Kongsi rahsia: Tiga selebriti aktif di gimnasium
Sazzy, Ferhad dan Aishah

JIKA ditanya berapa ramaikah selebriti yang sanggup memperuntukkan masa untuk ke gimnasium, mungkin jumlah tersebut boleh di bilang dengan jari.

Kebanyakan selebriti muda sekarang boleh dikatakan tidak mempunyai masa yang cukup untuk beriadah memandangkan masing-masing sibuk memenuhi kepadatan jadual mereka.

Sedar kesibukan bergelar selebriti yang mempunyai waktu kerja tidak tentu masa, Ferhad, Sazzy Falak dan Aishah Sinclair tidak menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk mengabaikan tuntutan waktu riadah mereka.

Tidak hanya ingin kelihatan tampan dan cantik di luar, ketiga-tiganya begitu mementingkan aspek kesihatan dalaman mereka.

Dipertemukan dalam pertandingan triatlon tertutup pertama Celebrity Fitness yang berlangsung di Mid Valley Megamall baru-baru ini, masing-masing menunjukkan ketangkasan dan kehebatan stamina mereka dalam tiga kategori iaitu larian, berbasikal dan ketahanan.

Saling mengagumi antara satu sama lain, baik Ferhad, Sazzy mahupun Aishah berlumba-lumba bagi menyempurnakan setiap tugasan dalam tempoh masa yang diberikan.

Ternyata nasib menyebelahi Ferhad dan pasangannya, Foo Chee Shoen yang bergelar juara untuk pertandingan Celebrity Indoor Triathlon pertama sekali gus melayakkan mereka membawa pulang pakej percutian dua hari satu malam untuk dua orang di Golden Palm Tree Iconic Resort & Spa, Monster isport headphone, jam tangan Timberland dan barangan Adidas.

Sementara itu, Sazzy dan pasangannya, Khairul Anuar mendapat tempat kedua dengan menerima Monster i-sport headphone, jam tangan Timberland dan barangan Adidas. Aishah juga tidak pulang dengan tangan kosong biarpun hanya menerima tempat sagu hati dengan membawa pulang barangan Adidas dan keahlian percuma Celebrity Fitness selama sebulan.

Selain mereka bertiga, empat orang selebriti tanah air yang turut serta dalam pertandingan itu ialah Alan Yun, Gary Yap, Josiah Mizukami dan Nadia Heng.

Bijak atur strategi: Ferhad

Mengulas mengenai kemenangannya dalam pertandingan itu, Ferhad menganggap aturan strategi yang dicipta bersama pasangannya membuatkan mereka bergelar juara.

Mengakui setiap pesaing memberikan persembahan hebat, pelantun lagu Higher Deeper ini memberitahu, dia dan Chee Shoen berbincang cara untuk mengatasi pesaing.

“Setiap pasukan mempunyai kehebatan mereka masing-masing.

Namun, apa yang membezakan ialah kami merancang strategi bagi mengatasi pasukan lain.

“Saya dan Chee Shoen berbincang untuk mengatasi setiap pasukan dalam kategori larian yang lebih mementingkan ketahanan pada kaki kerana saya lihat masing-masing berlumba-lumba untuk menang pada acara pertama (berbasikal),” katanya yang juga menggemari sukan bola sepak dan tekwando.

Hampir lima tahun menyertai Celebrity Fitness, penyanyi dari Singapura ini menyifatkan gelaran selebriti yang ada padanya mampu menggalakkan lebih ramai lagi orang untuk ke gimnasium.

“Sebenarnya, banyak yang disediakan di gimnasium. Jika ada antara mereka yang malas hendak berpanas dalam aktiviti luar, gimnasium ialah alternatif lain yang disediakan untuk mereka bersenam.

“Saya turut serta dalam pertandingan ini bukan hanya untuk suka-suka, tetapi pada masa yang sama dapat menilai tahap kecergasan saya,” katanya yang akan memperuntukkan sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk bersukan.

Tidak menafi kan kepadatan jadualnya sebagai selebriti kadangkala turut menjadi halangan untuknya bersukan, namun salah seorang Mentor musim keenam ini pasti akan memperuntukkan sedikit masa untuk aktiviti tersebut.

Menurutnya, karier sebagai selebriti memerlukannya untuk tampil sihat, cergas di hadapan peminat.

“Dengan bersukan, saya dapat menjaga stamina yang ada kerana sebagai selebriti masa bekerja kami tidak menentu. Jadi, selain ingin kelihatan sihat di luar saya juga mahu cantik di dalam,” katanya lagi.

