Saturday, May 5, 2012

Panggilan suite privasi


BERENDAM sambil bersantai di kolam renang yang terletak di tingkat empat.


BAGI mereka yang berkunjung ke Shah Alam, Selangor baik untuk bercuti, berjalan-jalan atau mempunyai urusan perniagaan, soal penginapan bukanlah sesuatu yang perlu dirunsingkan.

Sesuai dengan statusnya sebagai sebuah bandar raya, Shah Alam sentiasa mengalu-alukan kehadiran tetamu dengan menjanjikan pelbagai lokasi penginapan bertaraf tiga hingga lima bintang.

Namun, bagi pengunjung yang mahukan suasana penginapan mewah dan eksklusif, Hotel Grand BlueWave yang terletak di Persiaran Perbandaran, Seksyen 14 mungkin boleh menjadi pilihan terbaik.

Terletak dalam kawasan komersial yang strategik, hotel itu kini berwajah baharu selepas beroperasi sejak 12 tahun lalu.

Justeru, tidak hairanlah ramai yang kagum dengan sentuhan dekorasinya yang menggabungkan paduan moden dan kontemporari.

Secara umumnya, hotel itu menyediakan lebih 341 ruang kamar pelbagai pilihan yang terdiri daripada 280 bilik deluxe, 59 suite, sebuah suite eksekutif dan sebuah suite presiden bermula dari aras lima hingga 19.


PENATAAN hiasan dalaman dan susun atur perabot yang moden menyerlahkan pesona setiap suite di Hotel Grand BlueWave.


Berlatarbelakangkan panorama dan landskap indah di sekitar bandar raya, setiap bilik dibahagikan kepada tiga kelompok yang berbeza iaitu aras kumpulan, aras korporat dan aras BlueWave Club.

Menariknya, setiap aras dibezakan daripada tema, perincian hiasan dalaman dan susun atur perabot yang dihias indah.

Setiap suite dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung. Antaranya, televisyen satelit, panggilan dail terus antarabangsa, peti sejuk mini, akses Internet berkelajuan tinggi, kemudahan membuat kopi dan teh.

Gastronomi BlueWave

Sementara itu, bagi yang inginkan suasana mewah dan privasi, suite presiden di tingkat 19 boleh menjadi pilihan. Menawarkan perabot bercita rasa tinggi, suite itu lengkap dengan kemudahan jakuzi, bilik mesyuarat, ruang tamu, bilik makan dan pantri.

Bagi yang ingin menjamu selera terdapat pelbagai pilihan restoran dan kafe yang menjanjikan hidangan yang lazat dan menyelerakan.

Jika ingin menikmati hidangan tradisional tempatan dan antarabangsa, Semarak Cafe pasti menepati cita rasa pengunjung.

Di samping itu, jangan lupa rasai keenakan aneka hidangan Kantonis dan Szechuan di Restoran Tung Yuen yang terletak di tingkat satu. Bagi yang ingin mengubah selera bolehlah ke Restoran Agehan yang menyajikan hidangan tradisonal Jepun.


BERSTATUS lima bintang, Hotel Grand BlueWave menjanjikan keselesaan maksimum kepada pengunjung.


Jika sekadar mahu bersantai sambil menikmati hidangan ringan dan pencuci mulut, Borak-Borak mungkin adalah jawapannya.

Selain untuk menginap, Hotel Grand BlueWave juga sesuai untuk majlis-majlis korporat dan mesyuarat.

Dewan Perdana yang dilengkapi peralatan audio dan visual berserta teknologi canggih pula mampu memuatkan antara 500 hingga 1,000 pengunjung.

Tidak sekadar itu sahaja, pengunjung boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di resort itu seperti gimnasium dan kolam renang yang terletak di tingkat empat.

Mahu membelai tubuh, jangan lupa singgah ke Pusat Terapi dan Kecantikan Bioherbal Dr. Azimuth di tingkat yang sama.

Ia menawarkan perkhidmatan rawatan muka, sauna serta urutan yang dikendalikan pakar terapi bertauliah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: