Nurul
Penyanyi, Nurul

Debaran kian terasa, hanya tinggal beberapa hari sahaja untuk penyanyi manis, Nurul Wahab, disatukan dalam majlis perkahwinan bersama lelaki pilihannya.

Memilih tanggal 6 Jun 2012, Nurul atau nama sebenarnya, Noorul Huda Abdul Wahab, 35, dan pasangannya, Eric Daniel Depp, 47, bakal diijabkabulkan di Dutchess, Jalan Ampang.

Mengambil masa selama lima tahun, akhirnya Nurul membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi dengan lelaki Perancis selepas kegagalan perkahwinan pertamanya bersama penyanyi dan komposer, Ajai.

Mengakui segala persiapan telah hampir siap, Nurul beritahu, segalanya berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, saya hanya tumpu pada majlis yang akan datang dan terpaksa berehat seketika daripada menghadiri majlis hiburan. Selepas itu, karier seni saya akan berjalan seperti biasa dan Eric tidak pernah halang minat dan kerjaya saya,” katanya yang bakal mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini dan tata rias oleh Deq Sha.

Persalinan Eric pula dapat sentuhan daripada Bon Zainal, manakala kek perkahwinan pula tajaan I Can Bake Music, Sid Haleza.


Tema gabungan dua negara

Bercerita tentang konsep dan tema majlis, Nurul beritahu, dia tidak menetapkan sebarang tema khas, sebaliknya ia lebih kepada gabungan dua negara walaupun berkonsepkan dalam taman.

“Saya tidak mahu majlis itu dilihat terlalu kebaratan, mesti ada diselitkan dengan ciri-ciri kemelayuan. Lagipun, saya tidak menjemput ramai tetamu, hanya 200 sahaja termasuk keluarga dan sahabat handai. Untuk tetamu, saya meletakkan tema warna putih dan pink.

“Bagi saya, tema tidak terlalu penting, yang penting, makanan haruslah sedap dan bertepatan dengan cita rasa,” katanya yang dapat sentuhan dekorasi daripada Zahar Wedding Planner.

Pasangan ini akan berangkat ke Bali untuk berbulan madu pada bulan yang sama dan majlis pihak lelaki juga diadakan di sana pada 14 Jun dengan dihadiri keluarga dan teman rapat sahaja.


Rapat dengan anak

BERCERITA mengenai Eric, Nurul mengakui mula mengenali Eric sejak September 2010. Bermula sekadar teman biasa, Nurul menyedari Eric mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya.

Katanya, Eric seorang lelaki yang baik, bekerja keras, berfikiran positif dan mempunyai hubungan baik dengan anaknya, Ayu Nazirah, 14.

“Saya nampak, mereka sangat rapat dan anak saya panggil Eric, daddy tanpa saya ajar. Anak saya sangat terbuka dan menerima kehadiran Eric seadanya.

“Saya selalu berharap Eric menjadi lelaki terakhir dalam hidup saya dan gembirakan dunia saya,” katanya yang berhasrat memiliki dua cahaya mata dari perkahwinan itu.

Berbicara tentang hidangan Melayu pilihan Eric, Nurul beritahu, Eric bukanlah seorang yang cerewet, malah makan apa sahaja hidangan Melayu termasuk rendang daging dan ayam masak merah.

Amat menekankan penampilan di hari penuh bermakna itu, Nurul juga berusaha kelihatan lebih segar dan menarik. Menyedari kesan penuaan semakin jelas kelihatan, Nurul ambil keputusan mencuba produk penjagaan wajah, Skinz Infinite.

Setelah dua minggu penggunaan, Nurul akui terdapat perbezaan setelah menggunakannya.

“Saya guna kesemua produk Skinz Infinite ini kerana ingin melihat hasilnya. Setakat ini, saya nampak perbezaannya dan garis halus di wajah saya mula berkurangan. Produk ini bukan sahaja melambatkan proses penuaan, malah dapat mencerahkan serta menganjalkan kulit. Saya teruja untuk menyaksikan perubahan wajah saya di hari bahagia itu nanti,” katanya.