Sazzy suka cabar diri

Umum mengetahui selebriti ini telah pun melahirkan anak kembar, Iman Lilly dan Tiara Rose pada April tahun lalu.

Namun, ramai yang mencemburui wanita kecil molek ini kerana mampu kembali langsing selepas melahirkan anak.

Seperti wanita lain, Sazzy juga begitu menitikberatkan penampilan kerana menyedari kerjaya sebagai selebriti memerlukannya sentiasa kelihatan segar dan cantik.

Dikenali sebagai selebriti yang lincah, isteri kepada Nazril Idrus ini berkongsi rahsia penjagaan tubuh badan.

Mengakui dirinya sudah terdidik dengan menyertai aktiviti-aktiviti sukan sejak kecil, pengacara dan pelakon ini bersyukur dikurniakan bapa yang memang meminati sukan.

“Sebelum melibatkan diri dalam industri ini lagi, saya memang dididik untuk aktif dalam sukan. Namun, selepas bersalin, saya mula merasakan badan tidak bertenaga kerana kurang bersenam, pertama kali saya rasa begitu penat selepas menaiki tangga.

“Justeru itu, saya tidak membuang masa untuk kembali bersenam dan melakukan aktiviti-aktiviti sukan lain.

Tambahan pula suami juga seorang yang gemar bersukan,” katanya yang juga mengikuti sukan Muay Thai.

Mengulas mengenai pertandingan triatlon tertutup itu, Sazzy berkata, penglibatannya ialah bagi mencabar diri sendiri untuk menilai sejauh mana tahap stamina yang dimiliki.

“Sebaik sahaja dijemput untuk turut serta dalam pertandingan ini, saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju memandangkan sudah lama saya tidak beriadah.

“Sebagai wanita yang menyukai cabaran, saya anggap pertandingan ini dapat menguji tahap stamina saya selain mencabar minda dan badan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Sazzy bakal muncul dengan filem baru arahan Melissa Saila yang berjudul Dari Kerana Mata.

Aishah minat berlari

Berbeza dengan rakan baiknya (Sazzy), Aishah lebih menggemari acara larian berbanding datang ke gimnasium.

Menyifatkan berlari di tepi tasik dapat memberi ketenangan kepadanya, ibu kepada Soraya Ann Sheikh Abdul Shahnaz ini gemar menikmati pemandangan di sekeliling tasik.

“Sejak sekolah lagi saya lebih gemar menyertai aktiviti larian. Malah jika ada sebarang aktiviti yang memerlukan berlari, saya pasti akan ikuti kerana pada saya ia merupakan satu senaman yang baik selain dapat mencergaskan minda.

“Sekiranya ada waktu senggang, saya pasti akan berlari di tepi tasik sambil menikmati pemandangan dan mendengar kicauan burung,” kata pengacara Myeg Make The Pitch Musim kedua.

Menyentuh mengenai pertandingan triatlon tersebut, Aishah mengagumi pasangannya, Dr Khairuddin Yusof yang disifatkan mampu memberi saingan sengit kepada peserta lain.

“Walaupun pasangan saya lebih berusia, namun saya kagum melihat semangatnya yang mampu memberi saingan kepada peserta yang lebih muda.

“Apabila melihat masing-masing bersungguh-sungguh, saya semakin bersemangat untuk menguji tahap stamina sendiri,” katanya yang mengakui cukup tercabar melihat kesungguhan Sazzy dalam setiap aktiviti.

Ditanya mengenai kerjayanya kini, Aishah mengakui sedikit selektif dalam memilih tawaran kerana lebih banyak menumpukan perhatian kepada anak perempuannya.

Namun, diam-diam adik kepada Ashraff Sinclair ini mula berjinak-jinak dalam perniagaan batik yang diambil dari sekitar Malaysia dan Indonesia.

Mula meminati seni warisan lama Melayu itu sejak kecil lagi, Aishah berhasrat membuka perniagaan di bawah jenama Bhumi Batik.

“Sebagai generasi muda, saya rasa bertanggungjawab untuk mengajak orang ramai terutamanya generasi muda supaya hargai batik.

“Buat permulaan, saya akan memperkenalkan Bhumi Batik secara atas talian dan mempromosikannya di bazar-bazar,” katanya yang akan ke Terengganu untuk mencari batik terbaik pada Jun depan.