EKSPO Yeosu 2012 yang bakal berlangsung di Korea Selatan menyaksikan bandar pelabuhan yang kaya dengan sumber maritim itu akan memfokuskan kepada tema pemuliharaan laut dan kawasan pantai seiring pembangunan ekonomi.
Barangkali orang ramai yang berkunjung ke Korea Selatan pada waktu ini akan mengambil peluang singgah ke bandar pelabuhan Yeosu.
Bagaimanapun, apa kata dalam perjalanan ke situ berhenti sebentar di Bandar Suncheon untuk menikmati keindahan di bandar tersebut.
Bandar Suncheon kaya dengan pelbagai tinggalan khazanah sejarahnya, malah kaya dengan keindahan alam semula jadi.
Antara tarikan utamanya termasuklah Kuil Songgwangsa, Kuil Seonamsa, Kampung Rakyat Naganeupseong, set penggambaran terbesar Korea dan Teluk Suncheonman.
Kuil Songgwangsa terletak di sebelah barat Gunung Jogyesan dan dikenali sebagai Sambosachal Korea.
Kuil Songgwangsa diiktiraf sebagai kuil Seungbo, yang merujuk kepada murid-murid mempelajari agama Buddha dengan mendalam.
Jalan ke kuil itu dilitupi oleh pokok-pokok besar yang tinggi dan sangat cantik. Melalui jalan-jalan berkenaan, pengunjung dapat melintasi sebuah lembah menggunakan jambatan pavilion bulat yang dikenali Cheongryanggak.
Ramai orang suka berehat di atas jambatan itu semasa dalam perjalanan sambil menikmati pemandangan alam sekitar yang indah.
Di dalam kuil itu, pengunjung boleh melihat bangunan utamanya yang dipanggil Daeungbojeon. Bangunan itu mempunyai bumbung yang dibentuk seolah-olah ia mempunyai dua bumbung.
Di sebelah bangunan itu pula ialah Jijangjeon iaitu tempat terletaknya patung Buddha.
Kuil Songgwangsa mempunyai tiga khazanah berharga iaitu Bisari Gusi, Ssanghyangsu dan Neunggyeonnansa.
Bisari Gusi ialah bekas simpanan beras yang dibuat penggunakan pokok yang besar. Ia pernah digunakan untuk menyimpan beras-beras untuk sami.
Saiznya yang besar mampu menyimpan beras yang cukup untuk menampung keperluan 4,000 orang sami.
Ssanghyangsu pula ialah dua batang pokok jintan saru Cina, manakala Neunggyeonnansa pula ialah plat milik Kuil Songgwangsa yang dibina dengan reka bentuk yang rumit.
Kuil Seonamsa
Kuil itu terletak dekat barat Gunung Jogyesan yang memerlukan pengunjung berjalan kaki sejauh satu kilometer dari pintu masuk untuk menuju ke dalam kuil.
Dalam perjalanan yang melalui lembah tersebut, pengunjung dapat menyaksikan sebuah jambatan berbentuk pelangi iaitu jambatan Seungseon yang diiktiraf sebagai khazanah Negara ke-400. Ia merupakan jambatan batu bengkok paling cantik di Korea.
Jambatan tersebut sering menjadi lokasi penggambaran filem dan televisyen. Di sebelah jambatan itu pula terdapat Menara Gangseonru. Dekat menara tersebut juga terdapat sebuah telaga berbentuk oval yang dipanggil Samindang.
Pemandangan gunung di belakang kuil merupakan tarikan yang bernilai dan mencipta gabungan harmoni dengan binaan-binaan di sekitarnya.
Di sebelah kiri Kuil Seonamsa pula terdapat Me-aebli iaitu arca setinggi 17 meter yang terukir di atas batu.
Pemandangan yang indah menjadikan kuil berkenaan kekal sebagai tarikan sepanjang tahun, namun waktu paling menarik untuk mengunjungi kuil itu adalah semasa musim bunga dan musim luruh.
Kampung Rakyat Naganeupseong
Kampung Rakyat Naganeupseong terletak dalam wilayah Jeollanam-do iaitu sebuah istana bandar berkeluasan 18,000 pyeong (59,400 meter persegi) yang masih berada dalam keadaan baik.
Terdapat sebanyak 100 keluarga masih tinggal di sekeliling istana berkenaan. Pengunjung dapat melihat reka bentuk rumah yang masih mengekalkan ciri tradisional seperti rekaan dapur, bilik tanah liat dan beranda gaya Korea.
Terdapat juga sembilan buah rumah yang dibina bagi menyimpan sumber-sumber khazanah penting. Selain itu, kampung rakyat itu juga merupakan sumber kebanggaan penduduknya apabila monumen Jeneral Im Kyeong-Eop (1594-1646) turut di bina di situ.
Di kampung rakyat itu, setiap kali bulan penuh pertama pada awal tahun, penduduknya akan mengadakan majlis ritual dan sambutan dekat monumen jeneral berkenaan.
Antara permainan yang dianjurkan ialah terjun jongkang-jongket, buaian dan beberapa permainan rakyat lain.
Set penggambaran terbuka
Set penggambaran itu terletak di Jorye-dong, Suncheon. Set itu mengandungi tiga buah kampung yang mana setiap kampung mewakili zaman yang berbeza antara tahun 1950-an hingga 1970-an.
Secara keseluruhannya dianggarkan terdapat 200 buah rumah dibina di sini dan menjadi set penggambaran filem terbesar di Korea.
Set yang dibina secara realistik itu membawa memori kepada golongan yang hidup pada zaman itu, manakala golongan muda dapat mempelajari banyak sejarah Korea pada masa itu.
Dalam set tahun 60-an dan 70-an, pengunjung dapat menyaksikan lokasi kejadian dalam sejarah Seoul seperti Daldongne yang merupakan bandar bagi penduduk miskin dekat kawasan atas bukit di Seoul.
Di set penggambaran berkenaan juga, pengunjung dapat merasai pengalaman kehidupan masa lampau dengan menikmati makanan tradisi yang dijual seperti buchimgae (makanan bergoreng) dan dotorimuk (gelatin buah).
Paling menarik, bagi mereka yang suka menonton drama Korea Selatan, pasti dapat melihat sebahagian rumah-rumah yang biasa dilihat dalam drama popular negara berkenaan
Pada musim bunga, pengunjung dapat melihat bunga buah aprikot dan pic berkembang mekar di sini. Set penggambaran itu dibuka sepanjang tahun.
Teluk Suncheonman
Teluk Suncheon atau Suncheonman adalah wilayah dataran paya pasang surut di selatan Bandar Suncheon, Jeolla Selatan, Korea Selatan.
Suncheonman yang memiliki keluasan 35 kilometer persegi ialah dataran paya Korea pertama didaftarkan dalam daerah perlindungan sebagai Dataran Rawa No. 1594 pada 20 Januari 2006. Perlindungan itu didaftarkan bersama dataran pasang surut Boseong dan Beolgyo.
Teluk Suncheon merupakan salah satu tempat perlindungan ekologi dan alam semula jadi terpenting di Korea.
Ia dikelilingi oleh wilayah Goheung di sebelah barat dan wilayah Yeosu di sebelah timur, menjadikannya kelihatan seperti sebuah danau yang besar.
Suncheonman memiliki pemandangan yang indah dengan dataran pasang surut membentang sepanjang pesisir. Lebih menakjubkan ia dikelilingi pulau-pulau kecil, gunung dan pelbagai tumbuhan liar.
Pelbagai spesies burung di situ menjadikan Teluk Suncheon sebagai habitat termasuk burung-burung hijrah seperti kuntul, camar, bangau berjambul dan bangau putih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: