpaksa mengagahkan diri untuk memasak. Tidak banyak yang dibualkan kerana masing-masing menggeletar kesejukan. Selesai makan, kami terus masuk ke ‘sarang’ masing-masing untuk melelapkan mata. Namun, kerana suhu terlalu sejuk maka tidur kami tidak lena. Suhu paling rendah dicatatkan pada awal subuh sehinggakan ais terbentuk pada kelengkapan dapur dan beg galas kami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: